Wednesday, September 12, 2012

PROMOSI ALA GANGNAM STYLE


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Saya bukanlah seorang peminat K-Pop. Bukan juga peminat tegar muzik. Juga bukanlah pengemar hiburan. Saya cuma menjadi pemerhati dan membuat penilaian sendiri tentang kewujudan fenomena Gangnam Style yang menghantui dunia hiburan masa kini.
 
Ada pihak yang menganggap kewujudan Gangnam Style ini adalah suatu yang negatif. Dengan tariannya yang ntah apa-apa, wanita menari-nari dan berpakaian seksi dan pelbagai andaian negatif lagi.
 
Namun, cuba kita fikirkan di dalam aspek positif. Ada ke positifnya?
 
Pada pendapat saya ia boleh menjadi sebagai media PROMOSI bagi sesuatu tempat seperti negeri atau negara. Kita dapat lihat daripada fenomena Gangnam Style ini, ramai juga yang telah menghasilkan video "parody" yang masing-masing turut menari seperti video Gangnam Style dan seperti MEMPROMOSIKAN negeri atau negara masing-masing.
 
Kalau Gangnam itu bermaksud suatu tempat yang terdapat di Korea, video-video parody Gangnam Style pula masing-masing mempromosikan negeri dan negara seperti Singapore Style, Sabah Style, KL Style, Malaysia Style, malahan terdapat juga negara-negara Barat.
 
Sekiranya video asal Gangnam Style mampu mencapai hit sehingga 11 juta penonton di You Tube, video-video parody yang lain berkaitan Gangnam Style juga mendapat hit yang tinggi. Justeru, saya memikirkan ianya boleh dijadikan sebagai PROMOSI bagi satu-satu negeri atau negara, yang mungkin sebelum ini kurang dikenali masyarakat dunia. Dengan adanya video-video parody ini secara tidak langsung ia MEMPROMOSIKAN sesuatu tempat dan mungkin menjadi tarikan dalam industri pelancongan.
 
Kebiasaanya, dalam bidang pelancongan, usaha untuk MEMPROMOSIKAN sesuatu negeri bukanlah mudah. Kos untuk mengiklan juga adalah tinggi dan mungkin mencecah jutaan Ringgit. Bagi mereka yang kreatif, mungkin dengan cara membuat video parody Gangnam Style dengan cara tersendiri pastinya akan mendapat tempias populariti.
 
Kalau Melaka, saya cadangkan buat video parody OH MELAKA STYLE dengan penari-penari menari dengan berlatarbelakangkan bangunan-bangunan bersejarah dan lokasi tarikan utama. Penari pula berpakaian tradisional Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chitti dan Potugis. Lagu Gangnam Style tetapi tariannya tarian tradisional.

 
 
Mungkin ada yang tidak bersependapat dengan saya, namun apa yang saya lihat, kita harus mengambil kesempatan di atas kepopularitian Gangnam Style untuk mempromosikan negeri atau negara secara percuma melalui You Tube.

Monday, September 10, 2012

APA ADA DENGAN HARI MALAYSIA???

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

1963 - 2012

Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Malaysia yang ke-49. Sambutan ini diadakan untuk mengenang kembali pembentukan Persekutaun Malaysia yang telah dibuat pada 16 September 1963.

Berikut sedikit maklumat mengenai Hari Malaysia :

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

SUMBER : Jabatan Penerangan Malaysia

Marilah kita sama-sama menyambut Hari Malaysia ini dengan jiwa yang patriotik. Sama-samalah kita menjaga keharmonian antara kaum yang sedia terbina. Selain itu, marilah kita kekalkan Malaysia ini sebagai tanah tumpahnya darah kita, jangan biarkan ia dijajah sekali lagi oleh pihak asing.

Semoga Allah terus pelihara Malaysia. Insyaallah.

BACA DAN FAHAMKAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Apabila kita ingin mengetahui sesuatu maklumat atau berita, kita seharusnya membacanya hingga ke perenggan yang terakhir untuk memastikan kita benar-benar faham akan sesuatu maklumat yang cuba disampaikan oleh penulis.
 
Begitu juga dengan penulis blog. Kadang kala tajuk entri yang ditulis mungkin berlawanan dengan  isi yang disampaikan atau penulis menulis isi penting yang hendak disampaikan di satu-satu perenggan. Justeru, kita sebagai pembaca perlulah membaca dengan teliti bermula daripada tajuk hinggalah ke perenggan akhir sesuatu entri atau maklumat.
 
Kita selaku pembaca perlulah membaca dan fahami apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh penulis. Jangan hanya membaca tajuk dan sebahagian sahaja isi lalu kita membuat penilaian sendiri dan memberi komen yang berlawanan tentang apa yang disampaikan sebenarnya.
 
Sememangnya sifat maklumat itu suka ditambah dan dikurangkan, sebab itulah sesuatu maklumat tidak dapat disampaikan dengan sempurna. Samalah dengan pepatah Mat Saleh yang menyatakan Don't Judge A Book By Its Cover, kita seharunya kena membaca keseluruhan buku tersebut, barulah tahu akan isi sebenarnya.
 
Di dalam arena blogging, kita kenalah membaca dan fahami betul-betul apa yang kita baca dan barulah kita dapat memberikan komen yang sepadan dengan apa yang dijelaskan dalam entri. Kita sendiri sebagai penulis blog akan mengetahui sama ada seseorang itu membaca entri kita secara keseluruhan atau tidak melalui komen yang telah ditinggalkan. Lalu kita akan membalas "bacalah sampai habis, barulah tahu apa yang hendak disampaikan..."
 
Justeru itu, satu sahaja yang saya ingin katakan "DON'T JUDGE AN ENTRY BY ITS TITLE"