Friday, September 18, 2015

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN SEMASA JEREBU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Teruk juga negara kita terjejas akibat jerebu. Di Melaka sekarang, nampaknya bertambah baik tak macam dua, tiga hari yang lepas hingga sekolah pun terpaksa ditutup.

Sumber gambar >> KLIK <<

Bagi mereka yang kurang sihat, eloklah ambil langkah pencegahan menjaga kesihatan ketika musim jerebu ni. Berikut antara langkah-langkah pencegahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia :

1. Seboleh mungkin berada di dalam bangunan.

2. Kurangkan aktiviti di luar rumah.

3. Kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian anggota badan yang terdedah dengan jerebu.

4. Banyakkan minum air.

5. Menggunakan penutup hidung dan mulut apabila hendak keluar dari rumah / bangunan.

6. Perokok dinasihatkan berhenti merokok.

7. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang jerebu di media massa dan mengikut nasihat pihak berkuasa.

Jadi, ambillah langkah-langkah pencegahan ini dan sayangilah kesihatan diri anda.

Sekian, terima kasih.

Fairus Mamat
Dr. Cinta Jerebu

Thursday, September 10, 2015

ALUNAN PEPERANGAN DI ALAM MELAYU : MENYINGKAP KISAH DALAM SULALATUS SALATIN - TUN PERAK PATAHKAN SERANGAN SIAM KE ATAS MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

*****

Kerajaan Syahru’n Nuwi atau lebih dikenali sebagai Siam merupakan kerajaan yang besar suatu ketika dahulu. Rajanya bernama Bubunnya. Terdapat beberapa kerajaan di selatan Siam adalah di bawah takluk Paduka Bubunya.

Melaka pada ketika itu juga merupakan sebuah kerajaan yang besar di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Pernah sekali Paduka Bubunnya menghantar utusan ke Melaka menyuruh Melaka menghantar sembah ke Siam namun Sultan Muzaffar Syah enggan berbuat demikian. Hal ini telah menyebabkan Paduka Bubunnya teramat murka.

Justeru, Paduka Bubunnya telah menitahkan hulubalang baginda bernama Awi Cakri bersama-sama rakyat Siam untuk pergi memerangi Melaka. Bilangan rakyat Siam yang dapat dikumpulkan amatlah ramai hingga tidak terkira banyaknya.

Berita Siam hendak menyerang Melaka telah diketahui awal oleh Sultan Muzaffar Syah. Baginda telah menitahkan segala rakyat jelata untuk berkumpul di Melaka untuk mempertahankan negeri dari serangan Siam. Tun Perak pada ketika itu merupakan penghulu Kelang turut ke Melaka dengan membawa orang-orang Kelang, lelaki dan perempuan beserta anak-anak mereka bagi membantu Melaka menghadapi serangan Siam.

Wajah Bendahara Tun Perak dari gambaran artis

Setelah rakyat Siam menghampiri Melaka, maka berlakulah peperangan di antara kedua-dua belah pihak. Oleh kerana terlalu ramai rakyat Melaka memerangi Siam untuk mempertahankan Melaka, maka tiada upaya rakyat Siam untuk mengalahkan Melaka. Rakyat Siam pun banyak yang mati dalam pertempuran tersebut dan mana yang terselamat telah kembali berundur ke Siam.

Setelah berundurnya Siam, rakyat jelata yang mempertahankan Melaka pun kembalilah ke penempatan masing-masing kecuali Tun Perak. Sultan Muzaffar Syah amat berkenan dengan Tun Perak kerana kebijaksanaannya dan dititah baginda supaya tinggal di Melaka. Tun Perak terus dilantik sebagai bentara Melaka oleh sultan. Tidak beberapa lama kemudian, Tun Perak telah dinaikkan pangkat kepada jawatan menteri seterusnya dilantik sebagai bendahara Melaka dengan gelaran Bendahara Paduka Raja.

Wednesday, September 9, 2015

ALUNAN PEPERANGAN DI ALAM MELAYU : MENYINGKAP KISAH DALAM SULALATUS SALATIN - AKIBAT BELOT SINGAPURA KALAH KEPADA MAJAPAHIT

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

*****

Ketika Raja Iskandar Syah memerintah Singapura, terdapat seorang Bendahari bernama Sang Rajuna Tapa. Sang Rajuna Tapa mempunyai seorang anak perempuan yang terlalu cantik yang telah dijadikan dayang oleh Raja Iskandar Syah. Oleh kerana terlalu kasihnya baginda kepada dayangnya itu, dayang-dayang yang lain amat cemburu lalu menfitnah dengan menyatakan beliau telah bermukah. Raja Iskandar Syah begitu murka dan tanpa usul periksa telah menghukum dayangnya itu dengan hukuman sula di hujung pasar.

Hati bapa mana tidak terasa apabila anaknya dimalukan sebegitu. Dalam diam-diam, Sang Rajuna Tapa ingin membalas dendam atas perbuatan Raja Iskandar Syah. Sang Rajuna Tapa telah menghantar surat ke Betara Majapahit meminta Majapahit menyerang Singapura kerana beliau ingin belot kepada Raja Singapura.

Betara Majapahit telah menitahkan mempersiapkan 300 buah jong dengan muatan 200,000 bala tentera untuk menyerang Singapura dengan diketuai oleh Demang Mangku Negara sebagai panglima.

Keberangkatan angkatan perang Majapahit tidak dapat diketahui oleh pemerintah Singapura. Setibanya di Singapura, angkatan Majapahit telah dapat mengepung kota tanpa sempat tentera Singapura membuat persiapan untuk berperang. Kemudian, berlakulah pertempuran yang hebat antara kedua-dua belah pihak. Ramai tentera Singapura yang mati dalam pertempuran itu menyebabkan mereka terpaksa berundur ke dalam kota lantas menutup pintu kota. Peperangan terus berlanjutan selama satu bulan dengan angkatan Singapura menyerang dari dalam kota.

(Gambar hiasan) Singapura dilanggar todak. Sumber >> KLIK <<


Lantaran peperangan yang berlanjutan hingga satu bulan, bekalan makanan di dalam kota telah berkurangan. Raja Iskandar Syah telah menitahkan Sang Rajuna Tapa untuk mencari dan membeli beras, namun tiada siapa yang menjualnya. Akibat dari itu, angkatan Singapura sangat letih dan tidak mampu lagi berperang. Dikesempatan itu, Sang Rajuna Tapa telah melakukan pembelotan dengan membuka pintu kota Singapura bagi memberi laluan bala tentera Majapahit masuk ke dalam kota.

Ekoran pembukaan pintu kota Singapura itu, Raja Iskandar Syah bersama-sama menteri, bentara, sida-sida dan hulubalang serta rakyat jelata telah berundur hingga ke Seletar. Majapahit pada itu juga telah mengisytiharkan kemenangan mereka terhadap Singapura.

Raja Iskandar Syah berundur dan terus berundur dari Seletar ke hulu Muar, ke Simpang Ujong, kemudiannya ke Sening Ujong dan seterusnya kepada pembukaan Melaka serta menjadi raja dan pengasas negeri Melaka.

Bibliografi :

A. Samad Ahmad (pngr.). 1997. Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.