Sunday, June 13, 2021

EURO 2020 - CHRISTIAN ERIKSEN REBAH

Perlawanan Euro 2021 antara Denmark dan Finland ditangguhkan pada satu tarikh lain apabila seorang pemain Denmark, Christian Eriksen rebah semasa perlawanan masuk ke minit ke-40.


Pada ketika ini, situasi sebenar Christian Eriksen masih belum diketahui. Ada yang khabarkan bahawa beliau terkena serangan jantung. Harap-harap tiada apa-apa yang lebih teruk berlaku dan semoga boleh sembuh seperti sediakala.

Kemalangan melibatkan pemain rebah semasa perlawanan bola sepak bukanlah sesuatu yang luar biasa. Terdapat banyak juga kes sedemikian yang telah berlaku. 

Mengikut rekod bermula tahun 1889 hingga 2021, seramai lebih 100 orang pemain bola sepak meninggal dunia semasa perlawanan sedang berlangsung. Kematian pertama direkodkan pada 13 Januari 1889 apabila William Cropper dari kelab Staveley di England  telah bertembung dengan pemain lawan yang mengakibatkan kecederaan parah lalu meninggal di bilik persalinan. 

Pada tahun 2021 sahaja telah merekodkan 4 kematian pemain bola sepak semasa perlawanan sedang berlangsung. 4 pemain tersebut adalah :

1. Alex Apolinário (Brazil) - 7 Januari 2021

2. Abdul Rahman Atef (Mesir) - 8 Mac 2021

3. Dejan Orsus (Croatia) - 11 April 2021

4. Tremaine Stewart (Jamaica) - 18 April 2021

* Negara dalam kurungan itu bukan bermaksud pemain tersebut bermain untuk negara, tetapi berasal dari negara tersebut.

Jadi, apa yang hendak dijelaskan di sini ialah, walaupun sukan merupakan salah satu aktiviti yang menyihatkan tubuh badan, namun ada ketikanya ia membawa kemudaratan. Tidak semestinya orang yang kelihatan cergas itu sihat, tetapi sakit itu boleh datang bila-bila masa. 

Semoga Christian Eriksen segera sembuh. 

* Maklumat terkini, perlawanan diteruskan setelah kedua-dua pasukan bersetuju untuk bermain semula.

Friday, June 11, 2021

UBI REBUS DAN BOKO UBI

Pokok ubi kayu di belakang rumah pokoknya telah meninggi. Tak ingat pula bila ditanam, tapi saya agak pokoknya sudah berusia lebih lima bulan. Ada beberapa batang pokok ubi kayu saya tanam.

Pagi tadi, merajinkan diri mengemas dan membersihkan bahagian belakang rumah. Pokok daun kari dan pokok kunyit yang dibeli dari minggu lepas baru sempat hari meluangkan masa untuk dipindahkan ke dalam pasu. Semoga hidup dengan segar agar dapat digunakan di kemudian hari.

Kemudian, saya mencabut dua batang pokok ubi kayu di telah meninggi. Alhamdulillah, ada ubinya. Dalam fikiran telah terbayang ubi rebus cicah sambal dan boko ubi. Isteri saya memang pandai buat boko ubi. Kalau ubi rebus tu, biasa saja, semua orang boleh membuatnya.

Selepas mencabut sebatang pokok, lumayan juga ubinya


Petang menjelma, isteri membuatkan ubi rebus. Lembut dan empuk ubinya. Sedap. Makan pula dengan mencicah Sambal Bilis Pedas d' SAMBAL licious, bertambah sedap jadinya. Gambar ubi rebus di bawah ni lupa pula disertakan dengan sambalnya. 

Gambar diambil selepas makan, tinggal tiga ketul saja untuk sesi fotografi. Hehe


Malam pula isteri buat boko ubi. Buat makan sedikit sahaja, selebihnya akan disedekahkan kepada kakitangan tempat isteri bekerja di salah sebuah klinik kesihatan di Melaka.

Benda ini dibuat tidak dirancang pun, benda dah ada, elok juga dapat berkongsi rezeki dengan orang lain. 

Awalnya ingatkan sudah siap pasal tu ambil gambar begini

Ini selepas diletakkan santan di atasnya. Ha, ni barulah dah siap dan sedia untuk dimakan

Inilah saja tanaman yang boleh hidup di belakang rumah saya. Tanam pisang tak menjadi, pokok tak membesar, tapi anak pokok pisang banyak pula yang tumbuh, akhirnya pokok-pokok pisang saya tebang. Saya tinggalkan 2, 3 batang. Bertahun-tahun tanam tak membesar, mungkin tanah tak sesuai.