Tuesday, November 22, 2011

BANGGA JADI ANAK HARIMAU, EH.. ANAK MALAYSIA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya maka perlawanan akhir bola sepak di kejohanan Sukan Sea telah dimenangi oleh Malaysia. Ini menunjukkan bahawa bola sepak Malaysia mempunyai kelas yang tersendiri dan kita adalah yang terbaik di Asia Tenggara.

Penulisan ini mungkin agak lewat berbanding dengan kecekapan penulis-penulis blog yang lain yang terus meluahkan rasa kegembiraan mereka di dalam blog setelah tamat perlawanan. Tapi percayalah, semangat Harimau Malaya tetap ada di dalam hati saya. ;)


Apabila dikenang kembali perlawanan malam tadi, memang boleh dikatakan ianya 50-50. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjadi juara. Namun, kelebihan memihak kepada Malaysia apabila berjaya dalam sepakan penalti.

Kepujian harus diberikan kepada semua pemain Harimau Malaya kerana berjaya mengembalikan maruah dan semangat rakyat Malaysia tatkala kita dikeji dan dihina oleh "segelintir" penyokong Indonesia.

Apa-apapun perlawanan malam tadi memang "lain macam" sedikit. Semangat kita yang menonton di rumah inipun amat terasa sekali. Dari mula perlawanan hinggalah tamat. Debaran dan semangatnya jelas terasa. Rasa macam nak gugur jantung pun ada. Syukurlah... Syukurlah Malaysia menang.

Malaysia Boleh!!!

Monday, November 21, 2011

GURAU SENDA SUAMI ISTERI (PART 4)





Alkisahnya di awal pagi yang dingin saya dan isteri sedang nyenyak tidur. Waktu itu pukul berapa tidak dapat dipastikan, tetapi kemungkinan besar di awal pagi.

Nak dijadikan cerita, saya kesejukan dan mencari bantal untuk dipeluk. Bantal sedang dipeluk oleh isteri saya lalu saya antara sedar dan tidak terus menarik bantal tersebut, lalu terjadi dialog ini :

Saya : Kenapa? (Sambil memandang muka isteri saya)

Isteri : Sarung bantal tercabut abang tarik. (isteri saya terus ketawa)

Rupa-rupanya saya tertarik bantal tersebut dan sarungnya tertanggal bersama isteri saya. Namun tanpa memikirkan apa-apa saya terus saja peluk bantal dan tidur semula. Apabila sudah masuk ke pejabat pada hari ini baru baru saya terkenang semula peristiwa itu dan tergelak seorang diri. Hahaha...

Lihat juga ---> Gurau Senda Suami Isteri

Lihat juga ---> Gurau Senda Suami Isteri (Part 2)

Lihat juga ---> Gurau Senda Suami Isteri (Part 3)

Sunday, November 20, 2011

BLOG SATU DOKUMENTASI





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada zaman sekarang blog adalah satu media yang amat popular baik bagi remaja mahupun yang sudah dewasa. Berbagai-bagai fungsi yang dilakukan dengan berblog seperti untuk peribadi, politik, pemasaran, pelancongan, makanan dan sebagainya. Secara sedar mahupun tidak sedar sebenarnya kita telah membuat suatu dokumentasi tentang sesuatu acara, perkara ataupun peristiwa yang telah dilalui.

Mendokumentasikan sesuatu perkara yang telah kita lakukan adalah penting. Ini adalah kerana ia mempunyai nilai pada suatu masa nanti. Nilai-nilai tersebut seperti nilai sejarah, nilai budaya, nilai fiskal, nilai perundangan, nilai estetika dan berbagai-bagai nilai yang lainnya.

Kalau hendak dibandingkan dengan negara Barat, rasanya kita di Malaysia agak jauh ketinggalan dalam mendokumentasikan apa yang kita lakukan dan laksanakan. Di Barat, mereka menganggap pendokumentasian adalah penting bagi masa-masa hadapan untuk individu ataupun negara. Dalam perkataan yang lain, mereka senantiasa merekod dan menyimpan segala rekod dengan sempurna bagi rujukan akan datang. Bersyukurlah kita mempunyai arkib dan muzium yang mendokumentasi dan menyimpan rekod-rekod kepentingan negara.

Kita beralih kepada peristiwa yang lalu di mana Malaysia telah kalah kepada Singapura di Mahkamah Antarabangsa semasa tuntutan bertindih Pulau Batu Putih. Selain daripada isu kecuaian, isu rekod juga salah satu daripada faktor mengapa Singapura menang dalam tuntutan tersebut. Jelaslah bahawa rekod dan dokumentasi adalah penting pada individu dan negara, mungkin bukan buat masa sekarang tetapi pada masa akan datang kerana ianya mempunyai nilai-nilai yang tertentu.

Dalam hujah ini penulisan blog juga mungkin berguna pada masa akan datang. Manalah tahu, pada masa hadapan penulisan-penulisan blog ini boleh dijadikan bukti pada hal-hal tertentu. Ia juga boleh menjadikan memori yang indah apabila kita sudah berumur kelak. Tapi mungkin ada yang bertanyakan bolehkan blog terus wujud pada masa akan datang? Saya fikirkan tentu boleh. Andainya blog akan tidak wujud lagi, mungkin kita boleh salinkan semua isi-isi kandungan blog kita dan jilidkan seperti buku agar ia terus dapat kita simpan.

Mungkin penulisan ini dilihat remeh temeh oleh segelintir individu tetapi percayalah, sekiranya anda telah meningkat ke umur veteran dan menyingkap kembali tentang apa yang anda tulis di blog pastinya akan meninggalkan kesan sentimental yang begitu indah.