Monday, September 26, 2011

SIRI JEJAK WARISAN NEGERI MELAKA : MAKAM TUN TEJA





Selamat datang ke Makam Tun Teja




Makam ini dipercayai makam Tun Teja atau nama sebenarnya Tun Teja Ratna Benggala anak kepada Seri Amar Diraja Bendahara Pahang (Inderapura). Tun Teja ialah isteri kepada Sultan Mahmud Shah (1458-1511). Apabila Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511, Baginda telah berundur ke Bentayan (Muar). Semasa pengunduran inilah Tun Teja yang ketika itu sedang gering akhirnya mangkat. Jasadnya dipercayai disemadikan di sini dengan penuh adat istiadat.

Tun Teja bukan sahaja seorang wanita yang jelita dan berhemah tinggi bahkan seorang isteri yang setia serta disayangi oleh Sultan dan telah menumpukan sepenuh ketaatsetiaan kepada negeri ini. Beliau telah membangkitkan semangat kepahlawanan dalam kalangan wanita Melayu untuk turut sama mempertahankan negeri daripada serangan Portugis. Segala jasa dan pengorbanan beliau akan tetap dikenang buat selamanya.

Saturday, September 24, 2011

ADAB-ADAB HIDUP DI RUMAH





Rumahku Syurgaku. Itulah yang ramai yang di antara kita mahukan. Namun bagaimana hendak kita jadikan rumah kita sebagai syurga? Banyak yang boleh dilakukan sama ada menjadikan ahli keluarga saling hormat menghormati, sentiasa menjaga kebersihan rumah agar sentiasa bersih dan cantik, menjadikan rumah sebagai suatu tempat yang damai bagi kita dan banyak lagi.

Namun itu, tidaklah mahu diperincikan perihal bagaimana hendak jadikan rumah kita (tak kiralah rumah sendiri / rumah sewa / rumah ibu bapa / rumah mertua) dijadikan Rumahku Syurgaku cukuplah sekadar supaya nampak bersih dan cantik serta tersusun. Jadinya, perkara ini haruslah diikuti :

1. Segera membasuh pinggan mangkuk yang digunakan sendiri tanpa menunggu orang lain yang membasuhnya. Ingatlah, kalau masing-masing makan dan basuh pinggan sendiri jadinya tiadalah pinggan mangkuk yang tak basuh berlambak di sinki.

2. Segera menyidai pakaian yang dibasuh. Ada juga segelintir orang yang suka membasuh pakaian tetapi tidak menyidainya, esok, lusa atau tulat baru mahu menyidainya.

3. Apabila pakaian sudah kering di ampaian janganlah pula diangkat dan longgokkan di atas kerusi sofa ataupun katil. Kalau longgok sehari tak mengapa, tapi sudah memang jadi tempat longgokan tak bolehlah. Bukankah lebih elok pakaian tersebut dilipat atau disangkut di kabinet baju.

4. Sekiranya rumah nampak bersepah, segeralah bersihkan. Jangan sampai rumah sudah terlalu bersepah baru nak bersihkan. Kalau nak diikutkan, hari-hari kita kena menyapu di dalam dan luar rumah.

5. Di dalam rumah, jangan mengharapkan orang lain yang membuatkan sesuatu untuk kita atau jangan suka-suka mengarahkan orang lain membuat sesuatau untuk kita. Adalah lebih elok perkara-perkara itu kita buat sendiri. (lainlah sekiranya kita tiada kemampuan melakukannya).

Setakat ini sahaja yang dapat digariskan perihal adab-adab di dalam rumah. Kita mampu mengubahnya. Kita lakukanlah sendiri jangan kita susahkan suami / isteri / ibu bapa / mertua untuk melakukan sesuatu untuk kita.

(Entry ini tiada kene mengena kepada mereka yang mempunyai pembantu rumah kerana pembantu rumah dibayar untuk melakukan kerja-kerja di rumah kita)

Friday, September 23, 2011

APA ADA PADA MALAM JUMAAT?





Malam Jumaat. Apa ada pada malam Jumaat? Malam Jumaat banyak ertinya pada seseorang tak kira dari segi perasaan mahupun perbuatan. Dari pengalaman dan pemerhatian yang dilalui, bolehlah dikatakan malam Jumaat ini adalah :

1. Bagi kanak-kanak dan mereka yang penakut, malam Jumaat ialah malam di mana banyak hantu berkeliaran.

2. Bagi mengamal seni silat, malam Jumaat adalah malam pengasah ilmu.

3. Bagi pasangan yang sudah berkahwin, malam Jumaat selalunya dikatakan sebagai malam untuk hubungan bersama suami isteri.

4. Bagi mereka yang suka beribadah, malam Jumaat adalah malam terbaik untuk membaca surah Yaasin.

5. Bagi menggemar menonton televisyen, malam Jumaat pastinya mengingatkan mereka ada rancangan yang mereka nantikan.

6. Bagi golongan bekerja, malam Jumaat merupakan malam terakhir sebelum mereka bercuti hujung minggu.

Erm.. Rasanya ada lagi pengertian malam Jumaat dalam kehidupan manusia. Anda pula bagaimana?