Thursday, May 6, 2021

PANTUN CINCAU

Kecoh sehari dua ini pasal cincau sehingga dibuat pantun oleh netizen. Saya pun sebenarnya kurang periksa bagaimana fenomena cincau ini bermula dan atas sebab apa. 


Bagi saya, selagi tidak terdetik hati saya untuk mengetahui sesuatu dengan lebih mendalam, elok dibuat bagai angin lalu. Namun, suka untuk saya mencipta pantun-pantun bertemakan cincau.


Pergi Melaka membeli cincau,

mari diminum waktu berbuka;

anak orang jangan dikacau,

kelak nanti lebam di muka.


Anak dara senyum ketawa,

duduk di serambi menikmati cincau;

anak perantau terus kecewa,

tak balik raya jiwa meracau.


Burung kedidi berkicau-kicau,

sambil menikmati seulas nangka;

apalah nasib dirimu cincau,

terhempas ke lantai sebelum berbuka.


Ok.  Setakat ini sahaja idea untuk membuat pantun bertemakan cincau. Puas pula nak memikir, ilham tak datang-datang. 

Ada kalanya bagus juga ada benda-benda viral sebegini kerana mengalakkan netizen berimaginasi dan kreatif dalam mencipta pantun-pantun. Tidak kiralah sama ada pantun yang dicipta itu baik atau sebaliknya, sekurang-kurangnya netizen telah mencuba dan buat yang terbaik.

Pantun juga merupakan salah satu warisan kita yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Baru-baru ini iaitu pada 17 Disember 2020, pantun telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia bagi kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan. Pengiktirafan ini adalah secara bersama iaitu Malaysia dan Indonesia.

Ada siapa pandai berpantun? Sila sertakan pantun kalian di ruangan komen. 😃👍🏼 

Lihat juga koleksi pantun saya di entri buku Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga.

Monday, May 3, 2021

DOA LAILATULQADAR


Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam :

Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu?

Baginda menjawab, ucapkanlah : Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Anni.

(HR. Ahmad 25384, At-Tirmizi 3513, Ibn Majah 3850, An-Nasai dalam Amal Al-yaum wa lailah, dan Al-Baihaqi dalam Syua’bul Iman 3426).

Selamat beramal.