Monday, December 12, 2011

DEKAT PERLAHAN, JAUH LAJU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kesesakan lalu lintas. Ianya boleh berlaku secara berterusan dan ada juga berlaku secara berkala. Di Kuala Lumpur misalnya, memang pada jalan-jalan tertentu pasti akan sesak tak kira masa. Ada juga sesak pada masa-masa tertentu sahaja.

Namun begitu, di Melaka lain pula ceritanya. Kesesakan berlaku terutama di Bandar Hilir akan terjadi pada waktu hujung minggu sahaja. Tetapi, ia akan menjadi kesesakan berganda apabila tiba musim cuti sekolah. Saya yang bekerja di tengah-tengah Bandar Hilir ini amat merasainya kerana memang terpaksa. Keluar dari parkir saja akan ketemu kesesakan. Iyalah, pejabat saya di kawasan Stadhuys (rumah merah), mana mahu lari lagi.

Dalam menghadapi situasi ini, untuk mengelakkan ditimpa kesesakkan yang berpanjangan, terpaksalah menggunakan jalan yang agak jauh untuk ke suatu destinasi bagi menggelakkan kesesakkan. Dengan menggunakan jalan yang jauh ini, kenderaan pun bergerak dengan laju tanpa ada kesesakkan.

Lain pula sekiranya kita hendak melalui juga jalan yang dekat. Maka terpaksalah kita bergerak secara perlahan kerana terpaksa menghadapi kesesakkan lalulintas.

Dari sinilah saya perolehi satu frasa yang saya gubah iaitu DEKAT PERLAHAN, JAUH LAJU bagi mengambarkan kesesakkan lalu lintas yang terdapat di Bandar Hilir.

Sebenarnya, kesesakan ini memang sukar dielakkan kerana terlalu banyak kenderaan yang memasuki Bandar Hilir. Namun begitu, ianya boleh dielakkan sedikit sekiranya pengguna mengetahui adanya jalan lain ke Bandar Hilir selain menggunakan jalan di kawasan Stadhuys. Mereka boleh memasuki dari Tengkera menghala Melaka Raya dan juga dari Bukit Katil - Duyong - Melaka Raya. Rasanya kalau masing-masing tidak tertumpu menggunakan satu jalan, nescaya kesesakkan dapat dikurangkan.

Ada kalanya pihak polis trafik akan berjaga-jaga di Jalan Bendahara dan mengalihkan haluan kenderaan ke arah Bukit Cina untuk mengelakkan kesesakkan yang tebih teruk. Bagi mereka yang kurang faham, ikuti saja arahan polis trafik tersebut kerana memang ada jalan yang lain untuk menghala ke tempat ditujui.

Sekarang pula, telah ada beberapa lokasi yang menempatkan papan tanda JALAN ALTERNATIF KE PUSAT BANDAR atau JALAN ALTERNATIF KE BANDAR HILIR. Arahan ini juga boleh dituruti kerana ianya akan menghala ke bandar Hilir.

Saya sebagai warga Melaka mengharapkan siapa yang membaca entri ini mendapat sedikit panduan. Jom melawat ke Melaka... ;)

Sunday, December 11, 2011

MELAKA INTERNATIONAL 12 HOUR WALK 2011





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 10 - 11 Disember 2011 telah diadakan Melaka International 12 Hour Walk 2011 atau dalam bahasa Malaysianya Lumba Jalan Kaki 12 Jam Peringkat Antarabangsa, Melaka 2011. Acara ini diadakan di Bandar Hilir Melaka yang melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara.

Acara ini telah dimulakan pada pukul 8.00 malam (10 Disember) dan berakhir pada pukul 8.00 pagi (11 Disember). Saya yang kebetulan melalui jalan tersebut telah berpeluang menyaksikan acara ini.

Perlumbaan ini sebenarnya telah diadakan buat kali kedua di negeri Melaka di mana pada tahun sebelumnya iaitu tahun 2010 merupakan tahun pertama acara ini diadakan. Pada tahun ini dilihat sambutannya amat menggalakan dan penyertaannya berkali ganda banyaknya dari tahun sebelumnya.

Saya yang berkesempatan mengambil beberapa gambar untuk simpanan peribadi telah disapa oleh 2 orang peserta yang menginginkan gambar tersebut dengan menanyakan sama ada saya akan meletakkan gambar tersebut di Facebook. Namun saya menjawab ianya hanyalah untuk simpanan peribadi. (sekiranya mereka tahu menggunakan internet, pasti akan terjumpa gambar ini melalui carian ke atas nama acara ini)

Di bawah ini disertakan beberapa gambar acara tersebut :





Thursday, December 8, 2011

BAHASA NEGERI MELAKA YANG MUNGKIN KAMU TIDAK TAHU

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Siapa yang pernah pergi ke negeri Melaka, angkat tangan... Hehe.. Ramainya yang pernah datang ke sini ye. Maklumlah Melaka kan Bandaraya Warisan Dunia dan seperti slogan negeri Melaka iaitu Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia. Emm.. Memang tidak dinafikan, bilangan pelancong ke negeri Melaka dari tahun ke tahun telah meningkat dengan mendadak.



Namun begitu, bukan pasal pelancongan yang saya ingin tuliskan dalam entri ini. Saya mahu berkongsikan perihal bahasa yang digunakan oleh orang negeri Melaka yang kemungkinan besar tidak diketahui oleh orang ramai dari negeri lain. Saya membuat entri ini dengan merujuk pada dinding Facebook rakan saya yang baru saya baca. Tetapi saya membuat olahan sendiri supaya memungkinkan orang ramai lebih memahaminya.

Okey, sekiranya berminat untuk mengetahui bahasa yang digunakan oleh orang negeri Melaka, bolehlah terus membaca di bawah ini :-

1) Kensal - Tuala mandi
(ada yang menyebut kain sal)

2) Hawau - Bermaksud "tak guna betul kau ni"
(biasa perkataan yang diluahkan "hawau kau")

3) Godak - Mengacau
(biasanya digunakan semasa mahu mengacau air. "Kau tolong godakkan air kopi dalam kole tu")

4) Kahau - Cakap kasar
(contoh ayat : "kahau la kau ni...")

5) Lahabau - Maksudnya seperti apa khabar
(perkataan ini memang biasa digunakan seperti "lahabau kau, aku ingat kau dah mampus...")

6) Membaghah / Mencekik - Makan
(contoh ayat : "mencekik je kau tau...")

7) Kepau - Bersepah
(contoh ayat : "Buat kepau je kat bilik aku...")

8) Kumbah - Menterbalikan / Menyelerakkan
(contoh ayat : "penat aku lipat baju, kau kumbah buat ape?")

9) Dak - Perkataan awalan sebelum menyebut nama seseorang
(contoh ayat : "Kau kenal tak dak Fairus?")

10) Membongkang - Tidur yang amat lena
(contoh ayat : "Keje membongkang je kau tau...")

11) Nau - Akhiran yang membawa maksud benar
(contoh ayat : Besau nau, jauh nau, tinggi nau)

12) Antu - Perkataan awalan sebelum menyebut nama seseorang
(contoh : "Alaaa... tak kan tak kenal antu Jarah...")

13) Lopak - Kotak pensil
(perkataan yang biasa budak-budak sekolah tuturkan)

Sebenarnya banyak lagi bahasa-bahasa yang digunakan oleh orang Melaka, ada antaranya saya sendiri tidak mengetahuinya. Tetapi apabila dilihat kembali perkataan-perkataan ini kadangkala terketawa sendiri kerana ada yang sudah lama saya tidak tuturkan.

Nak ditambah lagi, sekiranya akhir ayat berakhir dengan huruf A, ia akan digantikan dengan huruf E dan sedikit meleret contohnya, iye le... , pergi mane... , ikut suka hati kau le...

Dan pastinya seperti yang diketahui ramai bahawa setiap perkataan yang berakhiran dengan huruf R akan digantikan dengan huruf U seperti frasa yang popular ini; Ulau Melingkau atas Pagau.

Okeylah... Selamat mempelajari bahasa orang Melaka. Bahasa saja nampak kasar tetapi orang Melaka ni semuanya baik-baik belaka. kalau tak percaya datanglah ke Melaka. :)