Monday, July 15, 2024

Ada Peluang Menyambung Pelajaran, Belajarlah

Selepas habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku memulakan perjalanan hidup yang penuh dengan pengalaman berharga. Aku bekerja di beberapa buah kilang untuk mencari rezeki dan membantu keluarga. Antara kilang yang pernah aku bekerja ialah Huolun di Tangga Batu, sebuah kilang tekstil di mana aku menjadi seorang operator pengeluaran. Pengalaman di sini mengajar aku tentang kesabaran dan ketelitian dalam bekerja.

Selain itu, aku juga bekerja di kilang Likom di Batu Berendam yang menghasilkan komponen komputer. Walaupun aku hanya bekerja di sini dalam jangka masa yang singkat, kenangan tetap terpahat dalam ingatan. Masa itu, aku berambut perang dan mak sangat marah kerana mewarnakan rambut. Kenangan dimarahi tak mungkin aku lupakan, masih terngiang-ngiang hingga kini. 

Kemudian, aku bekerja di sebuah kilang kayu di Bukit Rambai. Pada mulanya, aku memohon pekerjaan bersama seorang rakan, namun rakan tersebut tidak lama bertahan dan aku tinggal keseorangan. Di kilang tersebut, aku bekerja bersama seorang pakcik di bahagian yang tidak melibatkan kawasan mesin, terletak di sebuah kawasan lapang di sebelah kilang. Tugasan aku ialah mencabut paku dan kulit kayu yang baru diturunkan dari lori balak, satu pekerjaan yang memerlukan kekuatan fizikal.

Gambar sekadar hiasan 😊

Kayu balak yang perlu aku kerjakan bukanlah kecil, saiznya 3 atau 4 pemeluk. Semua pekerjaan dilakukan secara manual. Aku perlu memerhatikan paku-paku atau besi-besi penanda yang terlekat di kayu balak dan mencabutnya menggunakan crowbar. Kemudian, aku perlu menggolekkan kayu balak untuk memeriksa rapi setiap inci agar tiada paku atau besi yang terlekat supaya tidak merosakkan mata mesin pemotong semasa proses pemotongan dibuat oleh bahagian lain.
 
Mengopek kulit kayu pula ada cabarannya tersendiri. Tidak semua kayu balak mempunyai kulit kayu, tetapi bagi yang ada, aku perlu mengopeknya. Ada kayu yang mudah dikopek, ada yang sukar. Malah, terdapat sejenis kayu yang kulitnya menyebabkan kegatalan pada badan. Untuk mengelakkan kegatalan, aku terpaksa melumurkan muka dan tangan dengan tepung hingga putih melepak.

Betapa sukarnya masa dahulu, kerja berat yang tidak sepadan dengan umur aku yang masih muda ketika itu. Balik kerja, aku sering keletihan. Namun, apa boleh buat, aku perlu berdikari untuk kelangsungan hidup kerana aku bukannya berasal dari keluarga yang berada. Pakcik yang bekerja bersama aku sering menasihati agar aku menyambung pelajaran jika ada peluang. Pada ketika itu, aku hanya mahu bekerja dan tidak terfikir untuk belajar lagi.

Apabila keputusan SPM keluar, aku mendapat keputusan yang agak memberangsangkan. Aku sedikit tersentak kerana menyangka aku akan gagal. Rupanya masih ada harapan untuk aku menyambung pelajaran. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke tingkatan 6 untuk mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berhenti bekerja di kilang kayu.

Menulis pengalaman hidup ini membuat aku tersenyum mengingat kenangan lalu. Mungkin di lain masa, aku akan menulis lagi tentang pengalaman hidup yang lain.