Monday, May 17, 2021

ISRAEL KOYAK



Koyak.
Israel Koyak.

Inilah perkataan atau frasa yang sedang bermain-main di laman maya ekoran krisis yang sedang berlaku antara Palestin dan Israel.

Kita biasa menggunakan perkataan ini untuk mengambarkan kain yang koyak atau mengoyak kertas dan sebagainya. Namun, "kekreatifan" netizen Malaysia menggunakan frasa koyak ini ditujukan kepada lawan atau musuh yang dalam keadaan kecewa. 

Apa yang menarik, frasa koyak ini telah trending dan dimasukkan ke dalam Urban Dictionary.  Terdapat beberapa makna yang diberikan kepada frasa koyak ini antaranya :

"Koyak is a Malay word. In translation, it means torn off or tear."

"In Malaysia, the word koyak is used for someone who is easily frustrated over a fight. The word usually uses to insults other people during a fight."

Apa-apapun syabas netizen Malaysia, walaupun kita berjauhan dari negara Palestin namun dapat memberikan impak sebagai tanda sokongan dan solidariti kita terhadap Palestin. 


Sunday, May 16, 2021

SELAMAT HARI GURU 2021

Guru adalah insan yang sering dikaitkan dengan lilin. Mereka sanggup membakar diri demi menerangi insan-insan lain khususnya anak-anak didik. Pengorbanan seorang guru begitu besar, mendidik anak bangsa agar berjaya kemudian hari di dunia dan akhirat.


Hari Guru di Malaysia disambut pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Jika semasa di sekolah dahulu, Hari Guru merupakan sambutan yang amat dinanti-nantikan kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik melibatkan guru-guru dan murid-murid. Namun kini, pendamik Covid-19 telah membataskan semua itu dari dilaksanakan, ditambah lagi dengan sesi pembelajaran di rumah (PdPR).

Pada tahun 2021 ini, tema Hari Guru ialah "Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu". Secara peribadi, saya amat suka akan tema ini. 

Kini, pelbagai ujian dan peperiksaan telah dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan, situasi yang tidak berorientasikan peperiksaan telah membuka lembaran baharu bagi pelajar menonjolkan diri ke arah apa yang diminati dan kecenderungan mereka. Tidak bermakna kekurangan dari segi akademik, seseorang itu tidak boleh berjaya, malah kebanyakan mereka lebih berjaya dari pelajar yang memasuki universiti.

Justeru, murid-murid perlu menanamkan niat untuk apa berguru, pastinya ia untuk mendapatkan ilmu. Ilmu itu pun luas, banyak bidangnya. Jika suka sesuatu bidang ilmu, carilah guru yang selayaknya kemudian barulah generasi dapat dibina dan dibentuk mengikut acuan-acuan atau bidang-bidang mengikut kecenderungan masing-masing.

Kesempatan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada guru-guru, ustaz dan ustazah serta para pensyarah universiti yang telah membentuk saya untuk menjadi "manusia". Insyaallah, segala ilmu yang telah dicurahkan menjadi bekalan kalian sepertimana yang telah tertulis bahawa antara amalan yang berterusan selepas meninggal dunia ialah Ilmu Yang Bermanfaat.

Akhir kata Selamat Hari Guru dari saya buat semua pendidik sama ada yang saya kenali atau tidak. Terimalah serangkap pantun dari saya :

Manuskrip Melayu mari disalin,
isinya tersurat pesan memesan;
guru-guru umpama lilin,
membakar diri menerangi insan.

Lihat juga sajak saya perihal guru yang telah saya karang pada tahun 2012 bertajuk Kembali Kepada Lilin.

Friday, May 14, 2021

PANTUN HARI RAYA

Apabila tibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai yang gemar memberi ucapan kepada adik beradik, saudara mara dan rakan taulan sama ada melalui kad atau media sosial. Ucapan-ucapan ini adalah lebih sedap disampaikan dengan adanya pantun-pantun sebagai penyeri. Apatah lagi kita ini adalah Melayu yang sememangnya begitu rapat dan sinonim dengan pantun.

Andai dahulu kita sering mengutus kad raya, tapi kini di zaman serba moden dan serba pantas ucapan melalui media sosial lebih menjadi pilihan. Semasa penggunaan kad raya dahulu, pantun yang sering digunakan sudah pastinya :

Pecah kaca pecah gelas,
sudah baca harap balas.

Atau;

Pecah kaca pecah tong,
sudah baca harap gantung.

Hah! Itulah pantun dua kerat yang boleh dianggap pantun tradisi yang sehingga kini digunakan dan tersemat di dalam hati bagi setiap insan yang hidup di zaman lewat 70, 80 dan awal 90-an.

Namun kini, pelbagai pantun bertemakan hari raya telah banyak dicipta oleh kebanyakan orang. Saya juga antara tidak mahu ketinggalan untuk mencipta pantun bertemakan hari raya, antaranya :

Berseri-seri si rama-rama,
mari hinggap di dahan berangan;
subuh pagi takbir bergema,
itu tandanya satu kemenangan.

Burung pipit burung kedidi,
terbang tinggi di atas paya;
mari adik marilah mandi,
persiap diri menyambut raya.

Manis-manis buah kepaya,
manis lagi buah pulasan;
ziarah menziarahi tradisi budaya,
erat hubungan sesama insan.

Daun pandan tumbuh melata,
pohon serai hidup merimbun;
jari disusun maaf dipinta,
salah dan silap mohon diampun.

Bunga melati bunga melur,
harum baunya dibuat hiasan;
lapangkan hati salam dihulur,
bermaaf-maaflah sesama insan.

Jadi, bagaimana dengan pantun ciptaan saya ni? Andai ada ruang penambahbaikan bagi pantun-pantun ini, sila maklum pada saya di ruangan komen untuk sama-sama saya pelajari untuk menghasilkan pantun yang baik.

Ps : Raya kan sebulan, kita pantunlah sampai sebulan. 😆😆😆

Ps : PANTUN telah diiktiraf sebagai WARISAN DUNIA bagi kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO pada 17 Disember 2020.