“…Supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu, syahdan beroleh faedah ia daripadanya…”
Sebermula, dihikayatkan oleh orang yang empunya hikayat, adapun negeri Palembang itu Palembang yang ada sekarang inilah; dahulukala negeri itu terlalu besar, dan akan Raja Pelembang yang bernama Demang Lebar Daun ada beranak seorang perempuan; maka disuruh pinang oleh Sang Sapurba. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau anak patik Tuanku peristeri, nescaya kedal ia; tetapi jika Tuanku mahu berwaadat dengan patik, maka patik persembahkan anak patik ke bawah Duli Yang Dipertuan.
Adapun Demang Lebar pertama punya bahasa Yang Dipertuan dan Patik.
Maka titah Sang Sapurba, ”Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”. maka Sembah Demang Lebar Daun,” Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu Duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh itupun jikalau berlaku pada hukum syarak.”
Maka titah Sang Sapurba, ”akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba”.
Maka sembah Demang Lebar Daun, ”Janji yang mana itu, Tuanku?”
Maka titah Sang Sapurba, ”Hendaklah pada akhir kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat sekalipun”.
Maka sembah Demang Lebar Daun, ”Baiklah, Tuanku tetap jikalau anak buah tuanku dahulu yang mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahlah”.
Maka titah Sang Sapurba, ”Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu”.
Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala, pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata jahat. Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Shahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala tiada pernah derhaka dan memalingkan muka pada raja, jikalau jahat pekerti sekalipun satu aniaya.
Petikan: Sejarah Melayu