Tuesday, September 2, 2014

BERHATI-HATI DENGAN PENIPUAN TERANCANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Berhati-hatilah.. Kini banyak penipuan terancang sama ada di jalanan mahupun dengan panggilan telefon. Yang paling 'jahat' sekarang ialah melalui telefon sehingga kita tidak perasan sebenarnya kita ditipu. 

Jadi, sentiasa berwaspadalah. Kalau ada panggilan yang meragukan, jangan dilayan.. Ikuti pesanan dari Bank Negara Malaysia.


Ps : Dulu nyaris kena tipu juga...

Tuesday, August 19, 2014

PERANAN KUTIPAN DERMA DALAM KEMERDEKAAN TANAH MELAYU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Di dewan Meng Seng, Melaka itu terdapat lebih kurang 300 orang yang hadir untuk mendengar ucapan daripada Tunku Abdul Rahman dalam mesyuarat tergempar UMNO Malaya setelah kegagalan Tanah Melayu dalam rundingan untuk mendapatkan persetujuan Inggeris bagi mengadakan pilihanraya pada tahun 1955.

Dengan tekad untuk mengecap kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman terus berusaha untuk berunding dengan Inggeris di London. Namun apakan daya, dana yang diperlukan untuk Tunku ke London tidak mencukupi.

Bersaksikan dewan Meng Seng, seorang wanita dalam lingkungan usia 22 - 23 tahun, seorang ustazah dari Rembau, Negeri Sembilan yang juga bersuamikan seorang ustaz telah membuka gelang emas perkahwinan yang baru setahun dipakainya untuk didermakan bagi memberi dana untuk Tunku Abdul Rahman ke London. Beliau adalah Datuk Siti Rahmah binti Kassim yang juga dikenali sebagai Tokoh Gelang Kemerdekaan.

Dewan Meng Seng di Jalan Bendahara masih kekal sehingga kini

Bertitik tolak dari itu, ramai yang berada di dalam dewan itu turut mendermakan barang kemas, wang dan jam tangan untuk mencukupkan dana untuk Tunku ke London untuk mengadakan perundingan kemerdekaan. 

Kutipan derma tidak terhenti di situ, mereka telah pergi ke seluruh pelusuk negeri untuk mendapatkan dana. Derma yang disebut 'Derma Merdeka' ini mendapat sokongan rakyat jelata.

Walaupun rakyat Tanah Melayu pada ketika itu hidup dalam kemiskinan kerana cengkaman penjajah, namun mereka tetap memberikan sumbangan dalam menjayakan misi rundingan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman. Antara bentuk sumbangan yang diberikan ialah padi, buah-buahan, pakaian dan getah keping yang kemudiannya dijual untuk didermakan ke tabung Derma Merdeka.

Pada 27 Julai 1955, setelah mendapat persetujuan dari Inggeris, pilihanraya pertama telah diadakan di Tanah Melayu. Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi.

Lantaran itu, pada Januari 1956 satu rombongan disebut 'Rombongan Kemerdekaan' yang diketuai oleh Tunku telah berangkat ke London bagi memulakan rundingan bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Rundingan tersebut telah berjaya dan Inggeris bersetuju untuk memerdekakan Tanah Melayu.

20 Februari 1956, sekembali dari London, Tunku dan para Rombongan Kemerdekaan telah singgah ke Melaka. Mereka disambut oleh lebih 100,000 orang dari seluruh pelusuk tanah air bagi mendengar pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku. 


Perarakan Tunku semasa pulang dari London

Bersaksikan Padang Pahlawan, Bandar Hilir dan ratusan ribu rakyat, Tunku telah mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu iaitu pada 31 Ogos 1957.