Monday, January 10, 2011

ARTIS BERKELAKUAN LUCAH, APA TINDAKAN PIHAK BERKUASA?

Artis adalah suatu ikon yang disanjung oleh peminat. Artis seharusnya seseorang yang "bersih" dan boleh dijadikan contoh. Tetapi pada zaman sekarang yang serba moden ini, ada sebilangan artis menggunakan kemudahan teknologi untuk menayangkan aksi lucah masing-masing samaada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Namun, apakah tindakan pihak berkuasa?

Kalau di Indonesia, penyanyi kumpulan Peterpan, Ariel telah menghadapi tuduhan melakukan aksi ranjang dan sedang dipenjarakan, maka apa bezanya terhadap artis Malaysia yang melakukan aksi yang serupa, samaada melalui foto mahupun video.





Adakah artis Malaysia ini kebal dengan undang-undang? Atau tiada bentuk perundangan yang boleh menarik mereka ke muka pengadilan? Di sini pihak berkuasa perlu lebih adil dalam melaksanakan tugas. Memang jelas lagi bersuluh seseorang artis melakukan kesalahan berbentuk "seksual" yang turut tersebar di laman-laman web, namun mengapa mereka dilepaskan begitu sahaja. Bukankah bukti sudah terang lagi nyata?

Sekiranya tiada nas undang-undang yang boleh mengheret mereka yang bersalah ini ke muka pengadilan, apa kata digubal satu undang-undang bagi membolehkan mereka diadili dengan sewajarnya. Bukan untuk menganiaya mereka, tetapi sekadar ingin mencegah agar perbuatan terkutuk seperti ini tidak terus berleluasa dan menjadi ikutan kepada generasi ke generasi. Dan untuk memastikan setiap kesalahan perlu dihukum, samaada sengaja mahupun tidak sengaja, ia perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dan bukannya terlepas begitu sahaja.

Berkenaan tersebarnya clip-clip video seks bangsa Melayu yang turut tersebar di laman-laman web, apakah tindakan pihak berkuasa? Takkan hanya sekadar memadamkan laman web tersebut, tetapi si pelaku tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Harapan aku dan mungkin kebanyakan masyarakat tidak mahu aksi-aksi kelucahan ini terus berleluasa tanpa apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa. Semoga pihak berkuasa lebih prihatin dan terus bertindak untuk memastikan penyebaran video lucah dan gambar lucah di internet dapat dibasmi dan diambil tindakan kehakiman demi untuk menjaga tatasusila dan menjaga agama kita.

JPJ PERKENALKAN SISTEM BORANG ADUAN KEPADA PENUMPANG BAS

Kemalangan-kemalangan maut yang melibatkan bas yang kerap berlaku baru-baru ini telah membuatkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan satu kaedah di mana setiap penumpang bas dikehendaki mengisikan borang aduan bagi memastikan setiap perjalanan dengan menggunakan bas dalam keadaan selamat.

Disini aku ingin menyokong tindakan pihak JPJ yang melaksanakan tindakan seperti ini. Namun setiap kaedah yang diperkenalkan semestinya ada baik dan buruknya. Jadinya, dalam memperkenalkan sistem borang aduan ini, pihak JPJ seharusnya melaksanakan ia dengan bersungguh-sungguh dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.





Antara kebaikan yang boleh diperolehi dalam sistem ini semestinya dapat membantu pihak berkuasa mengenalpasti pemandu-pemandu yang memandu secara merbahaya, dapat meningkat mutu keselamatan penumpang dan sebagainya. Dengan ini kemalangan melibatkan bas dapat dikurangkan atau terus dapat diatasi.

Keburukannya pula ialah berkemungkinan penumpang tidak atau gagal memberikan aduan yang sepatutnya atau sekadar menipu maklumat yang diberikan. Yang akan teraniaya ialah pemandu dan syarikat bas terbabit. Mungkin juga kaedah ini sendiri tidak dapat kerjasama daripada setiap penumpang sama ada mereka malas untuk menulis atau sengaja tidak memberikan kerjasama.

Setiap kaedah atau pelaksanaan sesuatu sistem ada pro dan kontranya. Oleh itu, pihak yang berkaitan adalah bertanggungjawab untuk memastikan setiap kaedah dilaksanakan dengan baik dan sempurna tanpa gagal bagi memastikan objektif pelaksanaan dicapai dengan jayanya.

TUKARKAN MASALAH KEPADA SESUATU YANG POSITIF

Semua orang ada masalah. Masalah merupakan sesuatu yang perlu dihindari, kerana masalah itu boleh membawa kepada stress (tekanan), punca kemarahan, emosi dan akan membawa kepada penyakit dalaman seperti sakit jantung, hati dan sebagainya.

Oleh itu, kita kenalah pandai mengubah sesuatu masalah kepada sesuatu yang positif. Di mana ia akan membuatkan kita tenang dan sentiasa bersemangat.

Dalam pemerhatian peribadi aku, bolehlah kiranya kalau kita tukarkan masalah berikut kepada sesuatu yang positif:

Masalah kewangan
- Cuba berjimat cermat. Jangan menambahkan hutang dan merancang kewangan.

Masalah kesesakan jalan
- Cuba mendekati keluarga dengan berbual mesra dengan isteri dan anak ketika didalam kereta.





Masalah kerja
- Mendapatkan tunjuk nasihat daripada mereka yang pakar dan membuat kerja dengan tertib dan teratur mengikut bolehan diri sendiri.

Masalah keluarga
- Cuba tenangkan fikiran dan kenang kembali detik dan saat bahagia bersama.

Masalah emosi marah
- Cuba tarik nafas dalam-dalam dan kerap beristighfar.

Masalah belajar
- Cuba duduk dan dengar ajaran guru / pensyarah dengan tekun, rasakan keseronokan belajar dan tanamkan semangat ingin berjaya.

Masalah dengan ibu bapa
- Cuba kenangkan kembali bagaimana susah payahnya ibu bapa membesarkan kita dan kerap membayangkan wajah ibu bapa.

Memang terdapat banyak masalah, tetapi hanya ini saja yang dapat aku gariskan melalui pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan sebagainya. Semoga kita sama-sama dapat mengatasi masalah dan membawa masalah itu kepada sesuatu yang lebih baik.