Thursday, November 29, 2012

BUSUK-BUSUK HARIMAU MALAYA ORANG KITA JUGA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Siapa yang menonton perlawanan bola sepak antara Harimau Malaya dan Laos malam tadi di kaca televisyen pasti akan perasan seorang brader memegang sepanduk (banner) yang bertulis :


Walaupun nadanya nampak seperti gurauan yang sinis, tetapi masih ada kerelevanan dan kebenarannya. 

Kekalahan Harimau Malaya dengan Singapura di perlawanan pertama tempoh hari memberikan tamparan hebat buat skuad Datuk K. Rajagopal. Ramai pengkritik yang profesional dan tidak profesional menyuarakan perasaan ketidakpuasan di atas kekalahan tersebut. Rata-rata ramai yang menyalahkan Datuk K. Rajagopal kerana gagal melatih dan membuat pemilihan pemain yang terbaik.

Bukan sahaja rakyat biasa yang bersuara, akhbar-akhbar tempatan juga menyiarkan perkara yang sama. Masing-masing menyalahkan Datuk K. Rajagopal kerana didakwa kerap menggunakan 'eksperimen' ke atas pemain. 

Harimau Menguap Mengaum
Sumber : Google Image

Nah! Kini pujian melambung tinggi pula dihamburkan setelah Harimau Malaya berjaya menumpaskan Laos dengan jaringan 4 - 1, satu jumlah jaringan yang boleh dianggap besar. Alhamdulillah, Harimau Malaya terus menghidupkan perjuangan untuk ke separuh akhir.

Sebenarnya, kita memang boleh mengkritik, tetapi seeloknya kritik dengan kata-kata membina bukannya dengan kata-kata kesat, cacian dan makian. Yang kita duk mencaci maki itu ialah manusia juga seperti kita, tidak lari dalam melakukan kesilapan. 

Kasihan saya lihat wajah-wajah mereka yang bermain, nampak mereka telah berusaha dengan keras, namun apabila kalah, itu pun sebenarnya bukan yang mereka mahukan. Janganlah dicaci maki mereka lagi. Mungkin kita tidak pernah dicaci dan dimaki, oleh itu kita tidak mengetahui perasaannya. Justeru, silalah jaga sensitiviti orang lain. 

Kalau begini standard bola sepak negara kita, kita terima sahajalah, kita tidak boleh samakan bola sepak negara kita seperti Brazil, Italy, Portugal, Sepanyol atau mana-mana negara lain yang hebat. Memang agak jauh kita terkebelakang. Bukan kita sahaja, negara-negara di Asia Tenggara sendiri tidak mampu menyaingi negara-negara tersebut. Namun apa yang penting, kita sudah berusaha sedaya upaya.

Kita kenalah terima adat dalam perlawanan bola sepak, ada menang, ada kalah dan ada seri. Kalau menang, kita bergembiralah, tetapi bila kalah, kita harus terus memberikan sokongan dan dorongan untuk meniupkan kembali semangat mereka. Sekali lagi saya berpesan, jangan dicaci maki mereka.

Sebenarnya skuad Harimau Malaya sekarang penuh dengan tekanan, tekanan bermain di gelanggang sendiri, tekanan untuk mengekalkan kejuaran Piala Suzuki AFF dan tekanan dengan cacian, makian dan kritikan yang menghentam mereka. Justeru, kita perlu hentikan semua ini, biarlah mereka bermain dengan tenang serta kita mohonlah doa agar mereka akan berjaya mengekalkan kejuaraan. 

Hidup Harimau Malaya!!!

#respect

(Ps : Ingatan pada diri sendiri juga)