Sunday, November 20, 2011

BLOG SATU DOKUMENTASI





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada zaman sekarang blog adalah satu media yang amat popular baik bagi remaja mahupun yang sudah dewasa. Berbagai-bagai fungsi yang dilakukan dengan berblog seperti untuk peribadi, politik, pemasaran, pelancongan, makanan dan sebagainya. Secara sedar mahupun tidak sedar sebenarnya kita telah membuat suatu dokumentasi tentang sesuatu acara, perkara ataupun peristiwa yang telah dilalui.

Mendokumentasikan sesuatu perkara yang telah kita lakukan adalah penting. Ini adalah kerana ia mempunyai nilai pada suatu masa nanti. Nilai-nilai tersebut seperti nilai sejarah, nilai budaya, nilai fiskal, nilai perundangan, nilai estetika dan berbagai-bagai nilai yang lainnya.

Kalau hendak dibandingkan dengan negara Barat, rasanya kita di Malaysia agak jauh ketinggalan dalam mendokumentasikan apa yang kita lakukan dan laksanakan. Di Barat, mereka menganggap pendokumentasian adalah penting bagi masa-masa hadapan untuk individu ataupun negara. Dalam perkataan yang lain, mereka senantiasa merekod dan menyimpan segala rekod dengan sempurna bagi rujukan akan datang. Bersyukurlah kita mempunyai arkib dan muzium yang mendokumentasi dan menyimpan rekod-rekod kepentingan negara.

Kita beralih kepada peristiwa yang lalu di mana Malaysia telah kalah kepada Singapura di Mahkamah Antarabangsa semasa tuntutan bertindih Pulau Batu Putih. Selain daripada isu kecuaian, isu rekod juga salah satu daripada faktor mengapa Singapura menang dalam tuntutan tersebut. Jelaslah bahawa rekod dan dokumentasi adalah penting pada individu dan negara, mungkin bukan buat masa sekarang tetapi pada masa akan datang kerana ianya mempunyai nilai-nilai yang tertentu.

Dalam hujah ini penulisan blog juga mungkin berguna pada masa akan datang. Manalah tahu, pada masa hadapan penulisan-penulisan blog ini boleh dijadikan bukti pada hal-hal tertentu. Ia juga boleh menjadikan memori yang indah apabila kita sudah berumur kelak. Tapi mungkin ada yang bertanyakan bolehkan blog terus wujud pada masa akan datang? Saya fikirkan tentu boleh. Andainya blog akan tidak wujud lagi, mungkin kita boleh salinkan semua isi-isi kandungan blog kita dan jilidkan seperti buku agar ia terus dapat kita simpan.

Mungkin penulisan ini dilihat remeh temeh oleh segelintir individu tetapi percayalah, sekiranya anda telah meningkat ke umur veteran dan menyingkap kembali tentang apa yang anda tulis di blog pastinya akan meninggalkan kesan sentimental yang begitu indah.

Friday, November 18, 2011

KAPAL SELAM TERDAMPAR DI DARATAN





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dua hari yang lepas saya ada membuat cerita bertajuk Kapal Selam Selamat Sampai Ke Melaka di mana kerja-kerja mengangkut kapal selam sedang dijalankan untuk dibawa ke daratan. Pada hari ini saya sertakan bersama gambar-gambar kapal selam yang telah berjaya diletakkan di lokasi cadangan Muzium Kapal Selam.

Saya hadir ke tapak untuk menghadiri majlis ringkas doa selamat di mana ianya turut dihadiri oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Pada masa ini kapal selam ini sedang dijalankan kerja-kerja pembersihan udara di dalam badan kapal selam tersebut bagi memastikan ianya selamat. Di dalam gambar, boleh dilihat sepasukan anggota bomba sedang melaksanakan tugas.

Buat masa ini kapal selam ini dibuka untuk tatapan umum sebelum ianya ditutup bagi kerja-kerja menaiktaraf. Baru sahaja berita kapal selam ini telah selamat diletakkan di lokasinya, telah ramai warga Melaka yang datang untuk menyaksikan kapal selam ini. Begitulah kekreatifan kerajaan negeri Melaka yang pandai untuk mengambil peluang untuk memajukan sektor pelancongan negeri.

Di bawah ini disertakan beberapa gambar untuk tatapan semua.

Kapal Selam Ouessant (Kelas Agosta)

Kerja-kerja membersihkan udara di dalam badan kapal selam

Kehadiran YAB Ketua Menteri Melaka

YAB Ketua Menteri dan bos besar saya bersedia untuk naik ke kapal selam

Naik menggunakan "skylift" bomba

Bacaan doa selamat. Semoga selamat semuanya.

Sempat bergambar kerana keterujaan dengan kapal selam ini.

Wednesday, November 16, 2011

KAPAL SELAM SELAMAT SAMPAI KE MELAKA








Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Gambar menunjukan kapal selam Ouessant (kelas Agosta) sedang diangkut ke daratan Dataran 1 Malaysia, Klebang Besar, Melaka. Kapal selam ini telah dibawa belayar dari Brest, Peranchis ke perairan Melaka dengan pengangkutan Felda Transpot Services Sdn. Bhd.

Sebelum ini saya telah diberikan tanggungjawab untuk menyediakan perincian penubuhan muzium kapal selam ini. Sila baca di sini untuk mengetahuinya. Namun, kerja saya tidak selesai kerana saya bertukar unit dari Unit Pemuziuman ke Unit Konservasi. Apa boleh buat, di tempat saya bekerja memang mengamalkan sistem pertukaran unit yang bertujuan untuk memahirkan semua kakitangan dalam setiap aspek pengurusan muzium. Jadinya, mana-mana bahan rujukan dan sedikit penulisan yang saya telah buat dulu (baru sedikitpun), saya serahkan kepada pegawai yang bertanggungjawab, manalah tahu, ianya boleh membantu.

Harapan saya untuk melihat penubuhan muzium ini berjaya. Saya amat yakin, ianya bakal membawa tarikan yang besar kepada negeri Melaka setanding dengan muzium-muzium terkenal di negeri Melaka seperti Muzium Sejarah, Muzium Istana Kesultanan Melaka dan juga Muzium Samudera (Kapal Flor De La Mar)

Sumber gambar : Facebook Perbadanan Muzium Melaka