Wednesday, April 7, 2021

MENANG ANUGERAH BUKU NEGARA

 


Alhamdulillah. Sebenarnya, hanya sekelumit sumbangan aku dalam penulisan buku ini. Hari ini pada tanggal 7 April 2021, buku Himpunan Kuih Muih Tradisional Etnik Melaka telah diangkat untuk memenangi Anugerah Buku Negara bagi kategori Buku Warisan yang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur.

Buku ini adalah terbitan jabatan aku yang menghimpunkan resepi kuih muih tradisional etnik Melaka dan artikel-artikel berkaitan.

Antara resepi-resepi yang terkandung dalam buku ini adalah dari etnik Melayu, Cina, India, Portugis, Chetti, Baba Nyonya dan Orang Asli. Buku ini ditulis dalam dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris

Tidaklah banyak mana penulisan aku dalam buku ini, hanya 3 artikel sahaja iaitu : 

1. Pengenalan Perbadanan Muzium Melaka

2. Kuih-muih Warisan Satukan Etnik Melaka

3.  Masakan Tradisional Portugis, Istimewa di Pesta Keagamaan

Sekiranya rakan-rakan blogger ingin mendapatkan buku ini, saya sedia membantu untuk poskan buku ini kepada kalian. Bolehlah tinggalkan komen di bawah sekiranya ingin membeli.


Harga buku ini sepertimana yang tercatat pada poster promosi di atas. Sekiranya mahu membeli, sila tambah beberapa RM untuk tujuan pengeposan. 

WW : MENJENGAH AWAN

 


Monday, April 5, 2021

JUMPAAN STRUKTUR KAPAL DI PULAU MELAKA

 








Sekiranya bukan kayu dari struktur kapal, kayu apakah ini? Inilah persoalan demi persoalan yang bermain di minda dan fikiran aku selama lebih kurang seminggu bersama pasukan untuk menyerlahkan jumpaan kayu ini.

Projek yang dirangka dilaksanakan seminggu masih tidak dapat membongkar persoalan ini. Secara hipotesis, pihak pengkaji berpendapat ini adalah struktur rangka kapal yang berkemungkinan dari zaman kesultanan Melayu Melaka. Ini dikuatkan lagi apabila di lokasi yang sama ditemui ratusan matawang termasuk matawang Sultan Mahmud Syah (1488 - 1511). Turut ditemui sebuah mangkuk porselin kecil dalam keadaan baik.

Kayu yang ditemui telah dibuat uji kaji dan ia adalah dari spesis merbau. Menurut pengkaji, kayu merbau hanya terdapat sekitar Nusantara, justeru adalah dipercayai juga kapal ini merupakan kapal Alam Melayu. Terdapat juga penggunaan teknik pasak yang terkenal dalam senibina Melayu lama.

Dalam perancangan, kerja-kerja ekskavasi bagi menyelamatkan artifak di kawasan tersebut akan dilakukan termasuklah kerja-kerja untuk menyerlahkan jumpaan kayu-kayu yang masih tertanam.

Semoga kerja-kerja ini dipermudahkan dan sejarah kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka dapat dibangkitkan kembali sebagai pembuktian kepada penulisan-penulisan sejarah yang kita sedia maklum selama ini. Jika benar, struktur kayu yang dikatakan sebagai kayu kapal zaman kesultanan Melayu Melaka, maka ia merupakan penemuan yang hebat bagi negeri Melaka dan secara tidak langsung akan merancakkan lagi sektor pelancongan berkaitan sejarah.