Thursday, March 3, 2011

MATI SEBELUM TUA

Ajal maut di tangan Allah. Itu adalah pasti, cuma kita tidak tahu bila? Bila agaknya kita akan mati? Samaada kita sempat merasa usia tua, ataupun mati di usia muda mahupun belum sempat tua, dunia sudah kiamat.

Gambar : Google

Sekarang umur dan menjangkau 30 tahun tapi ada beberapa orang juga rakan sekolah sebaya usia aku telah meninggal dunia. Kebanyakannya meninggal kerana kemalangan dan ada juga kerana lemas. Al-Fatihah untuk kalian semua, moga roh kalian dicucuri rahmat-Nya.

Kita yang masih hidup ini wajiblah menurut segala perintah Allah dan jauhi apa yang dilarang-Nya. Ini adalah untuk kebaikan kita di dunia dan di akhirat kelak. Pesanan ini juga turut untuk diri aku sendiri, kerana aku inipun kadangkala leka dan alpa.




Hidup di dunia ini ibarat drama dan hanyalah sementara. Kitalah pelakonnya. Kita yang mencorak skrip dan jalan ceritanya. Moga kita dapat melakonkan aksi-aksi yang baik-baik sahaja dan kearah keredhaan-Nya. Buat apalah kita mahu bermusuh, mencari gaduh, menjadi kebencian orang lain sedangkan kita sendiri tahu kita hidup hanya sementara dan boleh mati bila-bila. Kita bukannya kebal.

Andai kata malam ini kita tidur, sedar-sedar sahaja kita berada di dalam tanah hanya dibaluti kain kapan barulah kita sedar yang kita sudah kembali kepada-Nya dan segala nikmat dunia sudah tidak bererti selamanya, hanya amal ibadat menemani kita.

(Ya Allah, lanjutkanlah usiaku walaupun ku tahu ajal mautku telah Kau tetapkan)

POLIS, ASKAR DAN BOMBA

Sekali teringat pula pada zaman persekolahan dulu. Semasa di sekolah rendah, pastinya tiap-tiap tahun kita akan menulis cita-cita kita di dalam suatu buku rekod di mana ianya perlu diisi sebanyak 3 cita-cita.

Dulu tak tahu apa-apa, cuma letakkan 3 cita-cita utama iaitu Polis, Askar dan Bomba. Itulah yang aku tulis setiap tahun. Ada pernah satu kali tu, aku ada menulis cita-cita aku untuk bekerja kilang. Iskhh... Apalah bengapnya aku masa tu, sehingga aku digelakkan oleh rakan aku. Bukan apa, aku ni dilahirkan bukanlah dari keluarga yang sangat berjaya dan berada, jadi aku kurang sensitif atau ambil berat terhadap cita-cita aku. Cerita pasal aku tulis cita-cita aku untuk bekerja kilang merupakan perkara yang aku tak boleh lupakan sehingga kini.




Dalam hujung-hujung tahun ke darjah enam, aku dah mula ada kesedaran, mulalah membuat cita-cita baru iaitu arkitek. Untuk jadi arkitek ni kena pandai melukis dan seni orangnya, tapi aku, minat tu ada tapi melukis dan seni tu tak pandai pula.

Lepas tamat UiTM aku dah mula mencari kerja. Tak tau nak kerja apa. Otak masih buntu. Ada juga cita-cita nak jadi guru, tapi banyak kali ambil exam, tak lepas-lepas. Sebelum ni ada juga menjadi guru sandaran, pernah mengajar di 2 buah sekolah. Ingat lagi masa tu, gaji aku sebanyak RM50 ++ sehari. Mak bapak aku pula mengharap aku jadi guru sepertimana Abang Long aku, tapi nak buat camne, jodoh aku sebagai guru tidak kesampaian.

Lepas tu macam-macam kerja jugalah aku buat, dari kedai Sushi King, Seven Eleven, kerja kilang, kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah sekarang sudah 3 tahun lebih aku bekerja di muzium. Syukurlah.. Rezeki memang ketentuan Allah, kita hanya mampu merancang, akhirnya juga Allah yang menentukan.

Jadinya pesanan aku pada graduan-graduan universiti yang mengganggur di luar sana, jangan mudah putus asa. Terus kuatkan semangat untuk mencari kerja dan terus mencuba apa-apa kerja walaupun ianya bukanlah apa yang kita harapkan. Timbalah pengalaman walaupun sedikit upah yang diberikan. Insyaallah, ada rezeki dikemudian hari. Bersabarlah... Tapi usaha tetap perlu ada.

FILEM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Kerajaan Kedah Tua merupakan salah satu kerajaan lama selain Empayar Melaka yang telah wujud sejak sekian lama. Ini dapat dilihat dari wujudnya sumber bertulis iaitu Hikayat Merong Mahawangsa yang mencatatkan sejarah Kerajaan Kedah Tua. Jika Melaka terkenal dengan Sejarah Melayunya atau dikenali sebagai Sulalatus Salatin maka Hikayat Merong Mahawangsa adalah pula adalah gambaran dan penceritaan mengenai Kedah Tua.


Apa yang mahu aku kongsikan di sini ialah tentang filem Hikayat Merong Mahawangsa oleh Kru Studios yang bakal ditayangkan pada 10 Mac 2011 ini. Amat jarang sekali pengeluar filem negara kita membuat filem epik atau sejarah seperti ini. Aku sebagai rakyat Malaysia amat berbangga dengan inisiatif yang dibuat oleh Kru Studios yang sanggup memikul tanggungjawab membuat filem sepik seperti ini.

Jika dahulu Seniman Agung, P. Ramlee telah membuat filem Hang Tuah, cerita sejarah Bukit Kepong pula diarahkan oleh Datuk Jins Shamsuddin dan filem seperti Puteri Gunung Ledang, kini giliran Kru Studios pula membuat filem berdasarkan sejarah iaitu Hikayat Merong Mahawangsa. Bagi pengarah-pengarah lain diluar sana, diharap dapat meniru atau mengambil pendekatan yang sama dalam membuat filem.

Pada pendapat aku, membuat filem berdasarkan epik, sejarah ataupun novel adalah baik juga diambil kira. Kalau kita lihat di Hollywood, terdapat banyak juga filem mereka adalah berdasarkan novel.

Lepas ini aku berharap agar Kru Studios atau mana-mana produksi mencuba pula membuat cerita berdasarkan teks Sulalatus Salatin. Memang terlalu banyak cerita dalam teks tersebut, tapi cubalah ambil kisah atau cerita-cerita tertentu untuk difilemkan. Mungkian boleh diambil kisah Putera dari Bukit Si Guntang, Wa'ad Demang Lebar Daun, Sultan Mangkat Dijulang dan sebagainya.




Sebenarnya, filem akan menjadi laris sekiranya berdasarkan teks ataupun novel kerana si pembaca pastinya akan lebih teruja untuk menonton cerita sepertimana yang pernah dibaca.

Aku yang 3 tahun tak menonton wayang inipun teramat teruja untuk menonton filem Hikayat Merong Mahawangsa ini. Aku pasti akan menontonnya nanti. :)