Tuesday, June 5, 2012

ZA'BA PEMIKIR ULUNG

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pagi tadi (5 Jun 2012) saya telah menghadiri satu majlis iaitu Kolokium Za'ba Pemikir Ulung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan. Saya bertolak sendirian kerana kenderaan jabatan sudah ditempah awal oleh pegawai lain. Seawal pukul 6.45 pagi saya sudah bertolak dan alhamdulillah, sampai pun awal juga. Tidak tergesa-gesa.




Siapa yang tidak mengenali Za'ba. Pemikir ulung negara dan juga digelar pendeta. Nama sebenar beliau ialah Zainal Abidin bin Ahmad dan berasal dari Negeri Sembilan. Sekiranya mahu mengetahui lebih lanjut tentang Za'ba, boleh layari ---> KLIK

Di sini saya hanya mahu berkongsi tentang beberapa kata-kata Za'ba yang terdapat di dalam buku-buku tulisan beliau. Apabila dibaca, sememangnya Za'ba ini seorang yang pemikirannya melampaui zaman. Beliau seolah tahu apa akan berlaku pada masa akan datang sekiranya kita tidak melakukan ini, ini dan ini. Dan terbukti, apa yang beliau pernah katakan dahulu, sememangnya berlaku pada zaman ini.

Marilah sama-sama kita hayati setiap patah kata yang ditulis oleh Za'ba :

1. "Orang-orang kita (kaya-kaya, besar-besar, bijak-bijak) duduk bersenang-senang diri masing-masing dalam bilik mahligai mereka dengan rasa penuh nikmat sentosa dan cukup puas hati pula, datang rasa hatinya dan sampai hatinya memandang anak-anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh di belakang kaum penumpang negeri."

2. "Mengapa Barat  maju dan jaya? Bukankah kita sama manusia? Tidakkah kita berdaya upaya? Atau tidakkah hemah kita?

3. "Perkataan "miskin" atau kemiskinan seperti yang diperkatakan bagi mereka itu bukanlah semata-mata dimaksudkan bermakna "tiada berharta atau tiada kaya" sahaja, melainkan adalah iaitu bermakna beberapa banyak dan beberapa ganda terlebih dahsyat daripada itu. Kemiskinan orang-orang Melayu itu meliputi serba-serbinya dan mengelilingi mereka pada segala pihaknya"

4. "Bekerja bersama-sama jika mereka berhajat hendak mengangkat diri mereka ke tempat yang lebih tinggi daripada kerendahannya dan kenyataannya (kebangsatannya) yang menyelubungi mereka sekarang ini"

5. "Sesungguhnya tiada boleh hidup dan berdiri kebesaran satu bangsa jika tiada perniagaan dan perusahaannya dijalankan oleh orang-orang bangsa itu sendiri"

6. "Jangan mabuk arak. Jangan kerja terlalu lama. Rajin dan tekun. Sentiasa tenang walaupun rumahmu terbakar"

Demikianlah beberapa kata dari Za'ba yang boleh kita ambil pemahaman dan ikhtibar. Dan sekali lagi saya juga ingin berkongsi :

FALSAFAH HIDUP PENDETA ZA'BA

Berdiri di atas kaki sendiri
"Usaha Membawa Kejayaan"

SIFAT DAN PENDIRIAN PENDETA ZA'BA

Beliau benci pada orang yang malas, orang yang tidak tahu berusaha berdiri di atas kaki sendiri. Orang yang cakap besar. Orang yang suka menyalahkan orang lain, tanpa mahu mengakui kesalahan sendiri dan yang paling dibencinya ialah orang yang mungkir janji.

Monday, June 4, 2012

ALKISAH MILO BAHARU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hendak dijadikan cerita, emak dan bapa saya mahu datang berkunjung ke rumah saya dan berhasrat untuk menetap dalam 3 ke 4 hari.

Saya dan isteri sibuklah hendak mencari bahan-bahan keperluan dapur sebagai persiapan untuk menyambut kedatangan mereka. Namun satu keadaan yang tidak disangka-sangka berlaku apabila mula masuk ke pasar raya, saya ternampak maskot Milo yang mempromosikan Milo baharu.

Milo baharu. Lebih padat dengan rasa Milo
Apa lagi, bagai mengantuk disorongkan bantal, saya terus pergi untuk mendapatkan maklumat promosi yang sedang dijalankan. Jurujual itu menerangkan, saya boleh mendapat hadiah berupa barangan Milo sekiranya membeli item Milo yang dipromosikan melebihi RM15.00. Lalu dengan pantas saya membeli dua pek Milo seperti gambar di atas.

Tapi sebelum itu, saya dan isteri merasa air Milo percuma yang disajikan dan dapatlah saya cawan kertas ini.

Cawan kertas Milo baharu

Selepas membayar di kaunter, saya datang semula ke ruangan promosi Milo untuk menebus hadiah yang ditawarkan. Barangan Milo tersebut ialah :

Beg fail Milo
Ini yang menariknya beg fail Milo ini

Fail kertas / sijil

Boleh isikan dokumen bersaiz A4

Belakang pun ada gambar juga

Tidak ketinggalan bekas makanan Milo

Yang inilah buat ianya mahal :)
Tak habis setakat itu, saya telah diberi peluang untuk mendapatkan satu lagi hadiah. Untuk mendapatkan hadiah misteri tersebut, saya perlu memilih sama ada untuk memadankan gambar-gambar Milo dalam masa 30 saat atau pun memasukan sekurangnya 3 gegelang ke susunan kotak-kotak air Milo. Setelah berfikir saya memilih opsyen kedua iaitu bermain gegelang.

Erm.. Agak malang kerana saya tidak berjaya. Hanya mampu memasukkan 2 gegelang ke kotak air Milo, maksudnya kurang 1 saja lagi untuk mendapatkan hadiah misteri tersebut. Namun, walaupun gagal, ada hadiahnya juga. Hadiah berupa buku nota Milo. Hehe, comel sungguh.

Buku nota Milo
 Sekian, tamatlah kisah Milo baharu. Terima kasih. :)