Thursday, September 15, 2011

PERDANA MENTERI UMUMKAN ISA DIMANSUHKAN

Hari ini dalam sejarah. Perdana Menteri kita, YAB Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau dikenali sebagai ISA (Internal Security Act)

Sebelum ini akta tersebut sering dikecam kerana membolehkan pihak polis menahan seseorang selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan bagi sesuatu yang boleh menganggu-gugat keselamatan negara.

Semoga dengan apa yang diumumkan oleh PM ini tidak lagi menjadi isu yang boleh dimainkan oleh beberapa pihak. Soikap keterbukaan PM harus dipuji dalam aspek ini.

Dalam menyambut 16 September (Hari Malaysia) ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua warga negara Malaysia tidak kira di mana berada. Semoga Malaysia lebih terus maju. Terus proaktif dan terus berjaya.



DUIT RAYA ANAK, AMANAH KITA

Macam mana dengan raya tahun ni? Anak dapat banyak duit raya tak? Simpan ke mana duit raya anak tu? Apa... Dah gunakan dulu? Dah beritahu anak tak? Kalau anak masih kecil dan belum tahu bercakap nak beritahu macam mana? Dia beri ke kita pinjam duit dia yang orang beri tu?

Inilah persoalan-persoalan yang perlu kita jawab sendiri. Kemanakah duit raya anak kita? Adakah kita menyimpannya di bank ataupun kita telah "meminjam" daripada dia untuk menampung perbelanjaan harian yang telah lari budget? Bagi anak-anak yang sudah besar tu tidak mengapalah, mereka tahu bagaimana untuk menyimpan ataupun membelanjakan duit mereka. Namun bagaimana pula halnya tentang anak kita yang masih kecil dan belum tahu berkata-kata.

Bolehkah kita menggunakan duit raya anak kita yang tidak mengetahui apa-apa ini untuk keperluan kita sedangkan kita tidak dapat jawapan daripadanya sama ada dia beri pinjam atau tidak? Duit itu pemberian orang dan ia adalah amanah kepada kita untuk menjaganya. Oleh itu, kita kena amanah dan sebolehnya menyimpan duit tersebut dengan elok.

Rasanya adalah lebih baik kita bukakan akaun SSPN kepada anak kita kerana bermula tahun 2012, mana-mana individu yang mahu meminjam PTPTN hendaklah mempunyai akaun SSPN terlebih dahulu. Membuka akaun SSPN untuk anak kita adalah amat baik kerana paling tidakpun mereka ada simpanan sendiri dan tidak akan berhutang dengan pinjaman yang tinggi sekiranya hendak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kelak. Seterusnya, mereka tidak akan dibebani oleh hutang yang banyak setelah tamat pengajian nanti.

Ingatlah, tahun-tahun yang mendatang pastinya kos untuk pendidikan tinggi akan terus meningkat, oleh itu kita siapkan simpanan anak kita lebih awal demi untuk masa depannya. Bukan apa, nanti-nanti kita juga yang yang dapat untung juga kerana dengan duit yang sedia ada, dia tidaklah menyusahkan kita nanti apabila kita mungkin sudah tidak bekerja kelak.

Akhir sekali, ingatlah... Duit raya anak adalah amanah kita, jangan kita pula dengan sewenang-wenang membelanjakannya.



Wednesday, September 14, 2011

JADIKAN MUZIUM SEBAGAI PUSAT PENDIDIKAN TIDAK FORMAL

Siapa yang tak pernah pergi muzium, sila angkat tangan... Erm, rasanya ramai yang sudah pernah pergi ke muzium. Tak kiralah bersama kawan, keluarga mahupun sendirian. Mengikut kefahaman, muzium bolehlah ditakrifkan sebagai sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan yang berfungsi untuk mengumpul, memulihara, mengkaji, mendokumentasi dan mempamerkan sejarah manusia serta flora dan fauna bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan seterusnya dibuka kepada orang ramai.

Muzium sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan? Ya benar, kerana di muzium kita dapat perolehi maklumat yang mungkin kita tidak dapat peroleh di tempat-tempat lain. Oleh itu, sebagai warga Malaysia, kita haruslah menjadikan muzium ini salah satu tempat yang harus dikunjungi bagi memperoleh sesuatu maklumat, selain mencari maklumat di perpustakaan ataupun arkib.

Apa yang sedikit menyedihkan, di kalangan warga Malaysia (tidak semua), biasanya muzium ini hanya sesuatu yang sampingan sahaja. Tempat untuk melawat kerananya ianya muzium. Hanya untuk melihat-lihat dan mungkin kerana terpaksa ekoran tiada tempat lain yang lebih menarik untuk dilawati.

Dalam pemerhatian dibuat, khasnya bagi rombongan pelajar-pelajar sekolah. Pelajar-pelajar hanya masuk ke muzium, berjalan-jalan dan melihat sahaja artifak dan bahan pameran yang dipamerkan. Mereka jarang membaca keterangan yang diberikan. Tak pastilah sama ada mereka faham tentang fungsi sesuatu artifak atau tidak kerana hanya melihat sahaja, mereka mungkin tidak faham tentang fungsi sesuatu artifak.

Berbeza pula dengan pelancong dari negara luar terutama dari Barat. Mereka menghabiskan banyak masa di dalam muzium dan membaca setiap keterangan dan artifak yang dipamerkan. Tidak hairanlah kalau dikatakan orang Barat ini pandai dan berilmu pengetahuan kerana mereka banyak dan suka membaca.

Bagi pelajar-pelajar sekolah antarabangsa dan juga pelajar-pelajar sekolah dari negara jiran seperti Singapura misalnya, guru-guru mereka lebih prihatin terhadap rombongan pelajar mereka dengan menjadikan muzium sebagai pusat pembelajaran. Setiap kali sekolah sedemikian rupa mengadakan rombongan ke muzium pastinya mereka dibekalkan dengan soalan-soalan yang perlu dijawab berkisarkan bahan pameran di sesuatu muzium. Bukan itu sahaja, bagi sekolah antarabangsa, mereka menjadikan pembelajaran di muzium sebagai satu kokurikulum wajib bagi sekolah mereka.

Jadinya, kepada semua warga Malaysia, jadikanlah muzium itu sesuatu tempat yang harus dikunjungi dan tempat untuk menimba ilmu pengetahuan. Jadilah masyarakat yang suka membaca dan berilmu kerana dengan ilmu kita dapat mengetahui sesuatu yang mungkin orang lain tidak tahu.

(Ps : Anak aku cakap, aku kerja di muzium jaga patung. Erm... Anak aku yang baru 3 tahun sudah cakap macam tu, apakan lagi orang lain. Tapi aku sering beritahu, ayah bukan jaga patung, ayah jaga warisan...)

Aku : Fahim, mama kerja ape?

Muhammad Fahim : Kerja kesihatan.

Aku : Mama buat ape?

Muhammad Fahim : Tak tahu...

Aku : Ayah kerja ape?

Muhammad Fahim : Kerja muzium.

Aku : Ayah buat apa?

Muhammad Fahim : Jaga patung...

Aku : ???..... Ayah bukan jaga patung, ayah jaga warisan... :)