Wednesday, March 21, 2012

Sunday, March 18, 2012

PANTUN UNTUK BLOGGERS





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apabila terbaca entri dari blog Komensen yang bertajuk Blog Pun Ada Peribahasa, saya mula mendapat satu idea untuk menulis dengan gaya yang seakan sama. Namun, saya tidak menggunakan peribahasa sebagai intipati sebaliknya saya menggunakan pantun Melayu yang biasa kita baca atau dengar.

Di bawah ini saya sertakan 10 rangkap pantun untuk kita sama-sama hayati :)

Buah Cempedak Di Luar Pagar,
Ambil Galah Tolong Jolokkan,
Ada Blogger Baru Belajar,
Kalau Salah Mintalah Diajarkan.

Tinggi Tinggi Si Matahari,
Anak Kerbau Mati Tertambat,
Sudah Lama Membuat Entri,
Agar Ada Follower Terpikat.

Kajang Pak Malau Kajang Berlipat,
Kajang Hamba Mengkuang Lalu,
Kalau Nak Menulis Biar Bertempat,
Jangan Pula Masa Bos Berlalu.

Dua Tiga Kucing Berlari,
Mana Sama Si Kucing Belang,
Dua Tiga Blog Boleh Ku Layari,
Mana Nak Sama Dengan Blog Korang.

Sorong Papan Tarik Papan,
Buah Keranji Di Dalam Perahu,
Disuruh Singgah Aku Turutkan,
Lepas Tu Singgahlah Balik, Jangan Buat Tak Tahu.

Tuai Padi Antara Masak,
Esok Jangan Layu-Layuan,
Bloggers Duk Singgah Jangan Buat Tak Nampak,
Nanti Blog Kita Pun Sayu-Sayuan.

Puas Saya Bertanam Ubi,
Nenas Juga Dipandang Orang,
Sudah Puas Membuat Entri,
Tapi Kenapa Iklan B.E Tak Datang-Datang.

Buah Langsat Kuning Mencelah,
Senduduk Tidak Berbunga Lagi,
Sudahlah Followers Bertambah,
Jangan Pula Meninggi Diri.

Putik Pauh Delima Batu,
Anak Sembilang Di Tapak Tangan,
Bloggers Jauh Tidak Ketemu,
Jauh Di Mata Di Hati Jangan.

Pulau Pandan Jauh Ke Tengah,
Gunung Daik Bercabang Tiga,
Blogger Mati Blog Tetap Dijengah,
Entry Yang Baik Dikenang Jua.

Sesiapa yang ada idea lain berkaitan pantun seperti di atas. Jangan segan, jangan malu, komenlah seperti pantun juga. Boleh?

BUKAN SEKADAR MUZIUM





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekiranya kita ditanyakan apa itu muzium pasti yang bermain di fikiran kita ialah patung, barang lama dan membosankan. Sampai bila? Sampai bila "orang kita" terus berfikiran sebegini. Kita seharusnya sudah mula mengetahui bahawa fungsi muzium bukanlah sekadar mempamerkan barang-barang lama sahaja.

Secara ringkasnya, definisi muzium ialah; sebuah organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan yang berfungsi untuk mengumpul, memulihara, menyelidik, mendokumentasi dan mempamer perihal bukti material kewujudan manusia dan persekitarannya bagi tujuan pendidikan.

Apa yang saya mahu tekankan di sini ialah PENDIDIKAN. Kita perlu menanamkan dalam hati masing-masing bahawa muzium itu adalah satu pusat pendidikan. Iaitu pendidikan tidak formal. Sekiranya di sekolah, para pelajar mendapat pelajaran formal dengan diajar oleh guru-guru melalui silibus pendidikan, dan di muzium juga pelajar boleh menimba ilmu dengan cara melihat secara realiti artifak dan bahan pameran yang dipamerkan di dalam muzium.

Tidak hanya terhad kepada melihat artifak dan bahan pameran yang dipamerkan, para pelajar juga boleh membaca setiap keterangan yang disediakan bagi mendapatkan info yang lebih mendalam. Di muzium, kita bukan hanya dapat mengetahui sesuatu bahan pameran, malahan penceritaan dan sejarahnya juga kita akan ketahui.

Bagi rombongan sekolah-sekolah, IPT dan sebagainya misalnya, jika hendak mengetahui lebih lanjut dan menjadikan lawatan ke muzium lebih bermakna, bolehlah memohon disediakan juru pandu ke dalam muzium. Juru pandu ini boleh terdiri daripada juru pandu persendirian (swasta) ataupun juru pandu dalaman iaitu terdiri daripada kakitangan muzium itu sendiri. Bagi lawatan tetamu VVIP biasanya memang wajib disediakan juru pandu sama ada dari luar atau kakitangan muzium sendiri. Ini bagi memberikan penjelasan dengan lebih jelas dan tepat kepada setiap tetamu mahupun pengunjung.

Kebiasaan juru pandu ini akan membawa lawatan dengan memberikan penjelasan bermula dari sejarah bangunan, artifak dan bahan pameran yang dipamerkan, sejarah dan lain-lain penceritaan mengikut setiap ruang pameran yang ada. Setiap lawatan berpandu ini mengambil masa dalam 1 jam hingga ke 2 jam bergantung kepada pemintaan pelawat. Ada kalanya pelawat tidak mempunyai banyak masa, jadi lawatan akan disingkatkan kepada ruang-ruang pameran yang tertentu sahaja.

Sebagai organisasi yang berfungsi untuk menyampaikan pendidikan tidak formal, muzium dilihat terus relevan. Kini situasi kian berubah, sekiranya dahulu muzium lebih dikenali sebagai "sekolah gambar", kini ia bukan setakat mempamerkan gambar. Kita dapat memperoleh pelbagai ilmu di dalam muzium baik dari aspek seni bina, sejarah, artifak, kesenian dan warisan, peragaan pameran dan banyak lagi.

Akhir sekali, marilah beramai-ramai kunjungi muzium kerana di muzium terdapat banyak ilmu yang boleh kita perolehi.


Semasa membawa lawatan berpandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Thailand

Pelajar IPT dibawa lawatan secara berpandu di Muzium Sejarah, Melaka


Ketika membawa Sultan Solo, Indonesia melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka


Salah satu contoh lawatan dari delegasi luar, dari Oman.


* Gambar-gambar di atas menunjukan kesungguhan pihak muzium untuk menyampaikan ilmu dan pendidikan secara tidak formal kepada tetamu dan pelawat yang hadir melawat ke muzium. Oleh itu, ingat! Muzium juga merupakan pusat pendidikan dan penyelidikan yang boleh memberikan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada pelawatnya.