Saturday, September 4, 2021

Teh Tarik Bungkus Ikat Tepi

 


Pada saat entri ini ditulis, negeri Melaka masih lagi di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1. Aku bekerja mengikut jadual dan penggiliran. Ada kalanya seminggu sekali, ada juga seminggu dua kali. Namun sekiranya ada banyak kerja, aku akan tetap ke pejabat tanpa ikut jadual.

Kedai-kedai pun masih banyak yang belum buka. Kedai yang biasa aku sarapan dan makan tengah hari juga belum memulakan kembali perniagaan. Agak sukar juga. Ditambah lagi masih banyak kedai yang tidak membenarkan pelanggan makan di kedai. Hanya boleh bungkus sahaja.

Berpusing aku mencari kedai untuk membeli sarapan. Masih tak buka lagi. Ada juga yang baru nak buka kedai, barangkali aku datang terlalu awal. Peniaga baru nak susun kerusi, tapi jam dah menunjukkan 7.30 pagi. Akhirnya terjumpa sebuah kedai mamak. Difikirkan mahu makan di kedai sahaja, namun kecewa. Hanya bungkus dibenarkan.

Jadi aku mengambil keputusan untuk membungkus 2 keping roti canai kosong dengan kuah kari. Airnya pula pada awal aku memesan teh O ais. Tapi apabila ada seorang pelanggan yang turut hadir memesan teh tarik, jadi aku bertukar fikiran untuk sama memesan teh tarik. Dah lama tak merasa teh tarik mamak. Rindu.

Dah siap dibungkus aku pun segera kembali ke pejabat. Air teh tarik tu mula-mula ia diikat mati. Apabila mula nak makan roti canai, aku ikatlah tepi, mudah sedikit nak diminum. Tiada pula tempat nak gantung, aku gantunglah di kabinet fail di yang terletak di belakang meja aku. 

Nak dijadikan cerita, roti canai yang dicicah dengan kuah kari tu memang sedap. Kena pula dengan teh tarik, lagi bertambah sedap. Pasal inilah agaknya kenapa ramai orang memilih untuk makan di kedai atau restoran mamak. Mungkin ada beberapa rahsianya yang kita tidak tahu.