Monday, October 1, 2012

OH MILO : SETELAH LAMA MENYEPI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Agak lama juga saya tidak menyiarkan entri berkaitan koleksi Milo terbaru saya. Iyalah, baru-baru ni Milo buat "hal", keluarkan free gift berderet-deret sehingga duit dihabiskan untuk membeli Milo. Milo pula bukanya murah, mahal. Kalau beli 500 gram dapat free gift tak mengapalah juga, ini tidak, kena beli 1 kilo dan 2 kilo Milo baru ada free gift.

Nak buat macam mana, saya sudah terjebak dengan aktiviti kumpul mengumpul barangan Milo ni. Sekali kaki melangkah masuk ke arena ini, mana mungkin saya undur kebelakang. Chewah.. Ayat macam panglima mahu pergi bertarung. :)

Gambar di bawah ini merupakan koleksi Milo terbaru yang saya perolehi. Ada yang dapat melalui pembelian produk Milo, ada yang dibeli melalui Kedai Antik dan ada pula yang diberi oleh sahabat karib saya.

2 buah containers Milo, sebuah botol air Milo dan sebuah gelas Milo

Container Milo bercorak tahun 1950 -an

Container Milo bercorak tahun 2012
2 buah containers lini merupakan free gift terbaru dari Milo. Hendak mendapatkannya, kenalah beli pek Milo 2 kilogram yang harganya kurang lebih RM 30.00. Kalau di pasar raya, harganya sekitar RM 30.00 hingga RM 32.00 tapi kalau di pasar mini atau kedai runcit biasa, harganya sekitar RM 34.00 hingga RM 36.00. Jadinya saya membelanjakan RM 60.00 ++ untuk mendapatkan containers Milo yang amat menarik ini.

Botol air Milo
Botol air Milo ini pula saya dapat melalui seorang pengusaha kedai antik di Melaka. Botol air Milo ini merupakan keluaran khas untuk Sukan Sea Manila, Filipina 1991. Saya dan tuan kedai antik tu memang sudah rapat. Dialah yang menelefon saya apabila dia mendapat barangan Milo. Kalau dia offer dengan harga yang munasabah, insyaallah saya akan beli.

Gelas Milo bercorak tahun 2012
Gelas Milo ini pula diberikan oleh rakan karib saya. Dia bermesej dengan saya melalui telefon bimbit yang dia mahu memberikan sesuatu pada saya. Dalam otak saya memang dah agak mesti barangan Milo. Dapatlah saya gelas Milo ini walaupun saya sudah ada dalam koleksi. Sebagai balasan, saya belanja dia minum teh tarik dan roti canai. :)

Okay, setakat inilah saja cerita saya. Kalau nak lihat koleksi-koleksi Milo saya yang lain, bolehlah layari blog saya ini. Sila klik gambar.

Saturday, September 29, 2012

DUHAI ANAK 2 (DEDIKASI BUAT ANAKKU AINNUR AFIAH)

Duhai Anak,
Terpancar Mesra Riak Mukaku,
Tanganku Hulur Selembut Sutera,
Ku Sambutmu Azan Di Kanan,
Ku Sambutmu Iqamah Di Kiri,
Ku Sambutmu Hati Girang Tak Terkira,
Lama... Lama, Duhai Anak,
Ku Tanggung Dua Keguguran,
Sebelum Kau Lahir Ke Bumi,
Amat Pedih Menanggung Rindu Padamu Duhai Anak,
Kini Kau Membesar Walafiat,
Seserasi Namamu Ainnur Afiah,
Selamat Datang Ke Dunia Duhai Anak,
Ingat!
Dunia Penuh Pancaroba,
Dunia Hanya Sementara,
Akhirat Kelak Baqa' Kekal,
Jaga Kesucianmu Seorang Wanita,
Jaga Solatmu, Jaga Islammu,
Itulah Pesanku Seorang Ayah.

F. B. Mamat
29 September 2012
Bukit Katil, Melaka

Lihat juga ---> Duhai Anak (Dedikasi Buat Anakku Muhammad Fahim)

Thursday, September 27, 2012

TERIMA KASIH TENAGA NASIONAL BERHAD


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Kadangkala, sesuatu yang dibuat dengan baik itu seharusnya diberikan pujian. Janganlah kita menafikan sesuatu kebaikan yang telah dilakukan. Ucaplah terima kasih, ia tidak sesukar mana pun.
 
Sebenarnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota Tenaga Nasional Berhad negeri Melaka kerana dengan pantas mengambil tindakan untuk membaiki bekalan elektrik yang telah terputus di beberapa kawasan terutamanya di taman perumahan tempat saya tinggal.
 
Nak dijadikan cerita, pada pukul 1 lebih pagi semalam saya tersedar dari tidur kerana terasa bahang akibat kipas tidak dapat berfungsi. Isteri dan anak-anak saya turut bangun kerana masalah yang sama. Akibat tidak mahu menanggung kepanasan dan sukar untuk tidur, saya telah mengambil telefon bimbit dan membuat aduan kepada Tenaga nasional Berhad (TNB) dengan hanya menaip mesej tentang masalah bekalan elektrik di taman perumahan saya dan terus menghantarnya pada nombor 15454.
 
Lebih kurang 15 minit selepas saya menghantar mesej tersebut, telefon bimbit saya berdering dan yang menghubungi saya ialah operator TNB yang mahu membuat pengesahan apakah masalah yang berlaku. Saya telah menjelaskan semuanya pada beliau dan beliau mengatakan bahawa pasukan mereka akan tiba dalam masa terdekat untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah tersebut.
 
Saya terus menanti dengan sabar, saja mahu mengetahui sama ada pihak TNB mengambil tindakan atau tidak akan aduan saya itu. Dalam jangkamasa 20 ke 30 minit setelah pihak TNB menghubungi saya, didapati bekalan elektrik di taman perumahan tempat saya tinggal kembali sempurna. Alhamdulillah, selepas itu kami sekeluarga dapat melelapkan mata dengan lenanya hingga ke pagi.
 
Apa yang saya cuba sampaikan ini ialah tentang kekaguman saya terhadap perkhidmatan TNB yang kian baik dan terus cemerlang. Dulu pernah sekali lampu jalan di hadapan rumah saya tidak menyala, dengan kadar segera saya lihat lori TNB datang dan membaikinya. Begitu pantas, saya amat gembira dengan perkhidmatan yang diberikan.
 
Kini pula, mereka membuktikan keprofesionalan dan kecemerlangan mereka dengan melayan aduan dengan pantas. Sebenarnya saya tidak berapa pasti sama ada saya merupakan pengadu tunggal pada hari tersebut namun kepantasan mereka bertindak atas aduan adalah teramat baik sekali. Mereka terus bertindak membaiki kerosakan walaupun ketika itu cuaca masih hujan dan kilat saling sabung menyabung.  Tahniah dan terima kasih saya ucapkan.
 
Terbaiklah TNB...