Monday, April 5, 2021

JUMPAAN STRUKTUR KAPAL DI PULAU MELAKA

 








Sekiranya bukan kayu dari struktur kapal, kayu apakah ini? Inilah persoalan demi persoalan yang bermain di minda dan fikiran aku selama lebih kurang seminggu bersama pasukan untuk menyerlahkan jumpaan kayu ini.

Projek yang dirangka dilaksanakan seminggu masih tidak dapat membongkar persoalan ini. Secara hipotesis, pihak pengkaji berpendapat ini adalah struktur rangka kapal yang berkemungkinan dari zaman kesultanan Melayu Melaka. Ini dikuatkan lagi apabila di lokasi yang sama ditemui ratusan matawang termasuk matawang Sultan Mahmud Syah (1488 - 1511). Turut ditemui sebuah mangkuk porselin kecil dalam keadaan baik.

Kayu yang ditemui telah dibuat uji kaji dan ia adalah dari spesis merbau. Menurut pengkaji, kayu merbau hanya terdapat sekitar Nusantara, justeru adalah dipercayai juga kapal ini merupakan kapal Alam Melayu. Terdapat juga penggunaan teknik pasak yang terkenal dalam senibina Melayu lama.

Dalam perancangan, kerja-kerja ekskavasi bagi menyelamatkan artifak di kawasan tersebut akan dilakukan termasuklah kerja-kerja untuk menyerlahkan jumpaan kayu-kayu yang masih tertanam.

Semoga kerja-kerja ini dipermudahkan dan sejarah kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka dapat dibangkitkan kembali sebagai pembuktian kepada penulisan-penulisan sejarah yang kita sedia maklum selama ini. Jika benar, struktur kayu yang dikatakan sebagai kayu kapal zaman kesultanan Melayu Melaka, maka ia merupakan penemuan yang hebat bagi negeri Melaka dan secara tidak langsung akan merancakkan lagi sektor pelancongan berkaitan sejarah.

Monday, March 29, 2021

JUMPAAN ARTIFAK DI PULAU MELAKA DAN KOTA SYAHBANDAR

Negeri Melaka dikenali sebagai negeri bersejarah sejak sekian lama. Tidak hanya bersejarah, negeri ini juga telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai tapak warisan dunia.

Sebagai warga Melaka, secara peribadi aku sangat bangga dilahirkan di tanah bertuah ini. Bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan sejarah, budaya dan warisan membuatkan aku lebih menyanjungi negeri ini kerana kesultanan Melayu Melaka dahulu masyhur seantero dunia.

Boleh dikatakan tiada kawasan di Melaka tiada sejarah. Lebih-lebih lagi di kota Melaka yang dahulunya merupakan kawasan pentadbiran kesultanan Melayu Melaka dan kemudiannya Portugis, Belanda dan Inggeris turut mentadbir negeri di lokasi yang sama iaitu di Bukit Melaka yang kini dikenali sebagai bukit St. Paul.

Kesultanan Melayu Melaka dahulu sangat gah. Sayangnya, disebabkan Melaka mengalami zaman penjajahan yang begitu lama, hampir tidak kelihatan bekas bangunan atau monumen yang bercirikan kesultanan Melayu Melaka. Hanya yang ada ialah replika Istana Kesultanan Melaka.

Walaupun sejarah kesultanan Melayu Melaka kurang dapat dibuktikan dalam bentuk monumen, namun banyak penulisan dari dalam negara dan juga catatan dari China, Portugis, Belanda, Inggeris dan lain-lain ada menyebut mengenai kemasyhuran Melaka pada sekitar abad ke-13 hingga zaman kejatuhan Melaka. Tidak hanya catatan, pembuktian kehebatan kesultanan Melayu Melaka juga boleh dilihat dari artifak-artifak yang berkaitan dengan sejarah kesultanan Melayu Melaka.

Pada 26 Mac 2021 aku telah berpeluang untuk menyertai kerja-kerja servei dan penyelamatan artifak di dua lokasi di negeri ini iaitu sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar. Kerja-kerja ini melibatkan beberapa ahli yang terdiri daripada Jabatan Warisan Negara (JWN), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan penyelidik bebas.

Memang banyak... Memang banyak artifak yang ditemui sekitar dua lokasi tersebut. Antara jumpaan ialah tempayan, pecahan tembikar dan seramik serta duit syiling zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti syiling Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mahmud Syah. Turut dijumpai syiling era Portugis dan Belanda.

Kawasan tempat kami jumpa artifak tersebut merupakan kawasan tambak laut. Sekiranya tidak ditambak, sebenarnya ia terletak di tengah-tengah laut. Umum mengetahui, Melaka merupakan empayar maritim yang mempunyai pelabuhan entrepot yang menghubungkan dagangan Timur dan Barat. Justeru, secara hipotesisnya, kebarangkalian artifak yang dijumpai itu adalah dari kapal karam di kawasan perairan ini. Ini diperkuatkan lagi dengan jumpaan kayu-kayu yang dipercayai merupakan kayu kapal yang berkemungkinan telah karam suatu masa dahulu.

Semoga dengan jumpaan-jumpaan artifak ini memperkuatkan lagi bukti dan hujah bahawa Melaka merupakan empayar yang penuh gilang gemilang pada zaman dahulu dan mempunyai pelabuhan yang hebat. Ini bertepatan dengan catatan Tome Pires yang menyatakan bahawa barang siapa yang dapat menguasai pelabuhan Melaka, maka dia sedang mencekik leher Venice.





Gambar-gambar di atas merupakan kerja-kerja ekskavasi arkeologi yang dijalankan. Nampak seperti mudah, tetapi ia tidak semudah yang disangka. Atas dasarnya kelihatan pasir, namun apabila dikorek, maka bermainlah kami dengan lumpur dan selut. Nak jumpa artifak pun sukar.




Gambar-gambar ini pula antara artifak yang ditemui. Kebanyakan tempayan, tembikar dan ceramik yang ditemui hampir tidak lengkap kerana telah pecah semasa ditemui.





Dan gambar-gambar yang terakhir ini merupakan gambar yang diambil oleh jurugambar. Semasa ini kami sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan jumpaan artifak sebelum direkod setiap artifak yang ditemui.