Monday, December 12, 2011

DEKAT PERLAHAN, JAUH LAJU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kesesakan lalu lintas. Ianya boleh berlaku secara berterusan dan ada juga berlaku secara berkala. Di Kuala Lumpur misalnya, memang pada jalan-jalan tertentu pasti akan sesak tak kira masa. Ada juga sesak pada masa-masa tertentu sahaja.

Namun begitu, di Melaka lain pula ceritanya. Kesesakan berlaku terutama di Bandar Hilir akan terjadi pada waktu hujung minggu sahaja. Tetapi, ia akan menjadi kesesakan berganda apabila tiba musim cuti sekolah. Saya yang bekerja di tengah-tengah Bandar Hilir ini amat merasainya kerana memang terpaksa. Keluar dari parkir saja akan ketemu kesesakan. Iyalah, pejabat saya di kawasan Stadhuys (rumah merah), mana mahu lari lagi.

Dalam menghadapi situasi ini, untuk mengelakkan ditimpa kesesakkan yang berpanjangan, terpaksalah menggunakan jalan yang agak jauh untuk ke suatu destinasi bagi menggelakkan kesesakkan. Dengan menggunakan jalan yang jauh ini, kenderaan pun bergerak dengan laju tanpa ada kesesakkan.

Lain pula sekiranya kita hendak melalui juga jalan yang dekat. Maka terpaksalah kita bergerak secara perlahan kerana terpaksa menghadapi kesesakkan lalulintas.

Dari sinilah saya perolehi satu frasa yang saya gubah iaitu DEKAT PERLAHAN, JAUH LAJU bagi mengambarkan kesesakkan lalu lintas yang terdapat di Bandar Hilir.

Sebenarnya, kesesakan ini memang sukar dielakkan kerana terlalu banyak kenderaan yang memasuki Bandar Hilir. Namun begitu, ianya boleh dielakkan sedikit sekiranya pengguna mengetahui adanya jalan lain ke Bandar Hilir selain menggunakan jalan di kawasan Stadhuys. Mereka boleh memasuki dari Tengkera menghala Melaka Raya dan juga dari Bukit Katil - Duyong - Melaka Raya. Rasanya kalau masing-masing tidak tertumpu menggunakan satu jalan, nescaya kesesakkan dapat dikurangkan.

Ada kalanya pihak polis trafik akan berjaga-jaga di Jalan Bendahara dan mengalihkan haluan kenderaan ke arah Bukit Cina untuk mengelakkan kesesakkan yang tebih teruk. Bagi mereka yang kurang faham, ikuti saja arahan polis trafik tersebut kerana memang ada jalan yang lain untuk menghala ke tempat ditujui.

Sekarang pula, telah ada beberapa lokasi yang menempatkan papan tanda JALAN ALTERNATIF KE PUSAT BANDAR atau JALAN ALTERNATIF KE BANDAR HILIR. Arahan ini juga boleh dituruti kerana ianya akan menghala ke bandar Hilir.

Saya sebagai warga Melaka mengharapkan siapa yang membaca entri ini mendapat sedikit panduan. Jom melawat ke Melaka... ;)