Friday, August 19, 2011

SUDAHKAH KITA BERSEDIA MENGHADAPI KEBAKARAN?

Setiap hari kebakaran boleh berlaku di mana sahaja. Sama ada kebakaran di tempat kerja, kebakaran hutan dan kebakaran kediaman atau rumah. Sekiranya rumah kita terbakar, adakah kita sudah bersedia menghadapinya?

Baru-baru ini ada mendengar taklimat mengenai kesedaran kebakaran, memang terasa betapa pentingnya ada ilmu tentang cara-cara menghadapi kebakaran dan lain-lain ilmu berkaitan kebakaran.



Menurut fakta, kematian akibat kebakaran kebanyakkannya bukan berpunca daripada api, tapi sebaliknya ialah asap. Lebih 70% kematian akibat kebakaran disebabkan oleh asap. Asap menyebabkan kekurangan oksigen untuk disedup dan apabila menyedup asap, seseorang itu sebenarnya menghirup udara yang mempunyai toksin dan racun yang amat merbahaya. Dalam beberapa minit saja, orang tersebut akan mati akibat terhidu asap.

Oleh yang demikian, untuk mencegah asap ini, seseorang perlu segera melarikan diri daripada kebakaran dan asap. Kalau di rumah kita, sekiranya asap sudah memenuhi ruang, cubalah merangkak-rangkak mencari jalan keluar. Tetapi lain pula sekiranya kebakaran berlaku di hotel misalnya, jangan merangkak, kerana dikhuatiri akan mati dipijak. Mati akibat terpijak juga merupakan statistik penyebab kematian semasa berlaku kebakaran.

Kalau anda terlihat seseorang badannya terbakar, apa perlu dibuat? Biasanya orang akan menggulingkannya di lantai, membalutkan tubuh mangsa dengan selimut dan ada juga yang menyembur dengan alat pemadam api. Semuanya adalah betul, tapi dengan cara sama ada betul atau tidak saja yang dilakukan. Kerana sekiranya ia dibuat dengan cara tidak betul, ia akan mendatangkan lebih kemudaratan kepada mangsa.






Namun, semua ini mungkin semua sudah tahu. Tapi sebaliknya kita harus memandang ke hadapan. Adakah tempat tinggal kita sekarang ini selamat? Adakah rumah kita disediakan peralatan-peralatan mencegah kebakaran? Kalau kita lihat di pejabat kita, di pusat membeli belah pastinya sudah siap sedia dengan segala peralatan pencegahan kebakaran seperti alat pemadam api, paip hos bomba, alat semburan air, pengesan asap dan sebagainya. Tapi adakah di rumah kita mempunya alat-alat ini? Bagaimana pula sekiranya rumah kita ditimpa kebakaran?

Sudah masanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memperkenalkan satu peraturan baru bagi projek-projek perumahan akan datang. Bukan setakat mempunyai paip bomba sahaja, tapi setiap rumah perlulah dilengkapi sistem pencegahan kebakaran yang lebih effisyen. Ini bukannya apa, ia adalah satu langkah awal bagi memastikan setiap kebakaran dapat dipadamkan dengan lebih awal dan dapat mengelakkan kemalangan jiwa berlaku.

Sekiranya pihak PBT tidak dapat membuat peraturan begitu, setiap penghuni rumah boleh mengambil ikhtibar sendiri dengan menyediakan perlatan pencegahan kebakaran di rumah sendiri. Setidak-tidaknya ada sebuah alat pemadam api. Marilah kita sama-sama praktikan demi menjaga orang yang kita sayangi.

(Ps : Dua hari lepas ada pergi Tesco, ada jual alat pemadam api kecil punya. Harga pun RM 60 lebih saja. Nanti nak beli, taruk dekat rumah)

SEDANG LAYAN STIM

Layan stim? Memang aku tengah layan stim. Bukan stim ganja, gam atau sebagainya. Sebaliknya mata ku stim kerana panahan ubat selsema yang aku ambil masa bersahur pagi tadi. Bayangkanlah, sampai sekarang dia punya kesan ada lagi.

Aku rasa ubat selsema ni kandungan dadah dia banyak kot. Sudahlah mengantuk saja, mata pun naik stim. Pagi tadi masa tadarus Al-Quran, baca pun tunggang langgang. Aku siap beritahu hari ni ada khayal sedikit.

Harap-harap cepatlah sembuh selsema ni. Semalam agak teruk sedikit, tapi hari ni nampak dah nak pulih. Rehat sekejab lagi mahu tidur sebentar. Harap tak terlajak dah la.




Wednesday, August 17, 2011

BAGUS KE PELANCONGAN?

Apabila kita membicarakan tentang pelancongan, pasti ia mendatangkan keuntungan pada sesebuah negara. Keuntungan daripada pembelian dan perbelanjaan oleh warga negara asing yang melancong ke negara kita. Hasil ini termasuklah, bayaran hotel, perbelanjaan membeli belah, makan minum dan sebagainya.

Secara kasarnya, ia memang baik. Pelancongan memang baik kerana memberikan pulangan kepada negara. Ini boleh dilihat, sewaktu industri pelancongan belum pesat membangun, banyak negara Eropah tidak mementingkan pelancongan sebagai sumber pendapatan negara, sebaliknya lebih menumpukan kepada bidang industri. Tapi kini, dilihat seluruh dunia telah mengakui bahawa bidang pelancongan merupakan industri yang besar dan boleh menyumbangkan banyak pendapatan kepada negara.

Begitu juga dengan Malaysia, kita tidak lari daripada membangunkan negara sebagai salah satu pusat pelancongan yang harus dilawati. Kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi mempromosikan Malaysia ke serata dunia, dengan impian ia akan memberikan pulangan yang lebih berlipat ganda kepada pendapatan negara.

Di Melaka juga sama. Sejak diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008, dilihat Melaka menjadi tumpuan pelancong. Setiap tahun bilangan pelancong ke Melaka kian bertambah dari tahun ke setahun. Ini memang tidak boleh dinafikan. Lihatlah sahaja Bandar Hilir pada waktu cuti hujung minggu dan cuti umum, jalan raya akan sesak dan dipenuhi oleh pelancong dari dalam dan luar negara.

Dalam membicarakan tentang pelancongan, tembiasnya pastinya dapat dirasai oleh pengusaha-pengusaha kedai makan, kedai cenderahati, pusat membeli belah dan sebagainya. Malahan si pengayuh beca juga gembira dengan kehadiran ramai pelancong kerana mereka mampu mendapat ratusan ringgit dalam masa sehari.

Namun begitu, dalam satu perhatian secara rawak yang telah dilakukan, sebenarnya ada juga keburukan dan ianya merunsingkan penduduk tempatan berkenaan pembangunan pelancongan yang pesat. Menurut beberapa individu tempatan yang telah ditemuramah, mereka tidak berpuas hati dengan harga makanan di tempat mereka yang melambung begitu tinggi.

Harga makanan ini menjadi begitu tinggi kerana kawasan itu sekarang telah menjadi kawasan tumpuan pelancong. Memang sangat ramai, sehingga bersesak-sesak pelancong di kawasan ini semasa hujung minggu. Menurut apa yang dikatakan oleh individu tersebut, mereka ini adalah rakyat tempatan, mereka sudah lama tinggal di situ, tapi sejak kerajaan membangunkan kawasan tersebut sebagai kawasan pelancongan, peniaga-peniaga mula menaikkan harga makanan yang rata-rata memang dihadiri oleh pelancong sedangkan mereka yang sudah lama tinggal di situ terpaksa juga membeli makanan dengan harga yang tinggi.

Apabila difikirkan, memang tak patutpun peniaga-peniaga mengambil kesempatan sedemikian rupa. Oleh kerana pelancongan, harga makanan naik. Bagi pelancong, ia tidak mengapa kerana mereka datang mungkin hanya sekali, tetapi bagi penduduk tetap di kawasan itu yang hidup bertahun-tahun terpaksa menanggung beban kos makanan.

Sebenarnya bukan mahu memenangkan sangat kata-kata orang tersebut, tetapi mungkin ada benarnya. Berkali-kali dia beritahu agar kerajaan patut membuat pemantauan terhadap harga makanan di kawasan pelancongan kerana ianya terlalu mahal.

Sekiranya benar bagai di kata, pihak yang bertanggungjawab haruslah mengambil berat pasal hal ini. Jangan hanya nila setitik rosak susu sebelangan dan jangan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.