Wednesday, August 17, 2011

BAGUS KE PELANCONGAN?

Apabila kita membicarakan tentang pelancongan, pasti ia mendatangkan keuntungan pada sesebuah negara. Keuntungan daripada pembelian dan perbelanjaan oleh warga negara asing yang melancong ke negara kita. Hasil ini termasuklah, bayaran hotel, perbelanjaan membeli belah, makan minum dan sebagainya.

Secara kasarnya, ia memang baik. Pelancongan memang baik kerana memberikan pulangan kepada negara. Ini boleh dilihat, sewaktu industri pelancongan belum pesat membangun, banyak negara Eropah tidak mementingkan pelancongan sebagai sumber pendapatan negara, sebaliknya lebih menumpukan kepada bidang industri. Tapi kini, dilihat seluruh dunia telah mengakui bahawa bidang pelancongan merupakan industri yang besar dan boleh menyumbangkan banyak pendapatan kepada negara.

Begitu juga dengan Malaysia, kita tidak lari daripada membangunkan negara sebagai salah satu pusat pelancongan yang harus dilawati. Kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi mempromosikan Malaysia ke serata dunia, dengan impian ia akan memberikan pulangan yang lebih berlipat ganda kepada pendapatan negara.

Di Melaka juga sama. Sejak diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008, dilihat Melaka menjadi tumpuan pelancong. Setiap tahun bilangan pelancong ke Melaka kian bertambah dari tahun ke setahun. Ini memang tidak boleh dinafikan. Lihatlah sahaja Bandar Hilir pada waktu cuti hujung minggu dan cuti umum, jalan raya akan sesak dan dipenuhi oleh pelancong dari dalam dan luar negara.

Dalam membicarakan tentang pelancongan, tembiasnya pastinya dapat dirasai oleh pengusaha-pengusaha kedai makan, kedai cenderahati, pusat membeli belah dan sebagainya. Malahan si pengayuh beca juga gembira dengan kehadiran ramai pelancong kerana mereka mampu mendapat ratusan ringgit dalam masa sehari.

Namun begitu, dalam satu perhatian secara rawak yang telah dilakukan, sebenarnya ada juga keburukan dan ianya merunsingkan penduduk tempatan berkenaan pembangunan pelancongan yang pesat. Menurut beberapa individu tempatan yang telah ditemuramah, mereka tidak berpuas hati dengan harga makanan di tempat mereka yang melambung begitu tinggi.

Harga makanan ini menjadi begitu tinggi kerana kawasan itu sekarang telah menjadi kawasan tumpuan pelancong. Memang sangat ramai, sehingga bersesak-sesak pelancong di kawasan ini semasa hujung minggu. Menurut apa yang dikatakan oleh individu tersebut, mereka ini adalah rakyat tempatan, mereka sudah lama tinggal di situ, tapi sejak kerajaan membangunkan kawasan tersebut sebagai kawasan pelancongan, peniaga-peniaga mula menaikkan harga makanan yang rata-rata memang dihadiri oleh pelancong sedangkan mereka yang sudah lama tinggal di situ terpaksa juga membeli makanan dengan harga yang tinggi.

Apabila difikirkan, memang tak patutpun peniaga-peniaga mengambil kesempatan sedemikian rupa. Oleh kerana pelancongan, harga makanan naik. Bagi pelancong, ia tidak mengapa kerana mereka datang mungkin hanya sekali, tetapi bagi penduduk tetap di kawasan itu yang hidup bertahun-tahun terpaksa menanggung beban kos makanan.

Sebenarnya bukan mahu memenangkan sangat kata-kata orang tersebut, tetapi mungkin ada benarnya. Berkali-kali dia beritahu agar kerajaan patut membuat pemantauan terhadap harga makanan di kawasan pelancongan kerana ianya terlalu mahal.

Sekiranya benar bagai di kata, pihak yang bertanggungjawab haruslah mengambil berat pasal hal ini. Jangan hanya nila setitik rosak susu sebelangan dan jangan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.