Tuesday, November 10, 2020

BERTEMANKAN KOPI O DALAM KEDINGINAN MALAM

 


Malam-malam begini aku suka menyendiri di belakang rumah sambil menikmati secawan kopi. Merasai kedinginan malam sambil mendengar pelbagai bunyi-bunyian alam.

Di sebalik tembok di hadapan aku ini adalah sawah padi. Sebelum aku naikkan tembok batu, aku dapat lihat dengan jelas saujana kehijauan sawah padi.

Aku suka lepak di belakang rumah ini kerana ingin mencari ilham dan ketenangan. Mencari ilham untuk menulis sama ada karya kreatif atau pun penulisan ilmiah. Namun kadang-kadang seram juga apabila terdengar bunyi-bunyi yang semacam dan menyeramkan.

Apabila terasa seram, segeralah aku masuk ke dalam rumah. Duduk di tepi sawah ni, macam-macam bunyi dapat didengari. Nak kata aku ni penakut, taklah juga, ada kalanya aku teringin juga nak melihat "sesuatu" yang belum pernah aku lihat.


Monday, November 9, 2020

BUKIT MELAKA : SATU CATATAN SEJARAH

Bukit yang kini dikenali sebagai Bukit St. Paul merupakan sebuah bukit yang mempunyai dan menyimpan seribu satu rahsia yang masih belum terbongkar. Bukit ini menjadi saksi bisu kegemilangan Melaka dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga kepada kehancurannya apabila didatangi oleh kuasa-kuasa Barat. Pahlawan-pahlawan, hulubalang-hulubalang dan tentera-tentera Kesultanan Melayu Melaka mempertahankan kerajaan dari bukit ini sehingga sebilangan besar mereka cedera, menemui ajal dan akhirnya Melaka jatuh ke tangan penjajah.

Bukit ini telah menjadi pusat pentadbiran dari zaman awal Kesultanan Melayu Melaka sehingga ke zaman penjajahan di mana Portugis, Belanda dan British turut menjadikan kawasan sekitar bukit ini sebagai pusat pemerintahan di Melaka. Apabila negara mencapai kemerdekaan, kawasan bukit ini tetap diteruskan tradisinya sebagai pusat pemerintahan. Kerajaan negeri Melaka telah mentadbir negeri Melaka di sekitar bukit ini sehingga akhir tahun 1979 sebelum berpindah ke pusat pentadbiran baharu di Jalan Hang Tuah kemudiannya berpindah ke Ayer Keroh.

Nama asal bukit St. Paul adalah Bukit Melaka sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka atau lagi awal sepertimana yang terdapat di dalam catatan sejarah yang ditulis oleh penulis tempatan mahupun asing. Nama Bukit Melaka sering bertukar-tukar selari dengan kehendak penjajah pada masa itu.

Pada era penjajahan Portugis, Bukit Melaka dikenali sebagai Monte Ali Maria (Bukit Ali Maria). Pada masa era Belanda pula, bukit ini disebut sebagai Boquit Sao Paulo (Bukit St. Paul). Manakala pada zaman British bukit ini dikenali sebagai Bukit Bendera, sama seperti di Pulau Pinang, namun nama ini tidak kekal lama dan kembali dikenali sebagai Bukit St. Paul sehingga kini.

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa nama Bukit Melaka telah digunakan sejak di zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ini dapat dibuktikan melalui catatan manuskrip Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang mengisahkan Sultan Alauddin Riayat Syah sedang mengejar pencuri. Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan pemerintah Melaka dari tahun 1477 hingga 1488. Kisah ini dicatatkan seperti berikut :

"Maka Sultan Alau'd-Din dengan Hang Isap pun pergilah mengikut pencuri lima orang itu, maka segala pencuri itu pun lari ke atas Bukit Melaka, maka diikuti baginda ke atas bukit, bertemu di negara bukit itu; maka Sultan Alau'd-Din pun bertempik, lalu diparang baginda seorang, kena pinggangnya putus seperti mentimun, penggal dua. Maka yang empat orang itu lari ke jambatan, diperturut oleh baginda; datang ke bawah bodi, maka keempatnya berbalik menghadapi Sultan Alau'd-Din. Maka dibunuh baginda pula seorang lagi, maka yang tiga orang itu lari. Setelah datang ke hujung jambatan, dibunuh oleh Hang Isap seorang; yang dua orang itu lagi terjun ke air, lalu berenang ke seberang. Setelah itu maka Sultan Alau'd-Din pun berjalanlah kembali mendapatkan Hang Ishak. Maka titah baginda pada Hang Ishak dan Hang Isap, "Bawa peti ini ke rumahmu;" maka sembah Hang Isap, "Baiklah tuanku." Maka Sultan Alau'd-Din pun kembalilah ke istana baginda.” (Sulalatus Salatin : 174)


“So Permicuri fortified himself on the crest of the hill, where he was safe and free from the fear of being taken and killed. Moreover, he employed the greatest industry and energy in extending the town on both sides of the river; and he developed his new state by establishing commerce and traffic with the surrounding peoples who all came to the port for the shadfishery…” (Description of Malaca : 17).

Terdapat lakaran peta di dalam buku yang ditulis Eredia memaparkan kawasan pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka di zaman pemerintahan Parameswara yang memaparkan Bukit Melaka ditulis sebagai “Buquet Malaca”.


Selain Buquet Malaca yang dicatatkan oleh Eredia, terdapat nama-nama bukit lain seperti Bukit China (Buquet China), Bukit Pipi (Buquetpipi) dan Bukit Piatu (Buquetpiatto) turut disebut dalam catatan tersebut.

Tome Pires pula di dalam buku Suma Oriental mencatatkan kewujudan Bukit Melaka yang ditulis sebagai hill of Malacca. Berikut antara perenggan penulisannya :

"Paramjcura did not want to annoy his son and went there, his chief mandarin – his son’s father-in-law-going as his guide to show the way, because of the thick grove of trees that extends from the said Bretao to the hill of Malacca-as it does today-although it is not more than two leagues, and when the king arrived he saw three hills almost together, at [a distance of] three or four good shots of a crossbow, to wit. The hill of Boqua China with lovely waters and very fresh, and the hill of Alacras which is on side of Tuam Colaxcar, the Javanese Moor, and the hill of animals (momte Dalimaria) where this famous fortress now is. Paramjcura said to his son ‘Xaquem Daxa where do you want to settle?’ and the son said on this hill of Malacca. The father said it should be so. And at the said time he built his houses on top of the hill where the kings of Malacca have had their dwelling and residence until the present time”. (Suma Oriental : 237)

Tome Pires turut mencatatkan bahawa nama bukit St. Paul bukanlah nama sebenar bagi bukit tersebut melalui pernyataan ini :

“The Monte da Alimaria is, of course, the modern St. Paul’s Hill” (Suma Oriental : 237)

Adalah dipercayai selain istana dan kubu yang dibina di atas Bukit Melaka ini, turut dibangunkan petempatan untuk keluarga diraja seperti masjid besar, balairung dan keperluan lain. Kedudukan petempatan di atas bukit ini dibuat berdasarkan catatan Fernao Lopes De Castanheda dalam Bab CXII About Malacca town, Its Great Riches and How it Become a Kingdom yang terdapat dalam Portuguese Document on Malacca seperti berikut :

“In the southern part of the town are the palace of the Sultan on a hill and also a big mosque. In the southern part live people of high rank.” (Portuguese Document : 85) “The wounded Sultan flet with his men to the hill where their houses were, and regrouped there.” ( Portuguese Document : 331)

“They climbed the hill on which the Sultan had lived, and realizing that he was already far away to be reached…And angry at his having fled with his treasures they decided to take revenge by setting fire to the Sultan’s palace and the houses of the prince and the top administrators.” (Portuguese Document : 349)

Keterangan ini menunjukkan bahawa sehingga kedatangan Portugis, petempatan diraja masih berada di atas Bukit Melaka. Dalam serangan ke atas Melaka, Sultan Mahmud dikatakan mengundurkan diri ke istana bersama pengikutnya yang juga menetap di atas Bukit Melaka. Namun istana dan rumah-rumah di atas bukit tersebut kemudiannya telah dibakar oleh Portugis apabila mereka mendapati Sultan dan pengikutnya telah mengundurkan diri bersama harta benda.