Saturday, September 2, 2023

Muzium Negara Sudah 60 Tahun. Tahniah!

1 September 2023 aku berkesempatan ke Muzium Negara. Dihantar mewakili jabatan atas jemputan Jabatan Muzium Malaysia (Malaysia). Kebetulan big bos ke Jakarta, jadi, aku diarahkan untuk mewakilinya ke majlis ini.

Seawal 5.30 pagi aku sudah bangkit dari tidur kerana telah berjanji dengan pemandu jabatan untuk bertolak dari Melaka ke Kuala Lumpur sekitar jam 6.00 pagi. Belum pun azan subuh berkumandang aku telah keluar rumah dan mengerjakan solat Subuh di bilik pemandu di tempat kerja. 

Sebenarnya terdapat dua acara yang perlu aku hadiri. Pada jam 9.00 pagi ialah acara Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Muzium Negara manakala jam 9.00 malam pula acara Malam Apresiasi Media dan Rakan Strategik Muzium Negara. 

Aku tiba di Muzium Negara tepat pada masanya. Tidak terlalu cepat dan tidak lewat. Hadir, ambil tempat duduk dan tetamu kenamaan yang menjadi perasmi iaitu Menteri Perpaduan pun hadir tidak berapa lama selepas itu. Program pun berlalu depan cepat dan lancar. 

Selesai program, masih banyak masa yang perlu diisi bagi menunggu jam 9.00 malam. Apa lagi, aku mengajak pemandu jalan putar-putar Kota Raya Kuala Lumpur. Lalu di Chow Kit, Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman dan banyak lagi. Sambil-sambil melepak di satu, dua kedai makan bagi menghabiskan masa.

Sempat merakamkan mural Allahyarham Sudirman semasa melalui jalan di Chow Kit 

Lepak di kedai mamak pekena roti nan dan ayam tandoori 


Ikutkan, boleh saja menempah bilik hotel, tapi memandangkan ada program lain pada hari esok, jadi aku hanya menghabiskan masa dengan mengelilingi Kuala Lumpur. Aku pun dah lama tak ke Kuala Lumpur. 

Tatkala tengah hari aku pergi bersolat Jumaat di surau IPD Dang Wangi. Parkir agak jauh, kebetulan selepas berjalan menuju ke surau hujan pun turun. Lembab jugalah baju disimbah air hujan. Tiba di surau, ramai jemaah. Terdapat jemaah yang masih menanti untuk menyelitkan diri sebelum solat dimulakan. Aku mendengar khutbah sambil berdiri berdekatan pili mengambil wuduk. 

Apabila bilal mula melaungkan iqamat, maka berduyun-duyun jemaah mula bergerak mengambil kedudukan saf. Aku dapat saf di bahagian luar, tapi terlalu sempit dan rapat. Semasa rukuk kepala akan tersentuh punggung jemaah di hadapan. Semasa duduk pun tidak dapat melakukan dengan sempurna. Habis solat Jumaat aku sambung, jamak takdim. 

Apabila mentari melabuhkan tirai, aku singgah ke Masjid Negara untuk membersihkan diri sambil mengenakan pakaian baharu untuk mengikut tema pemakaian majlis iaitu hitam dan emas. Kemudian aku menunaikan solat Maghrib dan jamak takdim. Seterusnya ke Muzium Negara sekali lagi untuk menghadiri jemputan majlis. 

Hampir tidak ingat bila kali terakhir ke Masjid Negara 


Seperti biasa, majlis dimulakan dengan ucap-ucapan oleh orang-orang kenamaan. Tetamu kenamaan yang merasmikan majlis adalah Timbalan Setiausaha Kementerian Perpaduan. Kenapa Kementerian Perpaduan? Dahulu muzium diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan namun kerajaan terkini meletakkan muzium di bawah Kementerian Perpaduan. 

Setelah habis sesi ucapan, terdapat persembahan artis iaitu Zamani Slam. Zamani telah menyumbangkan empat buah lagu malar segar menjadi penyedap halwa telinga. Ketika nyanyian berlangsung, para tetamu menikmati hidangan yang disediakan. 

Menghampiri ke penghujung majlis, acara penyampaian pula diadakan. Masa ini aku turut dipanggil ke atas pentas bagi menerima sijil dan plak penghargaan sebagai rakan strategik Muzium Negara. 

Mewakili jabatan menerima penghargaan dan plak



Demikianlah sedikit coretan aku sehari menghadiri program di Kuala Lumpur. Di kesempatan ini juga suka aku ingin berkongsi sekilas pandang sejarah Muzium Negara yang kini berusia 60 Tahun.

* * * * *

Idea penubuhan Muzium Negara telah dicetuskan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama. Beliau berpendapat, Tanah Melayu (pada ketika itu) memerlukan sebuah muzium yang beridentiti nasional untuk menterjemahkan kepelbagaian aspek budaya, warisan dan alam semulajadi negara. 

Oleh yang demikian, tapak bangunan Muzium Selangor (1906-1945) yang telah roboh akibat serangan bom Tentera Udara Pihak Berikat pada 10 Mac 1945 telah dipilih sebagai lokasi pembinaan Muzium Negara.

Kerja-kerja pembangunan Muzium Negara telah mula dilaksanakan pada tahun 1959 dan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 1963. Reka bentuk bangunan Muzium Negara ini telah diterjemahkan oleh arkitek yang telah dilantik iaitu Encik Ho Kok Hoe berdasarkan ciri-ciri seni bina istana Raja-raja Melayu. Uniknya pada ketika itu, Muzium Negara merupakan satu-satunya bangunan kerajaan yang beridentitikan seni bina Melayu tradisional. 

Keunikan Muzium Negara tidak hanya terlihat pada seni binanya sahaja, tetapi turut terpapar pada permukaan dinding hadapannya yang dihiasi dengan dua buah mural diperbuat daripada kaca mozek Itali. Mural-mural tersebut yang memaparkan rentetan sejarah dan kraftangan Malaysia ini telah dihasilkan oleh Encik Laitong Cheong yang merupakan antara pelukis terkenal Malaysia.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah menyempurnakan upacara perasmian Muzium Negara pada tanggal 31 Ogos 1963. 

Pada tanggal 11 Ogos 2015, Muzium Negara telah menerima pengiktirafan sebagai bangunan warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Sumber : laman sesawang Jabatan Muzium Malaysia (JMM)