Tuesday, July 16, 2024

Bendera/ Panji Kesultanan Melayu Melaka dan Riau Ketika Menentang Belanda?

Kajian ini oleh penyelidik dari Belanda, Hans van de Bunte MA

Pada 18 Jun 1784, satu serangan Belanda telah dilaksanakan di bawah pimpinan J.P. Van Braam. Beberapa ratus tentera dan angkatan laut dari armada Belanda mendarat di Teluk Ketapang, berhampiran kota Melaka untuk pertempuran terakhir melawan kebangkitan yang dipimpin oleh Kesultanan Melaka dan Riau yang telah menguasai pelabuhan Melaka. 

Selepas pertempuran yang dimenangi oleh pihak Belanda, bendera-bendera dan panji-panji diambil dari benteng pertahanan dan dibawa ke atas kapal. Ketika ini, 15 daripada bendera tersebut dikenal pasti sebagai sebahagian daripada koleksi yang diambil pada hari tersebut berhampiran Melaka iaitu hampir 240 tahun yang lalu. Koleksi bendera ini disimpan di National Military Museum di Belanda.

Dalam jurnal J.P. Van Braam yang disimpan di Arkib Nasional Belanda, yang ditulis tangan oleh beliau sendiri dalam bahasa Belanda lama pada tahun 1784, teks tersebut turut menggambarkan tentang 21 bendera yang diambil selepas pertempuran di Teluk Ketapang, berhampiran Melaka. 

Di bawah ini merupakan antara teks tulisan tangan yang ditulis sendiri oleh Komander J.P. Braam dalam diarinya pada 18 Jun 1784:

"Semasa musuh mengundurkan diri dengan tergesa-gesa, mereka meninggalkan semua bendera dan panji di kubu pertahanan. Tentera kami membawa kepada saya 21 bendera, termasuk juga panji peribadi Sultan."

****

Namun, kajian ini masih boleh dipertikaikan. Ini adalah kerana, pada tahun 1784, Kesultanan Melayu Melaka tidak lagi wujud. Peperangan di Teluk Ketapang, Melaka ini lebih kepada peperangan antara tentera Bugis dari Riau diketuai oleh Raja Haji Fisabilillah dengan pihak Belanda yang akhirnya kemenangan di pihak Belanda dan Raja Haji telah meninggal dunia dan dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang. 

Nampaknya, penyelidik dari Belanda pun tidak boleh diharapkan. Walaupun bahan dalam simpanan mereka, tetapi maklumat yang diberikan tidak selari dengan pentarikhan yang dikatakan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang telah hilang sejak abad ke-16 apabila Portugis menyerang Melaka. Portugis pula memerintah Melaka selama 130 tahun dari tahun 1511 hingga ke tahun 1641, masakan zaman pemerintahan Belanda di Melaka masih wujud Kesultanan Melayu Melaka.