Thursday, April 19, 2012

KATA SPONTAN NO. 9 : MAKLU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kita dalam Bahasa Melayu banyak juga menggunakan perkataan pinjaman dari Bahasa Inggeris. Iyalah, banyak bahasa teknologi berasal dari Bahasa Inggeris, justeru banyaklah perkataan Bahasa Inggeris telah diMelayukan.

Sebagai contoh :

- Computer dialihkan kepada komputer
- Bag dialihkan kepada beg
- Pencil dialihkan kepada pensil

Dan banyak lagi perkataan Bahasa Inggeris dipinjam oleh Bahasa Melayu.

Namun, bukan itu yang saya mahu perbesarkan, yang saya mahu perbesarkan ialah tentang perkataan-perkataan yang seakan sama namun mempunyai maksud yang berbeza. Sebagai contoh : -

"Information" = Maklumat
"Inform" = Maklum
"Info" = Maklu

Eh... Ada ke perkataan Maklu? Sekadar gurauan. jangan ambil hati ye... :)

WANITA ITU





Wanita Jiwanya Diisi Tabah
Wanita Hatinya Punya Tulus
Wanita Kulitnya Licin Halus
Wanita Hidupnya Amat Tuah

Dia Dicintai
Dia Dilindungi
Dia Penyejuk Hati
Dialah Mahligai Sanubari
Dialah Penyeri Tatkala Sepi

Tidak... Tidak...
Wanita Bukan Perhiasan
Bukan Juga Barang Mainan
Usah Dibuat Ikut Suka Tuan
Kelak Punah Binasa Badan

Kelembutan, Keayuan Bukan Alasan
Sedang Tangan Lagi Membuai
Mampu Mengoncang Dunia
Mampu Duduk Tengadah
Sama Tinggi Sama Rendah

Bukan Lagi Mimpi
Wanita Bukan Kebelakang Zaman
Wanita Punya Azam Kedepan

Hormat, Kasihlah Wanita Itu
Kerna Itu Asal Usulmu

F.B. Mamat
19 April 2012
Bandar Hilir, Melaka

Lagi sajak-sajak F.B. Mamat ---> KLIK

Saturday, April 14, 2012

PROTON PREVE : KEKURANGAN @ KELEMAHAN





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Proton... Proton merupakan satu jenama besar pengeluaran automobil negara kita, Malaysia. Baru-baru ini satu lagi model kenderaan kebanggaan Malaysia iaitu Proton Preve akan menembusi pasaran. Ianya pasti ditunggu-tunggu keluarannya kerana mempunyai reka bentuk yang menarik dan kuasa enjin yang hebat.





Sebenarnya saya tidak pernah melihat kenderaan ini dan tidak juga pernah memandu ujinya. Namun, saya melihat kekurangan kereta Proton Preve ini adalah dari aspek 'namanya'. Melalui apa yang saya tahu, nama Preve adalah olahan dari bahasa Inggeris iaitu 'proof' bermakna bukti.

Persoalannya, mengapa tidak menggunakan bahasa Melayu? Rasanya di Proton lebih ramai pegawai-pegawai Melayu berbanding bangsa lain. Lagi satu, bukankah dalam Perlembagaan Persekutuan pada Artikel 152 ada menyatakan bahawa Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan. Siapa lagi yang mahu memartabatkan Bahasa Melayu melainkan kita sendiri dengan mengangkat produk utama negara dengan dinamakan dengan Bahasa Melayu. Silaplah kita sekiranya tidak yakin jenama dengan Bahasa Melayu tidak mampu bersaing di mata dunia.

Satu ketika dahulu, kita berasa bangga apabila Proton memperkenalkan kereta konsep dengan dinamakan Proton Tuah, Proton Jebat, Proton Lekir, Proton Lekiu dan Proton Kasturi. Namun kini, ia hanyalah sekadar konsep dan tidak diimplementasikan ke pasaran sebenar. Bukankah elok menggunakan Bahasa Melayu dan saya yakin, mereka di luar sana lebih suka sekiranya sesuatu negara menggunakan bahasa sendiri untuk menaikkan nama satu-satu produk.

Saya bukanlah mahu menghentam Proton. Saya cuma mahu mengkritik 'mesra'. Saya bangga kerana Malaysia mampu bersaing dalam industri automobil. Namun, cubalah utamakan Bahasa Melayu. Siapa lagi yang mahu memartabatkan Bahasa Melayu kalau bukan kita sendiri. Sekiranya tidak, maka sia-sia sahajalah pihak kerajaan membuat itu ini untuk memartabatkan Bahasa Melayu.