Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
Fitnah berleluasa sama ada kita sedar yang kita menyebarkannya ataupun dalam keadaan tidak sengaja. Tak percaya? Cuba kita lihat gambar di bawah ini.
Sumber : Facebook |
Kalau ada yang masih ingat, baru-baru ini, heboh di Facebook mengatakan sebuah pasaraya menjual daging khinzir secara terbuka dan berdekatan dengan daging lembu. Penulis dilihat tanpa sangsi terus mengata itu, ini tanpa membuat penelitian yang mendalam.
Namun, sehari dua selepas itu keluar penjelasan daripada pihak pasaraya berserta sesalinan laporan polis yang menyanggah status di Facebook tersebut dengan menyatakan gambar tersebut adalah daging kambing dan bukannya daging khinzir seperti didakwa.
Itulah, lain kali teliti terlebih dahulu sebelum menyebarkan sesuatu perkara. Lebih teruk lagi apabila lebih ramai yang mengongsikannya di Facebook. Bukankah fitnah tersebut terus berleluasa. Jadi siapa yang nak menanggung dosanya?
Sebenarnya peristiwa ini boleh dijadikan contoh agar kita tidak mudah dan sewenang-wenangnya mempercayai sesuatu perkara dan menyebarkannya kepada umum.
Lebih-lebih lagi kini musim pilihanraya, pelbagai berita disebarkan sama ada betul mahupun tidak. Oleh itu kita yang tidak mengetahui apa-apa ini adalah lebih elok berdiam diri dan membiarkan ianya pergi bagai angin lalu jika tidak dapat kepastian dan tidak mampu menyelidikinya. Takut nanti sekiranya kita menyebarkan berita yang mempunyai unsur fitnah, maka sia-sialah kita.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala pekerjaan yang manusia lakukan sepertimana yang terkandung dalam ayat Al-Quran ini :
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu"
Surat Al-Hujurat : Ayat 6