Sunday, March 10, 2013

ALKISAH TERPERANGKAP DI DALAM LIF


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Ada sesiapa berpengalaman terperangkap di dalam lif? Pada tanggal 7 Mac 2013, aku berpengalaman terperangkap di dalam lif di sebuah hotel baru yang 'berbintang-bintang' di Bandar Hilir, Melaka.
 
Aku dan isteri sebelum kejadian terperangkap di dalam lif 
 
 
Ketika itu aku baru sahaja selesai menghadiri satu program makan malam, orang memang ramai, hampir 1000 orang. Semasa pulang, orang berpusu-pusu untuk turun dengan menaiki lif, termasuklah aku. Kalau tingkatnya rendah mungkin aku boleh melalui tangga sahaja, namun programnya di tingkat 11, kalau nak melalui tangga, mahu berpeluh dibuatnya.
 
Nak dijadikan cerita, apabila masuk sahaja ke dalam lif, memang tiada apa-apa perkara ganjil berlaku, perjalanan ke tingkat bawah baik-baik sahaja. Tiba-tiba, apabila sampai di aras 'G', pintu lif tidak terbuka. Tunggu juga beberapa saat tapi tidak terbuka. Akhirnya aku yang berada betul-betul di butang nombor lif menekan loceng kecemasan. Terus berhubung dengan pihak hotel menggunakan intercom.
 
Di dalam lif terdapat 17 orang termasuk aku. Ada pula seorang wanita yang mengandung dan mempunyai asma. Mula-mula semuanya agak bersabar menanti bantuan tiba, namun lama-kelamaan keadaan menjadi sedikit tidak terkawal kerana agak terlalu lama kami terperangkap di dalam lif tersebut. Mengenangkan pula ada wanita mengalami asma, ada beberapa orang sudah memarah-marah pihak hotel melalui intercom. Aku hanya menyuruh mereka bersabar.
 
15 minit sudah berlalu, aku terasa sudah kekurangan oksigen, dalam lif juga sudah berasa panas. Ada seorang 'abang' tu sudah berpeluh-peluh aku lihat. Keadaan terus tidak terkawal, sudah ada yang terus memaki-maki, mengetuk-ngetuk pintu lif dan ada juga yang cuba membuka pintu lif dari dalam.
 
Selepas kira-kira 20 minit terperangkap di dalam lif, akhirnya kami selamat keluar dengan bantuan pihak teknikal hotel. Mereka membuka pintu lif secara manual dari luar. Tapi lif tersebut tidak betul-betul berada di landasannya, kami perlu melangkah seperti tangga untuk keluar.
 
Wanita yang asma tersebut dipapah keluar, kelihatan dia begitu lemah dan direhatkan dahulu di sebuah kerusi. Alhamdulillah, apabila aku lihat wanita tu seperti sihat saja, aku pun teruslah balik kerana jam di tangan sudah pun menghampiri pukul 12 tengah malam.
 
Sekian aku melaporkan.. :)

Saturday, March 9, 2013

TIPS UNTUK MENDAPATKAN CEK DARI NUFFNANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Sebenarnya tiada apa tips pun untuk mendapatkan cek dari Nuffnang, asalkan jumlah tabungan di akaun Nuffnang sudah melebih RM 50.00, jadi sudah bolehlah ia minta dihantar kepada kita untuk ditunaikan.
 
Apa yang hendak diwar-warkan di dalam entri ini sebenarnya perihal cek kedua dari Nuffnang yang aku baru terima. :)
 
 
Bukan mahu berlagak pun pasal terima cek dari Nuffnang ni. Berkurun jugalah mengumpul untuk mendapatkan jumlah sebegini. Apa yang dapat dirumuskan ialah, bukan boleh kaya pun. Lainlah kalau bloggers yang benar-benar pro.
 
Namun, apa yang aku nak kongsikan juga ialah pasal tips untuk mendapatkan iklan Buffering Earning (BE). Hanya satu saja tips yang aku nak kongsikan dan sememangnya sudah ramai yang sudah tahu iaitu dengan MENGEMASKINI TINJAUAN KITA DALAM PAGE NUFFNANG DAN SELALULAH BERTANYA KEPADA NUFFNANG DALAM BORANG PERTANYAAN.
 
Rasanya, ia memang tidak dapat dinafikan. Biasanya kalau sudah lama sangat iklan BE tidak hadir dalam blog aku, mulalah aku mengemaskini tinjauan dan balas membalas surat dalam borang pertanyaan Nuffnang. Lepas itu, selang beberapa hari hadirlah iklan BE dalam blog aku. Apa yang bestnya, dah tamat satu BE, bersambung pula satu BE lagi. Pergghhh... Memang sukalah.

Wednesday, March 6, 2013

PENGORBANAN DAN KASIH SAYANG SEORANG IBU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W

Terlebih dahulu cuba kita sama-sama perhatikan karya seni ini :


Karya seni di atas merupakan hasil tangan seorang artis bernama Allen Tan yang kini pameran lukisannya sedang berlangsung di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, (Bastion House), Bandar Hilir, Melaka.

Sebenarnya karya ini memaparkan seorang ibu dan bayinya yang terperangkap dalam satu runtuhan (tidak pasti sama ada runtuhan rumah atau lereng bukit).

Kelihatan si ibu melindungi bayinya itu di sebalik runtuhan batu dan tanah dan ketika ini keduanya masih dalam keadaan bernyawa. Si ibu sempat menyusukan bayinya itu dengan susu badan supaya anaknya tidak kelaparan dan terus hidup. Semasa ini proses menyelamat oleh anggota penyelamat sedang dijalankan.

Si ibu tidak pasti sama ada mereka mampu bertahan sehingga diselamatkan atau akan meninggal dunia di bawah runtuhan tersebut. Kebetulan si ibu ada memegang telefon bimbit lalu beliau menulis sesuatu yang berbunyi "wahai anak, sekiranya kamu masih hidup, ketahuilah bahawa ibu sangat sayang pada kamu".

Ya Allah, betapa kasih dan sayangnya ibu terhadap seorang anak. Aku tidak pastilah sama ada karya ini dilukis berdasarkan pemerhatian sebenar atau hanya imiginasi pelukis, namun kesan kesedihan dapat dirasa dalam diri aku.

Inilah namanya karya seni yang bermutu. Kita dapat merasakan apa yang dilukis. Amat jarang sekali aku menemui suatu karya seni yang mampu memberikan kesan sedih dalam diri.