Sunday, March 18, 2012

BUKAN SEKADAR MUZIUM





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekiranya kita ditanyakan apa itu muzium pasti yang bermain di fikiran kita ialah patung, barang lama dan membosankan. Sampai bila? Sampai bila "orang kita" terus berfikiran sebegini. Kita seharusnya sudah mula mengetahui bahawa fungsi muzium bukanlah sekadar mempamerkan barang-barang lama sahaja.

Secara ringkasnya, definisi muzium ialah; sebuah organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan yang berfungsi untuk mengumpul, memulihara, menyelidik, mendokumentasi dan mempamer perihal bukti material kewujudan manusia dan persekitarannya bagi tujuan pendidikan.

Apa yang saya mahu tekankan di sini ialah PENDIDIKAN. Kita perlu menanamkan dalam hati masing-masing bahawa muzium itu adalah satu pusat pendidikan. Iaitu pendidikan tidak formal. Sekiranya di sekolah, para pelajar mendapat pelajaran formal dengan diajar oleh guru-guru melalui silibus pendidikan, dan di muzium juga pelajar boleh menimba ilmu dengan cara melihat secara realiti artifak dan bahan pameran yang dipamerkan di dalam muzium.

Tidak hanya terhad kepada melihat artifak dan bahan pameran yang dipamerkan, para pelajar juga boleh membaca setiap keterangan yang disediakan bagi mendapatkan info yang lebih mendalam. Di muzium, kita bukan hanya dapat mengetahui sesuatu bahan pameran, malahan penceritaan dan sejarahnya juga kita akan ketahui.

Bagi rombongan sekolah-sekolah, IPT dan sebagainya misalnya, jika hendak mengetahui lebih lanjut dan menjadikan lawatan ke muzium lebih bermakna, bolehlah memohon disediakan juru pandu ke dalam muzium. Juru pandu ini boleh terdiri daripada juru pandu persendirian (swasta) ataupun juru pandu dalaman iaitu terdiri daripada kakitangan muzium itu sendiri. Bagi lawatan tetamu VVIP biasanya memang wajib disediakan juru pandu sama ada dari luar atau kakitangan muzium sendiri. Ini bagi memberikan penjelasan dengan lebih jelas dan tepat kepada setiap tetamu mahupun pengunjung.

Kebiasaan juru pandu ini akan membawa lawatan dengan memberikan penjelasan bermula dari sejarah bangunan, artifak dan bahan pameran yang dipamerkan, sejarah dan lain-lain penceritaan mengikut setiap ruang pameran yang ada. Setiap lawatan berpandu ini mengambil masa dalam 1 jam hingga ke 2 jam bergantung kepada pemintaan pelawat. Ada kalanya pelawat tidak mempunyai banyak masa, jadi lawatan akan disingkatkan kepada ruang-ruang pameran yang tertentu sahaja.

Sebagai organisasi yang berfungsi untuk menyampaikan pendidikan tidak formal, muzium dilihat terus relevan. Kini situasi kian berubah, sekiranya dahulu muzium lebih dikenali sebagai "sekolah gambar", kini ia bukan setakat mempamerkan gambar. Kita dapat memperoleh pelbagai ilmu di dalam muzium baik dari aspek seni bina, sejarah, artifak, kesenian dan warisan, peragaan pameran dan banyak lagi.

Akhir sekali, marilah beramai-ramai kunjungi muzium kerana di muzium terdapat banyak ilmu yang boleh kita perolehi.


Semasa membawa lawatan berpandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Thailand

Pelajar IPT dibawa lawatan secara berpandu di Muzium Sejarah, Melaka


Ketika membawa Sultan Solo, Indonesia melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka


Salah satu contoh lawatan dari delegasi luar, dari Oman.


* Gambar-gambar di atas menunjukan kesungguhan pihak muzium untuk menyampaikan ilmu dan pendidikan secara tidak formal kepada tetamu dan pelawat yang hadir melawat ke muzium. Oleh itu, ingat! Muzium juga merupakan pusat pendidikan dan penyelidikan yang boleh memberikan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada pelawatnya.