Monday, April 1, 2013

AWAS... FITNAH BERLELUASA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Fitnah berleluasa sama ada kita sedar yang kita menyebarkannya ataupun dalam keadaan tidak sengaja. Tak percaya? Cuba kita lihat gambar di bawah ini.
 
Sumber : Facebook
 
Kalau ada yang masih ingat, baru-baru ini, heboh di Facebook mengatakan sebuah pasaraya menjual daging khinzir secara terbuka dan berdekatan dengan daging lembu. Penulis dilihat tanpa sangsi terus mengata itu, ini tanpa membuat penelitian yang mendalam.
 
Namun, sehari dua selepas itu keluar penjelasan daripada pihak pasaraya berserta sesalinan laporan polis yang menyanggah status di Facebook tersebut dengan menyatakan gambar tersebut adalah daging kambing dan bukannya daging khinzir seperti didakwa.
 
Itulah, lain kali teliti terlebih dahulu sebelum menyebarkan sesuatu perkara. Lebih teruk lagi apabila lebih ramai yang mengongsikannya di Facebook. Bukankah fitnah tersebut terus berleluasa. Jadi siapa yang nak menanggung dosanya?
 
Sebenarnya peristiwa ini boleh dijadikan contoh agar kita tidak mudah dan sewenang-wenangnya mempercayai sesuatu perkara dan menyebarkannya kepada umum.
 
Lebih-lebih lagi kini musim pilihanraya, pelbagai berita disebarkan sama ada betul mahupun tidak. Oleh itu kita yang tidak mengetahui apa-apa ini adalah lebih elok berdiam diri dan membiarkan ianya pergi bagai angin lalu jika tidak dapat kepastian dan tidak mampu menyelidikinya. Takut nanti sekiranya kita menyebarkan berita yang mempunyai unsur fitnah, maka sia-sialah kita.
 
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala pekerjaan yang manusia lakukan sepertimana yang terkandung dalam ayat Al-Quran ini :
 
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu"
 
Surat Al-Hujurat : Ayat 6 

Sunday, March 31, 2013

DI MANA MAHU DAPATKAN GAMBAR LAMA MELAKA?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Fuh..! Tajuk entri aku hari ini siap berakhir dengan tanda soal. Siapa yang nak menjawabnya tu? Hehe, biar aku yang menjawabnya sendiri.
 
Sebenarnya aku sekadar mahu berkongsi beberapa gambar lama yang diambil di Melaka. Nak tahu berapa lama usia gambar ini, lihat saja gambarnya.
 
 
Ini Pintu Gerbang Santiago atau kini lebih dikenali sebagai A' Famosa. Dahulunya pintu gerbang ini dipagarkan. Tidak pastilah mengapa ia ditutup. Namun kini ia menjadi satu monumen bersejarah yang harus dilawati oleh setiap pelancong yang datang ke Melaka. 
 
 
 
 
Lihat... Beberapa orang tempatan sedang ber'posing' di hadapan Pintu Gerbang Santiago. Entah masih hidup atau telah meninggal dunia empunya diri di gambar ini, wallahuaklam.
 
 
 
 
Ini Bangunan Stadthuys atau lebih dikenali sebagai Bangunan Merah. Kelihatan juga Menara Jam di sebelah kanannya. Masih tersergam indah bangunan ini sekarang dan terus kukuh. Hebat bukan senibina orang zaman dahulu?
 
 

 
Kelihatan Bangunan Stadthuys di sebelah kanan gambar bersama Menara Jam. Disebalik Menara Jam terdapat Gereja Christ. Kelihatan juga beberapa orang tempatan yang menjadi tukang kebun dan pembawa kereta kuda.
 
 
 
 
Ini Sungai Melaka pada zaman dahulu. Sekarang sudah banyak perubahannya.
 
 
 
 
Ini gambar Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Bandar Hilir, Melaka semasa menjadi pengerusi perhimpunan menanti kepulangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari London untuk mendapatkan Kemerdekaan.
 
 

 
Perarakan pulang Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari Lapangan Terbang Batu Berendam ke Bandar Hilir setelah pulang dari Kota London untuk mendapatkan Kemerdekaan. Agak-agaknya mengapa tarikh pengisytiharan Kemerdekaan di buat di Melaka? Siapa boleh jawab..?
 
Oklah, cukuplah beberapa keping gambar yang sempat aku tayangkan di blog ini. Tak bolehlah aku nak tayangkan banyak-banyak. Kalau nak lihat gambar-gambar sebegini bolehlah lawati Galeri Melaka di Bukit Peringgit. Galeri ini berdekatan dengan Galeri Ketua Menteri Melaka.
 
Nanti senang-senang aku akan buat entri berkaitan Galeri Melaka pula.  :)

Saturday, March 30, 2013

IKLAN JAWATAN KOSONG DI PERBADANAN MUZIUM MELAKA (PERZIM)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
 
 
Pada 20 Februari 2013 yang lalu, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), tempat aku bekerja ni baru saja membuka iklan jawatan kosong. Kini, PERZIM membuka lagi beberapa jawatan untuk diisikan bagi memenuhkan penjawatan di Perkampungan Hang Tuah pula.
 
Perkampungan Hang Tuah merupakan satu lagi produk pelancongan yang bakal dibuka tidak lama lagi. Ia terletak di Kampung Duyung di mana terletaknya Perigi Hang Tuah.
 
Antara jawatan kosong yang akan dibuka ialah :
 
a) Kurator S41 (1 kekosongan)
 
b) Pembantu Muzium S17 (1 kekosongan)
 
c) Pembantu Am Pejabat N1 (6 kekosongan)
 
* Taraf jawatan : Kontrak
 
Buat masa ini aku lihat iklan kekosongan ini masih belum dikemaskini di laman sesawang PERZIM, namun bagi sesiapa yang berminat bolehlah kerap membuat semakan di laman sesawang PERZIM untuk maklumat lebih lanjut. Juga boleh membuat semakan di Facebook PERZIM seperti berikut :
 
Laman sesawang : perzim.gov.my
 
 
Sedikit maklumat mengenai Perkampungan Hang Tuah :
 
Perkampungan Hang Tuah terletak di Kampung Duyung, Melaka. Ia didirikan di kawasan yang berkeluasan 40 hektar. Antara bangunan baru yang didirikan di Perkampungan Hang Tuah ini ialah rumah 5 bersaudara iaitu Rumah Hang Tuah, Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir dan Rumah Hang Lekiu.
 
Selain itu, ia juga menempatkan sebuah muzium iaitu Muzium Hang Tuah. Antara bangunan lain yang dibina ialah rumah-rumah tradisional Melayu, auditorium, balai adat dan pentas kebudayaan. Tidak lupa juga pada pembinaan gelanggang silat yang dikatakan bakal menjadi gelanggang silat yang terbesar.
 
Masih dalam proses pembikinan, belum siap 100%

Antara binaan yang terdapat di Perkampungan Hang Tuah
 
Siapa yang dapat tawaran temuduga nanti, mungkin banyak soalan berkaitan Perkampungan Hang Tuah kerana kekosongan yang hendak diisi penempatannya adalah di situ.
 
Jadi, selamat menulis dan menghantar borang dan selamat mencuba. Rezeki itu datangnya dari Allah, belum cuba belum tahu. Semoga berjaya.... :)