Friday, May 14, 2021

PANTUN HARI RAYA

Apabila tibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai yang gemar memberi ucapan kepada adik beradik, saudara mara dan rakan taulan sama ada melalui kad atau media sosial. Ucapan-ucapan ini adalah lebih sedap disampaikan dengan adanya pantun-pantun sebagai penyeri. Apatah lagi kita ini adalah Melayu yang sememangnya begitu rapat dan sinonim dengan pantun.

Andai dahulu kita sering mengutus kad raya, tapi kini di zaman serba moden dan serba pantas ucapan melalui media sosial lebih menjadi pilihan. Semasa penggunaan kad raya dahulu, pantun yang sering digunakan sudah pastinya :

Pecah kaca pecah gelas,
sudah baca harap balas.

Atau;

Pecah kaca pecah tong,
sudah baca harap gantung.

Hah! Itulah pantun dua kerat yang boleh dianggap pantun tradisi yang sehingga kini digunakan dan tersemat di dalam hati bagi setiap insan yang hidup di zaman lewat 70, 80 dan awal 90-an.

Namun kini, pelbagai pantun bertemakan hari raya telah banyak dicipta oleh kebanyakan orang. Saya juga antara tidak mahu ketinggalan untuk mencipta pantun bertemakan hari raya, antaranya :

Berseri-seri si rama-rama,
mari hinggap di dahan berangan;
subuh pagi takbir bergema,
itu tandanya satu kemenangan.

Burung pipit burung kedidi,
terbang tinggi di atas paya;
mari adik marilah mandi,
persiap diri menyambut raya.

Manis-manis buah kepaya,
manis lagi buah pulasan;
ziarah menziarahi tradisi budaya,
erat hubungan sesama insan.

Daun pandan tumbuh melata,
pohon serai hidup merimbun;
jari disusun maaf dipinta,
salah dan silap mohon diampun.

Bunga melati bunga melur,
harum baunya dibuat hiasan;
lapangkan hati salam dihulur,
bermaaf-maaflah sesama insan.

Jadi, bagaimana dengan pantun ciptaan saya ni? Andai ada ruang penambahbaikan bagi pantun-pantun ini, sila maklum pada saya di ruangan komen untuk sama-sama saya pelajari untuk menghasilkan pantun yang baik.

Ps : Raya kan sebulan, kita pantunlah sampai sebulan. πŸ˜†πŸ˜†πŸ˜†

Ps : PANTUN telah diiktiraf sebagai WARISAN DUNIA bagi kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO pada 17 Disember 2020.

Thursday, May 13, 2021

DOMAIN DAN KELEBIHANNYA

Andai ada yang perasan, domain bagi blog saya telah bertukar. Alamat untuk blog ini bukan lagi [dot] blogspot [dot] com tetapi sekadar [dot] com sahaja. Justeru, selepas ini sekiranya mahu mencari blog saya cukup sekadar menaip fairusmamat.com.



Sejak tahun 2009 saya menulis blog, tidak pula saya menyangka untuk mempunyai domain sendiri. 2021 menjadi sejarah apabila saya mempunyai domain sendiri dan ini semestinya menjadi satu motivasi untuk terus menulis blog dengan lebih aktif.

Sebenarnya saya terpengaruh dengan entri yang diterbitkan oleh blogger SA. Beliau bercerita tentang domain blognya yang telah diperbaharui. 

Jujurnya, saya ini tidaklah berapa mengerti sangat bab teknikal tentang blog. Domain pun saya kurang faham. Namun, apabila terdetik untuk memahami tentang domain, saya dapati ia amat bagus dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Sebelum mengambil keputusan untuk melanggan domain, saya telah membuat penelitian dari beberapa halaman maya untuk mendapatkan kepastian. Saya turut mencari review pengguna berkaitan produk dan pembekal domain yang boleh dianggap antara yang terbaik.

Setelah membuat pertimbangan, saya telah memilih untuk melanggan domain melalui KLNet Network. Bayaran langganan tahunannya antara yang termurah, iaitu sekitar RM60.00 setahun. Walaupun antara termurah namun perkhidmatan yang diberikan begitu cepat. Setelah membuat pembayaran, kurang 15 minit blog saya telah dikemaskini dengan domain yang dilanggan.

Apa kelebihan mempunyai domain sendiri? Antara kelebihan yang paling utama ialah Search Engine Optimization (SEO). Blog yang mempunyai domain sama ada [dot] my, [dot] com atau [dot]com [dot] my dilihat lebih mesra pencarian. 

Apabila kita membuat satu-satu carian URL yang mempunyai domain ini yang akan berada di atas berbanding dengan URL yang mempunyai [dot] blogspot, [dot] Wordpress dan sebagainya. Secara tidak langsung, blog kita lebih dikunjungi berbanding sebelumnya. Ini saya boleh sahkan, kerana baru sahaja saya menukar domain, dalam masa yang singkat kunjungan ke blog saya meningkat lebih 50% dari sebelumnya. 

Kelebihan kedua ialah URL blog lebih pendek dan ringkas. Kalau dahulunya blog saya fairusmamat.blogspot.com tapi kini hanya perlu menaip fairusmamat.com. Tiadalah pendek sangat, tapi pendeklah juga.

Hanya dua kelebihan ini sahaja yang dapat saya gariskan berdasar pengalaman singkat saya yang baru melanggan domain. Secara peribadi, saya amat menggalakkan penggunaan domain oleh para blogger atau pada mereka yang menjadikan blog sebagai medium jualan atas talian agar blog akan kelihatan lebih berwibawa dan dipercayai kerana mempunyai domain.

Ps: Google Adsense saya kena review semula pula oleh Google. Paling lewat 2 minggu katanya.. πŸ˜”

TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM

Assalamualaikum
Warahmatullahi
Wabarakatuh..

Dengan rendah hati dan diri saya Fairus bin Haji Mamat berserta seluruh ahli keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada rakan-rakan blogger dan sesiapa saja yang mengenali diri ini.

Sekiranya ada penulisan saya yang mengguris hati, haraplah dimaafkan. Andai ada penulisan saya yang tidak sehaluan, sealiran atau bercanggah dengan kalian, boleh saja tegur saya. Saya terbuka hati untuk menerima segala teguran yang membina.

Saya turut mendoakan agar rakan-rakan blogger dan sesiapa saja yang saya kenali dapat menyambut hari raya ini dengan gembira di samping keluarga tercinta. Jaga diri, jaga keluarga, insyaallah, Allah jaga kita.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin.
πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ

Setahun sekali dapat bergambar macam ni... πŸ˜€πŸ˜€πŸ˜€

Susah nak angkat gambar keluarga, si paling kecil tu taknak tengok kamera


Pohon pandan tumbuh melata,
pohon serai hidup merumpun;
jari disusun maaf dipinta,
silap dan salah moga diampun.