Monday, March 4, 2013

ANDAI INI BOLEH DIKATAKAN SEBAGAI KOLEKSI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Agak lama juga blog aku ini tidak mempunyai entri terbaru. Walaupun tiada entri terbaru, namun aku tetap mengunjungi blog-blog yang kebiasaannya aku lawati (seperti di bloglist).
 
Hendak dijadikan cerita, pada satu hari seorang pengumpul tegar datang ke rumah aku untuk membeli barangan Milo yang aku iklankan di Mudah[dot]My. Beliau memang seorang pengumpul tegar, bukan setakat macam aku yang hanya mengumpul Milo, tetapi beliau mengumpul bermacam-macam benda dan barangan.
 
Kalau hendak disebutkan satu-persatu memang banyak sangat barang yang dikumpulnya. Namun, ada satu barang yang dikumpul oleh beliau yang aku tertarik iaitu mengumpul penanda nama (tagging).
 
Sebenarnya aku memang mempunyai banyak penanda nama ni, namun semangat untuk aku mengumpulnya tiada. Justeru, bermulalah episod aku mengumpul semula penanda nama ini yang kebanyakkan memang bersepah-sepah. Ada yang terletak di rumah, dan ada yang terletak di pejabat.

Hasil daripada pencarian semula penanda nama ini, dapatlah aku temui sejumlah penanda nama yang agak banyak juga dan telah aku simpankan ke dalam sebuah kotak untuk dijadikan sebagai bahan koleksi.

Bak kata orang, cakap banyak tak guna, tikam tak kena, layan saja beberapa gambar koleksi penanda nama yang sempat aku ambil.

Adalah sedikit...

Antara penglibatan dalam sukan

Pegawai Pengiring (Liason Officer)

Antara penglibatan di peringkat Asean / antarabangsa (tetapi dalam Malaysia)

Antara penyertaan kursus / bengkel / seminar dan lain-lain

Sebilangan daripada program-program jabatan

Menarik tak mengumpul barangan macam ni..? :)

APA KHABAR LAHAD DATU

Apa khabar Lahad Datu?
hati di Semenanjung berombak laju,
mata tidak dapat dilena,
dengar perkhabaran ini itu,
apakah tenang di sana?
atau terus bersengketa.

Wira-wira negara tumbang,
mempertahan kedaulatan,
dari petualang,
bertandang tanpa diundang,
dengan laras senapang.

Ingatlah wahai petualang,
Ingatlah sejarah,
Kesultanan kamu sudah lama pupus,
tanah ini tanah berdaulat,
bukan hak kamu.

Pulanglah duhai petualang,
ruang kamu pulang aman,
usah seteru yang kuasa,
kelak badan rosak binasa,
hilang zuriat,
hilang pusaka.

Fairus Haji Mamat
4 Mac 2013

Wednesday, February 27, 2013

Makna-makna Bacaan di Dalam Solat Yang Perlu Setiap Muslim Tahu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Sebenarnya sudah lama berniat untuk mencari maksud / makna bacaan dalam solat. Asal nak cari bahan untuk dibuat entri pasti akan terlengah-lengah. Adakah ini sebenarnya bisikan syaitan yang tidak mahu aku mengongsikan sesuatu yang baik dan bermanfaat?
 
Namun hari ini aku akan pastikan aku tidak berlengah untuk mengongsikan sesuatu yang berguna. Semoga sama-sama kita peroleh manfaat daripadanya.
 
Jom, kita hayati setiap maksud / makna bacaan dalam solat yang hari-hari kita kerjakan. Orang kata, kalau faham maksud / makna barulah datangnya khusyuk.

Sumber gambar : akuislam.com

Takbiratul-Ihram / Takbir
Allah Maha Besar.

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan Ketika Rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan Ketika Bangun Dari Rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan Ketika Iktidal
Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan Ketika Sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan Ketika Duduk Di Antara Dua Sujud
Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan Ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. 

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan Ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. 

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. 

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. 

Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. 

Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. 

Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. 

Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.