Sunday, April 18, 2021

MATI SAMBIL MEMEGANG TELEFON BIMBIT

Tajuk yang saya pilih ini tidak mustahil berlaku pada insan-insan yang berada di muka bumi ini. Dan perkara ini memang telah pun berlaku tak kira di dalam negara kita mahupun di luar negara.

Ini berlaku kerana kebergantungan kita terhadap telefon bimbit adalah tinggi. Boleh dikatakan hampir setiap hari, pastinya kita akan membelek-belek telefon bimbit untuk membaca whatsapp, melihat Facebook, blog dan Instagram dan lain-lain lagi.

Bukannya seminit dua, kita boleh terus membelek-belek telefon bimbit hingga berjam-jam lamanya. Masa yang begitu berharga dihabiskan begitu sahaja tanpa membuat perkara yang lebih berfaedah.

Alangkah baiknya bagi kita yang beragama Islam ini dapat meluangkan masa untuk membaca Al-Quran, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan al-Mubarak ini. Bukan sahaja dapat pahala, malah pahala yang berlipat kali ganda. Itulah janji Allah SWT, mana mungkin Dia dustakan.




Tidak dapat membaca satu juzuk, dua tiga helai sehari pun boleh. Andai tidak mampu juga, sehelai sehari pun sudah cukup baik. Apa yang penting, kita tidak melupakan Al-Quran yang merupakan kalam Allah SWT yang suci.

Bukan niat untuk mengajar, cuba sekadar mengingatkan kepada rakan-rakan muslim agar tidak melupakan Al-Quran. Peringatan ini juga merupakan ingatan keras untuk diri sendiri. Memang lumrah manusia selalu lupa dan perlu diperingatkan. Sepertimana isi yang terkandung di dalam surah Al-Asr.



Thursday, April 15, 2021

UBI KAYU SUDAH JADI BOKO UBI

Alkisah semalam menuai sebatang pokok ubi kayu di belakang rumah. Dapatlah beberapa biji ubi kayu yang comel-comel saiznya.

Hasil daripada tuaian semalam terus isteri saya merebus ubi untuk dibuat boko ubi. Sememangnya dahulu saya pernah beritahu isteri, apabila ubi kayu telah mengeluarkan hasil, saya nak minta dia buatkan boko ubi. Sebelum ini pun dia pernah buat dan rasanya pun sedap.


Ha.. inilah rupa boko ubi yang isteri saya buatkan tu. Betul-betul sudah nak masuk waktu berbuka, boko ubi ini siap dihidangkan.  Dapat juga memberikan pada jiran berdekatan. Alhamdulillah, dapat juga jiran merasa.

Entri ini dibuat sebab ada seorang uncle ni bertanya di ruang komen menanyakan dia mahu melihat apa hidangan daripada ubi kayu yang dicabut tu. Jadi uncle, inilah hasilnya... BOKO UBI. 😃😃😃

Selain ubi kayu di belakang rumah yang tanahnya sekangkang kera tu saya turut menanam pokok mulberi, kelapa pandan, cili, nona, serai, daun pandan, durian belanda, jambu air dan nangka namun belum banyak yang keluarkan hasil. Cuma yang sudah mengeluarkan hasil ialah nona, mulberi dan ubi kayu sahaja.