Monday, June 14, 2021

MUHAMMAD FIRMAN SUDAH TIGA TAHUN

14 Jun 2018, masa ini 2 hari lagi nak sambut Hari Raya Aidilfitri. Lahirlah seorang anak lelaki lalu diberi nama Muhammad Firman. Muhammad Fahim, Ainnur Afiah dan Muhammad Firas Faiq telah mempunyai adik baharu.

Hari ini merupakan ulang tahun ketiga buat anakanda Muhammad Firman. Sekejap rasanya dia membesar. Nakal, petah bercakap dan ada kalanya pemalu macam ayahnya. 😌😌😌

Hari ini saya bekerja. Tiada apa-apa rancangan untuk sambut hari lahirnya. Sekali teringat ingin memberi hadiah kepada dia. Tapi, musim PKP ni banyak kedai tutup. Pasaraya pun di bahagian permainan ditutup. Tidak dibenarkan masuk ke kawasan permainan.

Kebetulan, ada kenalan yang berniaga permainan. Dia biasa berniaga di up town. Semasa PKP ni tidak berniaga. Jadi, selepas habis bekerja saya singgah ke rumahnya untuk membeli permainan untuk Muhammad Firman.

Balik dari kerja terus singgah beli hadiah untuk Muhammad Firman


Banyak permainan di rumahnya. Saya pilih untuk membeli kereta kawalan jauh. Boleh tahan juga harganya. Mujur hari ini gaji dah masuk. Beli sajalah, setahun tak sekali. Hehe.. 

Balik saja rumah, buka pintu dan terus beri kotak kereta kawalan jauh kepada Muhammad Firman. Tak dan nak balut dengan kertas hadiah, bagi begitu saja. Alhamdulillah, Firman suka. 

Kegembiraan jelas kelihatan pada riak wajahnya. Hihi


Dari petang hingga ke malam duk main kereta kawalan jauh. Dah simpan dalam kotak, dibukanya semula untuk bermain, kemudian masuk semula ke dalam kotak. Biasalah, budak-budak. Nanti apabila sudah bosan, alat kawalan ke mana, kereta ke mana nanti. 

Semoga Muhammad Firman membesar dengan sihat, ceria dan menjadi anak yang soleh dengan mentaati perintah Allah SWT dan mendengar cakap kedua ibu bapa.

LAYAN KAMBING PERAP PAK MAT WESTERN

Saya ni sebenarnya bukan penggemar daging kambing. Mula memakan daging kambing saya fikir baru dalam 10 tahun kebelakangan ini. Sebelum ini memang tak pernah merasai daging kambing.

Walaupun saya mula memakan daging kambing, tetapi tidak semua masakan berasaskan daging kambing saya makan. Apabila daging kambing dimasak kuah seperti kari, gulai dan sebagainya, memang saya tidak makan. Saya hanya makan daging kambing yang dibakar. 



Jangan ditanya pasal apa saya tak makan daging kambing yang berkuah, kerana saya pun tidak tahu kenapa. Mungkin silap saya sendiri yang sememangnya tidak mahu mencuba. Atau mungkin telah tersemat di hati menyatakan daging kambing ini sedikit berbau. Tapi apabila dibakar, kurang pula baunya, dan tekak saya masih boleh menelannya.

Musim-musim PKP ni, tak banyak perkara yang boleh dilakukan kecuali makan. Jadi, kebetulan anak buah saya ejen jualan Kambing Perap Pak Mat Western, saya pun sokonglah jualan dia dengan membeli 2 bungkus. Harga sebungkus dengan berat 500 gram berharga RM35.00. Turut didatangkan dengan sos lada hitam.

Rasa daging kambing ini sedap juga. Sekali sekala nak makan daging kambing, boleh mencuba Kambing Perap Pak Mat Western. Dari 5 bintang, saya berikan 4.5 bintang untuk Kambing Perap Pak Mat Western.


Sunday, June 13, 2021

BETUL KE MI SEGERA 2 MINIT?

Mi segera memang mudah dimasak. Malah, jika disingkap dari iklan mi segera, 2 minit sahaja boleh siap dihidangkan. Namun, ia tidak bagi saya. Walaupun namanya mi segera, tetapi saya memerlukan masa lebih 2 minit untuk menyiapkan semangkuk mi segera.

Saya tidak suka makan mi segera begitu sahaja. Perlu ditumis. Perlu ada sayur, telur dan apa-apa yang patut dimasuk, saya masukkan. Jika ada ayam, saya akan masukkan ketulan ayam. Jika ada udang, saya akan masukkan udang. Sekiranya tiada, menumis dan telur sudah memadai.



Alkisah, malam tadi semasa melayan EURO 2020, perut pula lapar di tengah malam. Jadi selongkar kabinet di dapur, jumpa pula mi segera, Alhamdulillah, maka beruntunglah perut. Memang nikmat menonton perlawanan bola sepak sambil menikmati mi segera. 

EURO 2020 anda minat negara mana? Nak minat Harimau Malaya, bukan negara Eropah pula. Piala Dunia pun mimpi saja. Jadi, macam biasa saya menyokong The Azzurri - Itali.