Dewasa ini negara kita Malaysia kerap dihina oleh negara jiran, Indonesia dengan pelbagai provokasi yang disebabkan aspek kebudayaan, kesenian malahan dalam bidang sukan.
Sudah pedih telinga mendengar, membaca dan mata memandang perihal penghinaan rakyat Indonesia ke atas Malaysia dengan perkataan seperti "Malingsia", "Malaysial", "Ganyang Malaysia" serta aksi-aksi rakyat Indonesia menghina lagu Negaraku dan membakar Jalur Gemilang. Apakah tindakan kita?
Adakah kedutaan kita sudah menghantar surat bantahan kepada negara Indonesia terhadap segala penghinaan yang dimainkan ini? Sampai bila kita mahu melihat kita dihina dengan sehina-hinanya? Jalur Gemilang dan lagu Negaraku merupakan lambang kedaulatan negara kita, maruah bangsa Malaysia, tetapi mengapa kita kerap berlembut dan mendiamkan diri apabila kita dihina sedemikian rupa?
Rangkaian stesyen televisyen negara kita juga seakan buta. Baik stesyen kerajaan mahupun swasta yang tetap memainkan drama-drama mahupun filem dari negara Indonesia. Kita hanya pandai "membaguskan" drama-drama dan filem dari Indonesia namun sebaliknya mereka menghina Malaysia dengan pelbagai cara.
Memang tidak dinafikan bahawa bukan semua rakyat Indonesia yang bersikap menghina Malaysia, tetapi sekiranya perlakuan seperti ini tidak ditangani dengan sempurna, ia akan merebak ke segenap rakyat Indonesia sehingga mendatangkan persepsi buruk terhadap Malaysia.
Aku bukannya anti Indonesia, tetapi aku tak suka melihat Indonesia menghina Malaysia sewenang-wenangnya tanpa ada apa-apa tindakan daripada kerajaan Malaysia. Diharap kerajaan kita dapat menyelesaikan isu-isu ini dengan bertindak dengan bijak seperti menarik rambut dalam tepung agar rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.