Thursday, May 2, 2013

MELAWAT GURU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Sebenarnya aku ni mempunyai peranan sebagai 'Admin' dan 'Admin bersama' dalam beberapa buah halaman Facebook. Ada halaman yang aku buat sendiri dan ada juga halaman yang aku dilantik sebagai 'Admin bersama'.

Salah satu halaman Facebook yang aku suka untuk menguruskan ialah Alumni sekolah lama aku. Itu pun ada seorang kawan lama yang lantik aku sebagai Admin agar halaman tersebut terus 'hidup'. Halaman tersebut mempuyai lebih 1500 orang pengikut. Kalau sekali mengepos status memang ramai yang komen dan 'like'.

Sebenarnya aku baru saja mula nak meriahkan lagi halaman tersebut. Memang halaman tu nampak muram saja. Masih aku ingat lagi kali terakhir aku menulis status pada November 2012, dan selepas itu ianya terus muram tanpa sebarang 'posting' walaupun Admin halaman tersebut mempunyai kira-kira 5 orang.

Pada April 2013, aku mula aktifkan semula halaman tersebut dan kembali memeriahkannya. Alhamdulillah, penerimaanya begitu positif di kalangan pengikut halaman. Setiap status mendapat maklumbalas yang agak memerangsangkan.

Pelbagai memori dan kenangan indah bersama dikongsikan dalam halaman ini dan tak lupa juga maklumat-maklumat, makluman dan lawak jenaka turut dikongsikan.

Walaupun Alumni ini bukanlah Alumni rasmi di pihak sekolah, namun sebagai orang yang telah dilantik sebagai Admin, aku berasa bertanggungjawab untuk memastikan ianya bukanlah sekadar habis begitu sahaja. Ianya perlu diuruskan dengan perkara-perkara yang dapat memberikan manfaat.

Pada hari ini (1 Mei 2013) aku telah membuat satu program ziarah ke rumah seorang guru yang kurang sihat di mana ianya memang telah dirancang melalui pengumuman di halaman Alumni tersebut. Mulanya ia mendapat maklumbalas yang baik, nampak seperti ramai saja yang mahu mengikutinya, namun akhirnya hanya aku dan seorang lagi teman yang menziarah cikgu tersebut. Teman Alumni tu pun aku kurang kenal, usianya 4,5 tahun lebih tua dari aku.


Sempat juga aku bergambar kenangan dengan cikgu ni. Alhamdulillah dia semakin sihat walaupun mempunyai penyakit 3 serangkai iaitu jantung, kencing manis dan darah tinggi. Namun badannya kelihatan agak susut berbanding dahulu.

Aku doakan semoga semua cikgu-cikgu aku dahulu sihat-sihat selalu dan dapat terus mengajar anak bangsa menjadi insan yang berguna.

Ps : Nak cerita pasal melawat guru saja, tapi mukadimmahnya bukan main panjang.. Hehe. Perasan tak?

Wednesday, April 24, 2013

ANALISIS POLITIK BAGI (3) ORANG CALON BEBAS YANG TERKENAL


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Mula-mula aku mahu minta maaf, ini adalah entri sekadar suka-suka bagi memeriahkan kempen pilihanraya yang sedang hangat sekarang ini.

Okay.. Cuba kita lihat senarai (3) calon bebas di bawah ini :

Sumber gambar : KLIK

Anda kenalkan ketiga-tiga calon ini? Aku pasti anda semua amat mengenalinya. Namun setakat dikenali calon popular, tidak semestinya antara mereka boleh menang dengan begitu mudah. Jom mari kita buat analisa bersama, supaya kita tahu nak undi siapa dan siapa yang akan mewakili kita nanti.

Calon Pertama 

Haji Bakhil. Seorang yang amat kaya. Mempunyai kereta besar dan mempunyai 2 orang gajian yang sangat taat setia. Walaupun beliau kaya raya namun beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kedekut.

Selain itu, beliau adalah seorang yang miang atau gatal. Tak boleh lihat perempuan cantik dan berdahi licin, semua beliau mahu kebas. Agak bermuka-muka dalam pemberian derma kepada pihak tertentu iaitu hanya mendermakan wang yang banyak kepada wanita sedangkan apabila orang lelaki yang meminta derma, hanya seringgit sahaja didermakannya.

Calon Kedua

Beliau mewakili Parlimen Pinang Sebatang, tak lain tidak bukan iaitu Pendekar Mustar. Seorang pendekar yang gagah perkasa dan mempunyai ilmu persilatan yang hebat.

Seorang yang baik hati dan amat prihatin terhadap masyarakat. Ini dapat dilihat apabila ada (3) orang pemuda bergelandangan datang ke rumahnya, dan telah diterima untuk tinggal di rumahnya. Selain itu, dia tidak kedekut ilmu, ilmunya sentiasa dicurahkan kepada sesiapa yang menginginkannya.

Calon Ketiga

Sharip Dol anak orang kaya. Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau boleh tercalon pada pilihanraya pada kali ini. Beliau merupakan samseng yang sangat terkenal. Kawasannya ialah di Kampung Dusun.

Sifat samseng beliau sangat jelas dan diketahui ramai. Antara sifatnya yang terkeji ialah suka bergaduh, berjudi, mengacau wanita-wanita kampung, malahan yang paling dahsyat sekali ialah membakar rumah orang. Nauzubillah, inikah orang yang hendak mewakili kita nanti???

Daripada analisa di atas diharap para pengundi tahu siapakah calon yang akan dipilih pada pilihanraya akan datang. Bagi aku selaku penganalisis ketiga-tiga calon ini, semestinya aku akan memilih Pendekar Mustar sebagai calon yang terbaik untuk memenangi pilihanraya kali ini. Semoga beliau berjaya. Hidup Pendekar Mustar.. Hidup Pendekar Mustar.. Hidup..! Hidup..!

Ps : Entri ini adalah sekadar gurauan semata-mata tidak ada kena mengena sama ada yang masih hidup mahupun yang meninggal dunia. Nama-nama yang disebut adalah berdasarkan dari filem-filem Allahyarham P. Ramlee. 

Al-Fatihah, semoga mereka-mereka yang pernah memeriahkan industri filem dahulu kala ini ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh dan moga mereka dicucuri rahmat Illahi.

Moral : Walaupun entri ini nampak seperti suka-suka, namun ada sedikit pengajaran daripadanya. Apabila tiba masa mengundi nanti, kita buatlah sedikit analisa pada calon-calon yang kita hendak pangkah nanti. Lihat-lihatlah dari segi kebolehan, pencapaian, moral, integriti dan lain-lain yang difikirkan perlu bagi memastikan kita tidak tersilap pilih.