Monday, September 27, 2010

BOLA OH BOLA

Sudah lama aku tak menyaksikan perlawanan bola sepak liga Malaysia di televisyen, apatah lagi nak tengok perlawanan pasukan Melaka di stadium. Masa dulu-dulu rajin juga tengok perlawanan bola di stadium, tapi sekarang tidak lagi kerana mutu permainan yang membosankan.


Tapi satu malam, aku ada menonton siaran ulangan Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan di saluran Astro Arena. Wah, menarik juga perlawanan tu. Kedua-dua pasukan saling menyerang, permainan yang laju. Terhibur jugalah menonton perlawanan tu walaupun di akhir perlawanan keputusannya seri 1-1.


Dalam menyaksikan perlawanan tu, walaupun kelihatan menarik tapi banyak aspek yang masih lemah. Antaranya ialah permainan itu sendiri. Pemain Malaysia ni adalah terdiri daripada pemain yang profesional, di mana mata pencarian mereka adalah bermain bola semata-mata. Tetapi mengapa banyak teknik bola sepak yang masih mereka lemah, terutama dari segi hantaran kepada kawan. Aku lihat hantaran bola sama ada dekat mahupun jauh masih lemah. Tidak tepat dan banyak kehilangan bola walaupun bola dalam kawalan dan tiada tekanan dari pihak lawan. Tidak bolehkan mereka bersikap "rileks" seperti aksi pemain Eropah?


Lagi satu apa yang dilihat masih lemah ialah kaedah menahan bola. Aduhai, apalah lemah sangat ni... Takkan tahan bola pun boleh terlepas. Aku selalu perhatikan, kalau pemain tahan bola mesti melantun jauh dari kaki. Kalau kita lihat kaedah menahan bola oleh pemain Eropah, seperti ada magnet di kaki mereka. Bola melekat saja di kaki mereka. Kalau kita mahir menahan bola, barulah kita boleh mengawal bola dengan lebih sempurna. Wahai coach, tolong buat latihan menahan bola selama seminggu. Jangan buat yang lain dulu, tahan bola saja.


Selain daripada aspek permainan bola sepak itu sendiri, aspek pengulasan bola juga masih membosan. Aku pun tak tahulah nak cakap apa, masa tu Haji Zainal Abidin Rauf dan seorang temannya mengulas perlawanan bola tersebut. Haji Zainal tu dikira sebagai otai dalam pengulasan sukan bola sepak ini, tetapi mengapa masih lagi mengeluarkan perkataan-perkataan yang entah apa-apa. Melalut tak tentu pasal. Aku rasa, kalau mereka diam tanpa berkata-katapun lebih baik. Nak gelak pun ada mendengar ulasan mereka berdua. Macam tak profesional.


Padang juga memainkan peranan yang penting dalam permainan bola sepak. Aku tengok, dari dahulu sampai sekarang kualiti padang masih dalam tahap yang memalukan. Rumput yang tidak rata, bola melantun-melantun apabila pemain membuat hantaran leret. Manalah tak susah kawannya nak menahan bola. Padang tokal-takil. Rumput melayang sana sini apabila menyepak bola, nampak sangat rumput yang di tanam tidak berkualiti. Kalau kita tengok padang bola di Eropah, sangat cantik, rumput rata sahaja, bolapun senanglah dikawal. Wahai tokey padang bola, jagalah padang dengan baik. Kalau tidak dijaga, sampai bila-bila kita tidak dapat menonton permainan yang berkualiti.


Dalam menyaksikan perlawanan bola sepak di kaca tv, peranan cameraman adalah sangat penting. Setiap sudut perlu diambil untuk memaparkan setiap aksi. Termasuk membuat close up kepada pemain-pemain bagi memperlihatkan pemain membuat skill, hantaran dan sebagainya. Barulah nampak perlawanan secara langsung yang menarik sepertimana perlawanan di Eropah. Ini tidak, kalau ada perlawanan secara langsung di sesuatu stadium, aku lihat hanya dua atau tiga cameraman sahaja yang merakam perlawanan. Manalah nak dapatkan rakaman bagi sudut-sudut yang menarik. Di Eropah tu, setiap sudut ada sahaja cameraman merakam gambar bagi sesuatu siaran langsung. Cepat betul mereka mengedit rakaman untuk terus disiarkan. Barulah profesional namanya...


Banyak lagi sebenarnya aku mahu komen tentang mutu permainan bola sepak di Malaysia ini dari segi tektikal dan teknikalnya, tapi cukuplah sekadar yang di atas sahaja yang aku komen. Komen lebih-lebih nanti ada yang terasa pula. Apa-apapun, aku komen ni bukanlah untuk menjatuhkan, tapi untuk membina. Harap siapa yang terlibat dapat segera sedar. Majulah sukan untuk Malaysia.