Monday, June 7, 2021

ISRAEL SERANG BLOG?

Blog yang suam-suam kuku ini tiba-tiba jumlah pageview meningkat begitu mendadak. Tren ini saya lihat sudah 2 hari berlaku. 

Kebiasaannya, nak dapat 10,000 pageview sebulan pun susah, tapi sudah dua hari ni, pageview lebih 10,000 sehari. Terperanjat beruk dibuatnya. Apa yang dicari sebenarnya.



Nak kepastian, saya cuba belek-belek statistik data pelawat. Bila lihat dari negara pelawat, sekali dari Israel dah... Apa mereka buat ramai-ramai di blog ini? Adakah terkait dengan entri ini : 

👉🏼 Israel Koyak
👉🏼 Impian Gaza

Tapi, ketiga-tiga entri ini tiada peningkatan ketara data pelawatnya. Jadi apakah mereka mahukan dari blog ini.

Ada sesiapa pernah merasai blognya didatangi segerombolan pelawat dari Israel sebegini?


Dalam jam 12.00 tengah hari tadi, pageview meningkat dengan mendadak. Jangan mereka nak godam blog ini sudahlah. Saya bukanlah Hamas, apatah lagi penggodam.

Saturday, June 5, 2021

TAKDIR BANGSAKU

Inikah takdir bangsaku?
riwayatnya hilang totok
sebesar-besar fasal
sekecil-kecil perihal
sang bermaharajalela tak kenal kekhuatiran
pacal terus kebingungan
antagonis mencucuk diiringi sorak sorai
arakian hilanglah jati diri
identiti dimamah usia kepesatan kosmopolitan
tidak diacuhkan insan-insan
sebermula jangan ada sesalan
anak di rumah mati kelaparan.

Fairus Mamat
20 April 2020

Friday, June 4, 2021

PANTUN HARIMAU MALAYA KENA BAHAM



Harimau Malaya terciduk dengan UAE 4 - 0. Permainan lembab.  Tiada semangat. Cepat hilang bola dan bermacam-macam masalah lagi. Sepatutnya hari demi hari ada peningkatan, tetapi kita terus terkulai. Apa nak jadi pun tak tahulah.

Nah! Diciptakan pantun untuk mengubati hati yang lara atas kekalahan besar 4 - 0.

Empat orang awek Rusia,
jalan-jalan di kampung Losong;
apa nak jadi bola Malaysia,
dibantai UAE empat kosong,

Lipas bukan sebarang lipas,
lipas berasal dari bendang;
bawa bola asyik terlepas,
lawan gelecek hanya dipandang,

Tepuk amai-amai,
belalang di pokok sena;
pemain naturalisasi punyalah ramai,
haram satu pun tak berguna.

Buah betik si buah kepaya,
banyak ditanam di Romania;
apa nak harap Harimau Malaya,
takkanlah sampai ke Piala Dunia.

Tengok bola mengunyah kuaci,
kulitnya dibuang melayang-layang;
marah peminat bukan benci,
marah peminat kerana sayang.

Ok sudah, itu sahaja. Sekian, terima kasih. 

😔😔😔