Monday, March 5, 2012

NASIB BAIK POKOK MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Rasanya ramai yang sedia maklum tentang nama negeri Melaka yang berasal dari nama sebatang pokok yang dikenali sebagai pokok Melaka. Asal usul nama negeri Melaka sedikit lebih kurang ceritakan terjadi begini :


Pokok Melaka. Sumber gambar >> KLIK <<


Parameswara merupakan seorang putera raja dari Palembang telah diusir dari negeri lalu ke Temasik (Singapura). Di sana baginda telah berkerajaan namun tidak lama setelah baginda telah membunuh Temagi iaitu wakil kerajaan Siam. Dari mengelakan dirinya diburu, baginda telah berundur ke beberapa kawasan.

Dalam satu peristiwa lain, ketika baginda bersama para pengikutnya pergi berburu berhampiran Sungai Bertam, satu kejadian aneh telah berlaku. Anjing-anjing buruan baginda telah menghambat seekor pelanduk putih, namun apa yang berlaku ialah anjing-anjing baginda telah ditendang oleh pelanduk putih tersebut lalu terjatuh ke dalam sungai.

Di kalangan masyarakat terdahulu, apabila sesuatu yang aneh berlaku, lebih-lebih lagi yang mengambarkan kekuatan dan kekuasaan maka alamatnya sesuatu yang baik. Dalam masa yang sama, Parameswara telah berpendapat alangkah baik sekiranya dibuat negeri di kawasan tersebut. Lalu didirikan di situ negeri Melaka bersempena nama pohon kayu yang disandarnya semasa melihat kejadian aneh yang berlaku.

Okey.. Cukup untuk untuk suatu yang serius. Apa akan jadi misalnya pada ketika itu Parameswara sedang bersandar di batang pokok kelapa? Adakah sekarang ini negeri Melaka sebenarnya adalah negeri Kelapa? Ohh.. Tidak mungkin Parameswara duduk di bawah pokok kelapa kerana pokok kelapa merbahaya. Sekiranya buah kelapa jatuh, nahaslah kepala baginda.

Ataupun, andai kata Parameswara ketika itu sedang duduk di bawah pokok mangga. Sudah sahlah sekarang ini negeri Melaka adalah negeri Mangga. Tapi, mana mungkin juga Parameswara bersandar di pokok mangga. Iyalah, manalah tahu pokok mangga tersebut sedang lebat buahnya, lalu Parameswara serta pengikutnya sedang enak memakan buah mangga sehingga tidak perasan anjing buruannya ditendang pelanduk putih. Erm.. Tidak mustahil juga.

Apa kata pula sekiranya Parameswara dulu bersandar di pokok kedondong? Mahu tak diletaknya negeri Melaka sekarang bernama negeri Kedondong. Lain macam saja bunyinya. Tapi, pokok kedondong kecil, mana boleh Parameswayra bersandar di pokok tu pula.

Kesimpulannya, apa yang diterangkan di atas "nampak" seperti suka-suka, namun sebenarnya saya mahu menunjukan bahawa sejarah itu dinamik. Kajian demi kajian perlu dilakukan demi membuktikan sesuatu. Lebih-lebih lagi sesuatu yang amat penting dalam sejarah tanah air mahupun sejarah bangsa. Jangan kita mudah percaya dan menerima akan sesuatu fakta yang keluar dari mulut seseorang tanpa ada kajian terperinci dan sokongan daripada mulut-mulut mereka yang ahli.

(Ps : Bak kata Ogy Ahmad Daud, terus gali dan menggali)

ADA APA DENGAN MELAKA???





1400 - 1511
Kerajaan Melaka

1511 - 1641
Penaklukan Portugis

1641 - 1824
Penjajahan Belanda


1824 - 1957
Zaman Kolonial British



1942 - 1945
Pendudukan Jepun

Kadang-kadang semasa memerhatikan monumen-monumen tinggalan penjajah di sekitar Bandar Hilir, Melaka, terbayang-bayang situasi lokasi berkenaan pada zaman lampau di mana ia merupakan kawasan utama yang direbut-rebutkan oleh kuasa-kuasa barat ini. Di sinilah tempat mereka berdagang, berperang dan mentadbir negeri.

Sekarang, monumen-monumen ini menjadi daya tarikan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi negeri Melaka. Tidak hairanlah pada suatu masa dahulu, kerajaan negeri menggunakan slogan "Kegemilangan Melaka Berulang Kembali"

Saturday, March 3, 2012

MATI ITU BENAR





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Mati... Siapa yang tidak takut mati? Lazimnya semua orang takut mati. Akan tetapi, dalam perasaan takut mati yang ada dalam diri masing-masing namun masih ada yang tidak mahu memikirkan yang kita akan mati. Mungkin kerana kita tidak tahu tarikh kematian kita, sebab itulah kita tidak mahu memikirkannya sangat.

Dalam memperkatakan tentang kematian, adakah kita sudah bersedia dengan amalan-amalan sebagai bekalan di alam kubur dan di akhirat kelak? Kita masing-masingpun tidak mengetahui, sama ada amalan yang kita sangkakan kita buat baik, tetapi mana tahu ianya tidak diterima oleh Allah. Betapa ruginya...

Mati... Allah itu Maha Mengetahui. Mengapa agaknya Allah merahsiakan tarikh kematian kita? Sekiranya kita tahu akan tarikh kematian kita, rasa-rasanya kita tidak tidur 24 jam kerana terus beribadat kepada Allah. Sebenarnya kita hidup di dunia ini hanyalah sementara dan Allah sengaja mahu menguji keimanan kita terhadap-Nya.

Sekiranya kita lihat kembali pada cerita-cerita mengenai banduan akhir iaitu banduan yang akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mereka lagilah pula, sudah tahu akan tarikh kematiannya iaitu tarikh dia akan digantung. Agak-agaknya apakah perasaan dia? Dia tahu dia akan mati dan pasti mati. Apakah perasaan dia? Kalau kita lihat drama yang memainkan semula perihal banduan akhir yang hendak digantung, mereka bersungguh-sungguh bertaubat kepada Allah. Solat mereka tidak tinggal dan sentiasa memohon ampun kepada Allah. Apatah lagi semasa mahu melangkah ke bilik gantung, kakinya tidak mampu melangkah, diampu oleh pegawai penjara. Agak-agak apakah perasan dia? Dia tahu dia pasti akan mati dalam beberapa tika sahaja. Elok rasanya tidak tahu tarikh kematian sendiri daripada kita tahu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang Dia rancang.

Berbalik pula kepada persiapan kita untuk menghadapi mati. Adakah kita tahu tentang hidup kita di alam kubur kelak selepas mati? Adakah kita di alam kubur akan berasa sama seperti hidup di dunia? Semasa di dunia contohnya kita masuk di dalam terowong pelindung serangan udara (ada terdapat di negeri Perak), muat-muat badan untuk berlalu di dalam terowong hanya bertemankan cahaya lampu kecil yang malap. Itu di dunia, masuk terowong kecilpun kita sudah berasa seram dan nak sesak nafas dibuatnya. Bagaimana pula kita di dalam kubur kelak? Sedar-sedar badan sudah dipocongkan dan muat-muat badan sahaja. Kiri, kanan, atas dan bawah cuma tanah sahaja. Kalau amalan kita buruk lalu disoal Malaikat Mungkar dan Nangkir, mana kita mahu lari? Nak minta tolongpun tiada siapa yang boleh membantu. Yang boleh membantu hanyalah amalan kita di dunia.

Lain pula kisahnya pada hari akhirat dan hari pembalasan. Wallahuaklam, bagaimanalah keadaannya nanti. KIta telah digambarkan oleh Allah melalui Al-Quran perihal itu semua, kita memahami tetapi hanya memahami tidak sama dengan mengalami.

Saya dengan rendah diri, berasa insaf. Sedar diri ini serba kekurangan dan masih tercari-cari jalan yang lurus dan benar. Bukan niat untuk mengajar, cuma mahu berkongsikan apa yang bermain di minda. Kerap juga berfikir semasa hendak tidur, sekiranya esok bangun tiba-tiba hidung berbau tanah, badan disaluti kain putih, apakah nasibnya kelak...

Allahu Akbar...