Monday, October 4, 2010

TELITI APA YANG DIBELI

Pada masa kini pelbagai lambakan barang-barang makanan yang terdapat di kedai-kedai dan pasaraya-pasaraya di Malaysia. Tak kiralah dari barangan keperluan dapur, makanan segera mahupun makanan yang disebut sebagai "jajan". Adakah kita pasti bahawa semua makanan ini adalah Halal?


Logo Halal pula terdapat banyak versi. Ada versi Malaysia, versi negeri-negeri di Malaysia dan juga versi negara pengeluar atau sekadar yang hanya menulis perkataan Halal sahaja. Yang mana satu versi harus kita ikuti?


Oleh yang demikian, kita seharusnya lebih teliti tentang hal ini kerana setiap makanan yang kita makan akan menjadi darah daging dalam tubuh kita. Bagi orang Islam, sesuatu makanan yang kita makan bukan sahaja perlu Halal tetapi perlulah terdiri dari makanan yang baik juga. Kerana terdapat ayat-ayat di dalam Al-Quran, apabila ia menjelaskan tentang aspek pemakanan ia akan menyebut perkataan HALALAN TOYIBAN yang bermaksud Halal lagi baik.


Dalam aspek memberi pertolongan pada orang susah atau memberi hadiah "hamper" barang makan kepada para pemenang juga harus diteliti. Berilah barang yang disahkan Halal untuk diberikan kepada orang lain. Perkara ini saya sendiri pernah lalui di mana saya menerima "hamper" barangan makanan semasa menyertai suatu pertandingan. Semasa membuka "hamper" tersebut saya teliti setiap makanan satu persatu, terkejut juga saya kerana ada dua bungkusan makanan ringan langsung tidak mempunyai logo Halal, lalu saya terus membuangnya dalam tong sampah. Di sini menjadi pengajaran kepada setiap penganjur bagi memastikan barang makanan yang diberikan hendaklah dipastikan Halal terlebih dahulu dan bukan sewenang-wenangnya memberi makanan yang tidak diketahui Halal atau Haram.


Kesimpulannya, sebagai pengguna Islam, kita seharusnya menjadi seorang yang lebih teliti tentang apa yang kita makan. Telitilah logo Halalnya, telitilah isi kandungannya dan ramuan sesuatu bahan. Sekiranya ia meragukan, usahlah di beli. Kita adalah pengguna Islam dan wajib membeli hanya yang Halal.



LEBIH BAIK BODOH DARI PANDAI

Ramai orang suka jadi pandai dari bodoh. Tapi adakah hanya menjadi pandai seseorang itu akan dikenali, dikasihi atau dihormati? Ataupun menjadi bodoh itu seseorang akan tidak dikenali, dibenci atau dihina?


Pandai dari aspek pelajaran, pengurusan, teknikal dan lain-lain perkara yang baik sememangnya harus diberi perhatian. Namun ada juga kepandaian yang tidak diperlukan. Antara kepandaian yang tidak seharusnya ada pada diri seseorang ialah : -


1. Pandai berbohong / menipu

2. Pandai mencuri / merompak / menyamun

3. Pandai mengata / menfitnah / mengumpat

4. Pandai membunuh

5. Pandai merogol / memperkosa / meliwat

6. Pandai merasuah / mengambil rasuah

7. Pandai yang lain-lain yang tidak sepatutnya.


Alangkah aman dan sentosanya dunia kalau seseorang : -


1. Bodoh berbohong / menipu

2. Bodoh mencuri / merompak / menyamun

3. Bodoh mengata / menfitnah / mengumpat

4. Bodoh membunuh

5. Bodol merogol / memperkosa / meliwat

6. Bodoh mengambil rasuah / menerima rasuah

7. Bodoh yang lain-lain yang sepatutnya.


Tetapi dalam konteks keselamatan seperti diamalkan oleh pihak polis atau tentera, kepandaian kepada perkara-perkara yang bodoh adalah diperlukan untuk mendapatkan maklumat dan sebagainya. Ada kalanya kepandaian dalam perkara yang bodoh ini sangat diperlukan dalam dunia penyiasatan, propaganda dan sebagainya.


Persoalannya sekarang adakah kita hendak menjadi pandai, bodoh, memandai-mandai, atau kebodoh-bodohan?



SAYANGI MAT REMPIT PART 2

Baru-baru ini aku ada mengeposkan entry berkenaan Mat Rempit yang basah ketika hujan. Hari ini aku mahu menceritakan pula perihal Mat Rempit yang bersikap Kamikaze. Apa yang Kamikazenya? Yang Kamikazenya ialah aksi-aksi Mat Rempit di jalanan yang tidak sayangkan nyawa mereka.


Nak diceritakan, satu malam aku hendak pergi bermain futsal, dalam perjalanan dan sampai ke suatu simpang, dengan tak semena ada dua biji motorsikal terus keluar tanpa mempedulikan aku yang begitu hampir dengan mereka. Terperanjatlah juga aku masa tu. Itu tak kisah lagi, sebuah motorsikal yang ditunggang Mat Rempit tu terus melakukan aksi wiley sambil membawa penumpang di belakangnya. Peh, berani sangat mereka ni. Aku dengan rasa hormatnya memperlahankan kereta dan memerhati saja Mat Rempit tu wiley beberapa kali.


Aku perlahankan kereta sebenarnya bukan kerana hormatkan dia, tapi aku sayangkan nyawa dia. Seandainya dia terjatuh, pastinya aku akan gelek dia di tengah jalan. Aduhai.. Wahai Mat Rempit sayangilah nyawa anda. Kami semua sayangkan anda, anda masih muda, perjalanan anda masih jauh.


Kalau nak melakukan aksi-aksi lagak ngeri macam itu, seharusnya Mat-Mat Rempit ini melakukan dengan cara profesional, buatlah di Fun Fair ke, di Sarkis ke, di suatu karnival ke, barulah orang lain kagum. Duit pun dapat. Dapat jadi terkenal. Ini tak, buat aksi di jalanan. Kalau jatuh, mati. Orang akan gelar mati katak. Mak bapa juga yang susah.


Cukuplah wahai Mat Rempit. Cukuplah dengan hanya itu sahaja yang dipaparkan kepada kami, kami tak kagumpun melihat aksi anda di jalanan. Malahan ada yang menyampah melihat anda. Tapi apa-apapun, kami semua sayangkan nyawa anda. Sayangkan keselamatan anda.