Memetik dari Hikayat Abdullah :
“Maka diiringan bukit itu rumah raja, terlalu indah-indah perbuatannya. Adapun jalan di rumah raja itu boleh berjalan dari bawah tanah masuk ke dalam bukit itu; dan lagi pula ada satu pintu dari situ boleh berjalan terus sampai ke sungai” (Hikayat Abdullah : 49).
Di sini didapati Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau Munsyi Abdullah telah mengambarkan bahawa terdapat laluan di bawah tanah di kawasan pentadbiran British dahulu iaitu di sekitar Bukit Melaka.
Walaubagaimanapun, kemungkinan laluan yang dinyatakan tersebut merupakan laluan sedia ada yang terdapat di bangunan Stadthuys sekarang yang dahulunya digunakan sebagai laluan sama ada untuk kegunaan orang ramai, ketenteraan ataupun sebagai laluan logistik.
Pada tahun 1976 dicatatkan terdapat kerja-kerja menggali kesan sebuah lubang telah dilaksanakan oleh kakitangan Muzium Melaka :
“Tentang perigi ini, pada tahun 1976 atau 1977, pegawai-pegawai Muzium Melaka pernah menggali kesan sebuah lubang di kaki Bukit St. Paul di sebelah Stadthuys atau Stadthuis, iaitu berhampiran jalan masuk ke Pejabat Pentadbiran Negeri dahulu (sekarang pejabat Muzium Negeri). Pada ketika itu, penggalian tersebut diharapkan akan menemukan pintu masuk ke terowong dari Stadthuys ke Bukit St. John (Bukit Senjuang). Hal ini kerana sudah lama terdapat khabar angin di kalangan penduduk Bandar Melaka bahawa Portugis atau Belanda ada menggali terowong di bawah tanah untuk menyambungkan kedua-dua bukit tersebut.”
"Kerja-kerja menggali kesan lubang itu turut disaksikan sekali oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Setia Ghani Ali. Namun setelah lubang tersebut digali dengan agak dalam, pihak Muzium Melaka masih gagal bertemu dengan pintu terowong yang diharapkan. Kemungkinan besar lubang tersebut hanya bekas sebuah perigi lama." (Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi : 52 – 53)
Walaubagaimanapun, jika dilihat daripada kerajaan atau empayar yang besar pada zaman lalu, banyak ditemui terowong atau laluan rahsia bawah tanah dibina sama ada untuk kegunaan keselamatan, ketenteraan atau lain-lain.
Justeru, satu kajian arkeologi secara holistik perlu dilaksanakan bagi merungkai sama ada terdapatnya terowong atau laluan rahsia di sekitar Bukit Melaka (Bukit St. Paul).
Sekiranya benar-benar terdapat terowong atau laluan rahsia di situ, maka ia merupakan sebuah jumpaan yang hebat serta mampu merungkai segala persoalan yang timbul sejak sekian lama.