Tuesday, May 11, 2021

IMPIAN GAZA

Terpekik terlolong minta perhatian
tiada sesiapa pun jiran peduli
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Anak bangsa seagamaku berlumuran darah
darah mengalir membasahi bumi
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Peluru menghujani jasad yang tak berdosa
kediaman diumpamakan lapang sasar
jiranku cuma menutup mata dan telinga.

Apa aku ada?
cuma ketulan batuan menjadi senjata
hanya sekujur tubuh menjadi pendinding
dengan laungan kalimah Allahuakbar 
ku rejam batuan menjadi peluru
ku tegapkan tubuh menjadi perisai syahid.

Impianku agar Allah menghulur bantuan
bagaikan Ababil menghapuskan tentera bergajah.

Fairus Mamat
9 Februari 2009


*****

"Dan khabarkan kepada Bani Israel dalam kitab itu : Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu berlaku sombong angkuh dengan melampau."

(Al-Isra' 17 : 4)

Sajak ini telah saya nukilkan pada tahun 2009. Pada ketika itu, kejadian sama seperti sekarang iaitu pengeboman Gaza oleh laknatullah Israel.

Kita sebenarnya telah banyak terhutang budi dengan rakyat Palestin. Mereka berjuang mempertahankan Al-Aqsa, masjid yang begitu suci dan merupakan kiblat pertama umat Islam.

Mereka sanggup mati untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan masjid Al-Aqsa, sedangkan kita di sini hanya mampu melihat dan mendengar dari jauh hal kesulitan dan penderitaan yang mereka alami.

Doa saja yang mampu dipanjatkan kepada Allah SWT agar perjuangan Palestin mempertahankan tanah air memperoleh kejayaan. Dengan izin Allah SWT, Insyaallah, suatu hari nanti dengan apa yang tercatat dalam Al-Quran, kejayaan pasti memihak kepada Islam.



Monday, May 10, 2021

PELAKON TAMBAHAN JEJAK RASUL 2021

Tanggal 9 Mei 2021 berakhirnya siri Jejak Rasul 2021 dengan 15 episod di mana 3 episod terakhir rakamannya di Melaka. Hampir seminggu juga penerbit dan kru rakaman berkampung di Melaka bagi menyiapkan tugasan ini.

Saya pada ketika itu, diarahkan oleh bos untuk membantu dan mengiringi kru pengambaran ke lokasi-lokasi pengambaran. Penerbit, pengacara dan kru-kru pengambaran semua ok, peramah, boleh berborak-borak. Kiranya seminggu saya sebagai pegawai pengiring (LO) tidaklah bosan.

Terdapat juga rakaman semasa kami sedang membuat kerja-kerja ekskavasi arkeologi sekitar Pulau Melaka, jadi ternampaklah kelibat saya dalam beberapa saat di episod terakhir Jejak Rasul 2021. πŸ˜…


Dalam rakaman ini kelihatan saya memakai baju kameja, nampak bersih dan rapi. Tapi hakikatnya, bila saya sudah turun ke tapak ekskavasi, beginilah rupanya. 

πŸ‘‡πŸΌπŸ‘‡πŸΌπŸ‘‡πŸΌ




Sunday, May 9, 2021

INI BUKAN A FAMOSA

Tolong sematkan di dalam hati masing-masing bahawa gambar di bawah ini nama sebenarnya ialah PINTU GERBANG SANTIAGO atau PORTA DE SANTIAGO bukan A' FAMOSA. 

Ini PINTU GERBANG SANTIAGO bukan A' FAMOSA

A' Famosa terletak di bahagian lain iaitu di hadapan bangunan merah (Stadthuys). Harap selepas ini tiada kekeliruan lagi. Jejak Rasul 2021 yang mengisahkan tentang Masjid Agong Melaka di Kota A' Famosa memang benar tapi bukan di pintu gerbang Santiago yang netizen bayangkan. 

Kekhilafan netizen disebabkan kerana pintu gerbang Santiago ini telah sekian lama dikenali A' Famosa sedangkan itu bukanlah namanya yang sebenar.

Berikut adalah dapatan saya yang menyatakan bahawa Masjid Agong Melaka bukan di Pintu Gerbang Santiago :

1. Masjid Agong Melaka terletak berhadapan sungai dan berdekatan jambatan. 

A' Famosa : Ya - Hadapannya Sungai Melaka dan ada jambatan menghubungkan kawasan pasar Melaka pada ketika itu (kini Jonker Street)

Pintu Gerbang Santiago : Tidak - Dahulu pintu gerbang ini berhadapan pantai (Sekarang telah ditambak dan berhadapan Dataran Pahlawan Megamall)

Kawasan ini meliputi A' Famosa hingga ke bulatan kancil (roundabout)


2. Mengikut arah kiblat.

A' Famosa : Ya, mengikut kiblat

Pintu Gerbang Santiago : Tidak mengikut kiblat.

Dilampirkan paparan video di mana pengacara Jejak Rasul 2021, Fedtri Yahya berdiri dan menunjukkan lokasi A' Famosa sebenar yang dipercayai tapak Masjid Agong Melaka.


Lihat video penuh di YouTube TV3 Malaysia Official

Semoga pendedahan ini bermanfaat untuk semua sekaligus memperbetulkan kekeliruan berkaitan kedudukan A' Famosa yang sebenar.

Lihat juga : Kedudukan A' Famosa Yang Sebenar