Monday, January 2, 2023

Tempat Jatuh Lagi Dikenang Inikan Pula Tempat Bermain

Di hujung-hujung cuti sekolah ini aku membawa anak-anak bermain-main di pantai. Pantainya tidak jauh dari rumah mak aku. Jika dahulu, terdapat jalan pintas dari rumah mak aku ke pantai, namun jalan tersebut telah dipagar. Dulu hanya perlu berjalan kaki sahaja, namun sekarang perlu pusing agak jauh sedikit untuk ke pantai.

Pergi ke kawasan pantai di situ membuatkan aku kembali mengingati kisah lama. Kisah lama tu bolehlah di baca di entri INI.

Aku pernah tergelincir di hujung jeti masa kecil-kecil dahulu

Jeti lama LLN semakin usang

Pemandangan di hujung jeti lama LLN


Masa kecil dahulu aku suka mencari siput yang terlekat di batu-batu di persisir pantai. Hari ini aku mengembalikan nostalgia lalu dengan kembali mencari siput dan ternyata ia masih boleh diperolehi dengan banyak. Aku mencari siput sendirian tanpa melibatkan anak-anak kerana kawasannya berbatu dan agak merbahaya.

Balik ke rumah aku segera membersihkan siput-siput tersebut agar hilang segala kotoran. Setelah dipastikan bersih, aku merebusnya ke dalam periuk berisi air dan aku letakkan beberapa cubit garam. 

Pelbagai bentuk siput dan ia boleh dimakan


Masaknya pun tidak memerlukan masa yang lama. Dalam 10 - 15 minit sudah boleh ditutup api dan ditoskan untuk mengeluarkan air. Tunggu siput-siput sejuk sedikit sudah boleh dimakan. Cara makannya ialah dengan mencungkil isi siput dengan menggunakan jarum atau spin. Mudah saja. Aku menikmati siput ini dengan dua orang anak aku, dua orang lagi tidak berminat nak mencuba.

Anak dara aku menunjukkan cara mencungkil isi siput menggunakan jarum


Kalian pernah merasai siput ini? Cuba komen. 😀