Thursday, April 29, 2021

SALAM NUZUL AL-QURAN 1442 HIJRAH


Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan nabi Muhammad S.A.W ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira’.

Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah S.A.W beransur-ansur melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s selama 23 tahun, iaitu 13 tahun diturunkan di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat daripada Surah Al-Alaq.

Perkataan "Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W yang memberi makna terlalu besar kepada umat Islam.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan salam Nuzul al-Quran buat semua muslimin dan muslimat seantero dunia. Semoga kita semua tergolong dalam insan-insan yang membaca dan memahami isi kandungan al-Quran.

Monday, April 26, 2021

SUDAH ADA YANG BAYAR!

Kali kedua saya singgah di gerai tepi jalan untuk membeli juadah tetapi peniaga tidak mahu menerima wang kerana ia telah dibayar. Kali pertama dahulu, sebelum bulan Ramadan, masa membeli nasi lemak, namun ia telah dibayar oleh seseorang. Alhamdulillah, rezeki Allah SWT yang tentukan.

Kuih seri muka dan koci yang dibeli petang tadi telah dibayar orang


Menurut peniaga, memang biasa jualannya diborong oleh seseorang, kemudian disedekahkan kepada pembeli-pembeli yang mengunjungi gerainya.

Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih dan berdoa agar si pemberi terus dilimpahi rezeki yang berlipat kali ganda. Insyaallah... 

Sebenarnya, bukan gerai itu saja, di tempat kerja pun sama. Sebelum Ramadan dahulu ada saja insan-insan berhati mulia sedekah (belanja makan) dengan memberikan sejumlah amaun ke sebuah kedai, dan apabila kakitangan jabatan kami makan, dikira telah dibayar makanannya. Ini sangat memotivasikan saya untuk membuat perkara yang sama. 

Dalam keadaan kesulitan yang dihadapi oleh kebanyakan orang sekarang, masih banyak lagi jiwa-jiwa berhati mulia. Mereka begitu pemurah dalam membantu meringankan sedikit beban bagi mereka dalam kesukaran. 

Kita tak sehebat Ustaz Ebit Liew, namun sekiranya ada sedikit kelebihan, bantulah orang yang sangat memerlukan. Dalam wang yang kita miliki, ada hak orang-orang lain juga. Kita bantu orang untuk bantu diri sendiri di akhirat.