Monday, September 21, 2015

APA YANG LEGA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Apa yang membuatkan anda berasa lega? Lega dapat menyiapkan tugasan? Lega selepas keluar tandas? Lega kerana masalah dapat diselesaikan? Macam-macam rupanya perasaan lega ini boleh dirasai.

Ada suatu kelegaan yang biasa boleh kita sendiri rasai iaitu lega apabila dapat menunaikan penuh solat lima waktu. Apabila selesai solat Isya', terasa satu kelegaan. Kelegaan kerana berjaya melengkapkan solat sehari semalam. Kalau tidak, rasa seperti tidak lengkap.

Gambar sekadar hiasan. Sumber >> KLIK <<

Apabila sudah dapat menjalankan suatu kewajipan, yang lain-lainnya sama ada ia diterima atau tidak, kita serahkan saja kepada ALLAH SWT. 

Ayuh rakan-rakan. Sempurnakanlah solat kita setiap hari. Jagalah solat kita. Semoga kita sama-sama tergolong dalam orang yang beriman. 

Friday, September 18, 2015

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN SEMASA JEREBU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Teruk juga negara kita terjejas akibat jerebu. Di Melaka sekarang, nampaknya bertambah baik tak macam dua, tiga hari yang lepas hingga sekolah pun terpaksa ditutup.

Sumber gambar >> KLIK <<

Bagi mereka yang kurang sihat, eloklah ambil langkah pencegahan menjaga kesihatan ketika musim jerebu ni. Berikut antara langkah-langkah pencegahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia :

1. Seboleh mungkin berada di dalam bangunan.

2. Kurangkan aktiviti di luar rumah.

3. Kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian anggota badan yang terdedah dengan jerebu.

4. Banyakkan minum air.

5. Menggunakan penutup hidung dan mulut apabila hendak keluar dari rumah / bangunan.

6. Perokok dinasihatkan berhenti merokok.

7. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang jerebu di media massa dan mengikut nasihat pihak berkuasa.

Jadi, ambillah langkah-langkah pencegahan ini dan sayangilah kesihatan diri anda.

Sekian, terima kasih.

Fairus Mamat
Dr. Cinta Jerebu

Thursday, September 10, 2015

ALUNAN PEPERANGAN DI ALAM MELAYU : MENYINGKAP KISAH DALAM SULALATUS SALATIN - TUN PERAK PATAHKAN SERANGAN SIAM KE ATAS MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

*****

Kerajaan Syahru’n Nuwi atau lebih dikenali sebagai Siam merupakan kerajaan yang besar suatu ketika dahulu. Rajanya bernama Bubunnya. Terdapat beberapa kerajaan di selatan Siam adalah di bawah takluk Paduka Bubunya.

Melaka pada ketika itu juga merupakan sebuah kerajaan yang besar di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Pernah sekali Paduka Bubunnya menghantar utusan ke Melaka menyuruh Melaka menghantar sembah ke Siam namun Sultan Muzaffar Syah enggan berbuat demikian. Hal ini telah menyebabkan Paduka Bubunnya teramat murka.

Justeru, Paduka Bubunnya telah menitahkan hulubalang baginda bernama Awi Cakri bersama-sama rakyat Siam untuk pergi memerangi Melaka. Bilangan rakyat Siam yang dapat dikumpulkan amatlah ramai hingga tidak terkira banyaknya.

Berita Siam hendak menyerang Melaka telah diketahui awal oleh Sultan Muzaffar Syah. Baginda telah menitahkan segala rakyat jelata untuk berkumpul di Melaka untuk mempertahankan negeri dari serangan Siam. Tun Perak pada ketika itu merupakan penghulu Kelang turut ke Melaka dengan membawa orang-orang Kelang, lelaki dan perempuan beserta anak-anak mereka bagi membantu Melaka menghadapi serangan Siam.

Wajah Bendahara Tun Perak dari gambaran artis

Setelah rakyat Siam menghampiri Melaka, maka berlakulah peperangan di antara kedua-dua belah pihak. Oleh kerana terlalu ramai rakyat Melaka memerangi Siam untuk mempertahankan Melaka, maka tiada upaya rakyat Siam untuk mengalahkan Melaka. Rakyat Siam pun banyak yang mati dalam pertempuran tersebut dan mana yang terselamat telah kembali berundur ke Siam.

Setelah berundurnya Siam, rakyat jelata yang mempertahankan Melaka pun kembalilah ke penempatan masing-masing kecuali Tun Perak. Sultan Muzaffar Syah amat berkenan dengan Tun Perak kerana kebijaksanaannya dan dititah baginda supaya tinggal di Melaka. Tun Perak terus dilantik sebagai bentara Melaka oleh sultan. Tidak beberapa lama kemudian, Tun Perak telah dinaikkan pangkat kepada jawatan menteri seterusnya dilantik sebagai bendahara Melaka dengan gelaran Bendahara Paduka Raja.