Thursday, June 2, 2011

ANTIKUITI

Rasanya belum lama aku bertugas di muzium ni, tapi asyik-asyik kena pindah bahagian atau unit. Ni bukan kerana aku bermasalah tau..? Tapi sudah memang polisi big bos tempat aku kerja yang suka rotate-rotate kakitangan. Kalau dulu mula-mula bekerja aku ditempatkan di Unit Pendaftaran. Dalam unit ini aku bermain dengan aset dan artifak. Mana ada aset dan artifak baru masuk, akulah yang mendaftarkannya bersama kakitangan unit aku yang lain. Mencabar jugalah kerja kat unit ni, memang hari-hari ada kerja. Termasuklah kerja-kerja merekod, meyemak, memeriksa aset dan artifak. Lepas setahun lebih, aku ditukar pula ke Bahagian Pemuziuman. Aku kena uruskan hal-hal muzium. Di sini aku kena urus Unit Muzium Istana Kesultanan Melaka. Dalam unit muzium tu pula ada beberapa pecahan muzium lagi. Kiranya semua 5 buah muzium kena diuruskan. Kalau dulu dekat Unit Pendaftaran aku hanya jaga aset dan artifak, sudah masuk Bahagian Pemuziuman ni, kena pula buat event, buat pengisian muzium baru. Kalau pergi Melaka, pergi cari Muzium Pengangkutan. Muzium ni hasil dari air tangan aku. :) Dan sekarang ni, pada 1 Jun lepas aku ditukarkan pulak ke Bahagian Antikuiti iaitu di Unit Konservasi. Makin bertambah-tambah tugaslah kali ni. Mana taknya, dalam unit ni kitorang kena urus tapak-tapak warisan, rumah-rumah tradisional, projek, makam-makam dan banyak lagilah.. Memang tak duduk pejabatlah aku lepas ni. Kena keluar lawat tapak sajalah. Apa-apapun, tak kisah lah big bos aku nak rotate-rotate kakitangan. Akupun harap aku dapat belajar lebih pasal hal-ehwal dalam pengurusan muzium. Lepas-lepas ni tak taulah pulak kat mana aku tercampak... :)

SKIM LATIHAN 1 MALAYSIA : APA KELEBIHANNYA?

1 Jun 2011 yang lepas, Perdana Menteri kita mengumumkan satu skim baru bagi graduan yang belum mendapat pekerjaan iaitu Skim Latihan 1 Malaysia. Skim ini akan bermula dengan ambilan seramai 3000 graduan untuk ditempatkan ke syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Skim ini juga dilihat bakal memberikan peluang para graduan untuk menimba ilmu dan pengalaman dan seterusnya boleh sebatikan diri dalam alam pekerjaan.

Apakah kelebihan skim ini? Dari pandangan peribadi aku, skim ini sememangnya amat berguna kepada graduan yang menganggur. Bukan apa, aku sendiri pernah mengalaminya. Iyalah, mana-mana syarikat yang kita minta kerja mesti mahukan pengalaman bekerja. Tapi macamana kita mahu mendapat pengalaman sekiranya kita baharu saja tamat pengajian dan baru saja mahu menempuh ke alam pekerjaan. Maka tak hairanlah selepas tamat pengajian di universiti aku pergi mencari pengalaman kerja dulu termasuk kerja kilang, kerja di kedai serbaneka dan sebagainya. Iyalah, daripada duduk menganggur kononnya nak menantikan peluang pekerjaan yang cerah lebih baik kita bekerja apa-apa pekerjaan terlebih dahulu. Dapatlah juga duit belanja dari minta duit mak bapa.

Selain itu, dengan skim ini memungkin para graduan yang menyertai skim ini terus mendapat pekerjaan di syarikat GLC tersebut. Iyalah, manalah tahu, dalam membuat pekerjaan tiba-tiba bos syarikat berkenan dengan cara tugasan kita dan terus ingin mengambil sebagai kakitangan tetap. Manalah tahu. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia........

Walaupun banyak baiknya skim ini, para graduan yang mendapat mengikuti skim ini perlulah bekerja dengan baik dan sempurna. Anggaplah kita benar-benar bekerja di situ. Buat kerja sehabis baik dan ikhlas. Tunjukkan bakat yang ada dan jangan hanya bertugas sekadar melepaskan batuk di tangga. Semoga semuanya maju jaya.

Don’t bodek-bodek but market yourself. :)




Monday, May 30, 2011

KUALA LUMPUR!!!

Minggu lepas aku berkampung seminggu di Negeri Sembilan, minggu ni pulak aku ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan sepupu aku, Inspektor Aizat. Tapi bukan cerita pasal majlis kahwin yang aku mahu kongsikan, tapi pasal jalanraya dan kesesakan.

Kuala Lumpur dengan kesesakan jalanraya memang tak boleh dipisahkan. Bak kata pepatah, ibarat aur dengan tebing. Walaupun bukan waktu hari bekerja, kesesakan jalanraya tetap berlaku. Tak pastilah kenapa, mungkin juga pada hujung minggu ramai yang ke Kuala Lumpur untuk bercuti. Di tambah lagi dengan cuti sekolah sedang bermula sekarang.

Aku yang kurang pandai dengan jalan-jalan di Kuala Lumpur ni pun dah naik pening kepala dengan kesesakan lalulintas. Dah lah dalam banyak-banyak kenderaan yang kami berkonvoi, aku seorang saja yang sesat. Orang lain sudah sampai tempat hala tuju, aku seorang saja yang sesat dan hanya tiba kira-kira 40 minit setelah orang lain sampai.

Aku tak pastilah dengan orang-orang di Kuala Lumpur ni. Macamana mereka boleh hari-hari mengadap kesesakan lalu lintas, lebih-lebih lagi masa pergi dan pulang kerja. Rasanya kalau bangun lambat, mahunya lewat sampai ke tempat kerja. Kalau aku duduk kat Kuala Lumpur, rasanya aku lebih rela naik motor dari mengadap kesesakan hari-hari.

Kalau ada orang-orang Kuala Lumpur yang membaca entry aku ni, tolong beri pendapat / komen pasal kesesakan jalanraya yang korang hadapi di Kuala Lumpur.