Wednesday, August 19, 2015

SILA LIHAT TEMPAT DUDUK BELAKANG KERETA ANDA SETELAH ANDA PARKIR!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Pernah tak kita membaca surat khabar atau terlihat berita di kaca televisyen tentang kanak-kanak mati lemas di dalam kenderaan kerana ibu atau bapanya terlupa bahawa anaknya di dalam kenderaan tersebut? Pasti pernah dengar kan..

Penyakit 'lupa' ni memang sukar untuk diatasi. Akibat dari lupa ini, anak yang menjadi mangsa. 

Memang tidak dinafikan, kadang-kadang kita sendiri terlupa bahawa kita sedang membawa anak-anak di dalam kereta kita. Aku katakan ini kerana aku sendiri yang telah melaluinya. 

Pernah sekali, seperti biasa, setiap pagi aku akan hantar anak ke tempat penjaganya. Pada masa tu, aku rasa macam sedang memandu sendirian saja. Padahal masa tu, anak aku sedang tidur lena di tempat duduk belakang kereta. Tiba-tiba aku menoleh ke belakang dan lihat anak aku sedang tidur, lalu aku beristighfar beberapa kali. "astaghfirullahalazim..., anak aku ada di belakang rupanya.."

Perhatikan, apa yang ada di belakang kereta anda! Gambar sekadar hiasan

Berlaku lagi kejadian seperti itu pagi tadi semasa aku nak hantar anak ke tempat penjaganya. Entah apa yang aku fikirkan, aku tak masuk ke simpang lampu isyarat rumah penjaga anak aku. Aku terus sahaja. Dalam beberapa ketika, baru aku terperasan yang aku tak masuk ke simpang tersebut. Aku tersedar dan beristighfar beberapa kali lalu terus pusing kembali ke arah rumah penjaga anak aku. Kalaulah tak perasan, sampai ke pejabatlah jawabnya aku membawa anak aku yang sedang tidur lena tu.

Jadi, pesanan aku di sini, silalah perhati-perhatikan anak yang berada di belakang kereta anda. Pastikan juga semasa parkir kereta, anda perhatikan apa yang ada di tempat duduk belakang kereta anda. Dikhuatiri nanti, anda tidak perasan bahawa anak anda sedang tidur lalu anda bakal meninggalkan dia sendirian di dalam kereta. 

Sama-samalah kita mengingat-ingati antara satu sama lain. Semoga kita dihindari dari apa-apa malang yang sememangnya tidak berbau.